Saturday, May 9, 2009

pening-pening lalat

lewat 70an di tengah hari, che hashim berdiri tercegat menunggu bas menuju ke suatu destinasi yang penting dalam hidupnya. terik mentari membayangkan betapa enaknya jika meneguk segelas air sejuk dalam gelas kurus nan cantik, kejernihan air bak embun pagi dengan kesegaran titis-titis air di luar gelas yang terbentuk hasil kondensasi. namun di hatinya, che hashim gusar jika terlepas perjalanannya kali ini kerana bas melalui lokasi tersebut satu jam sekali.

makin ramai yang berdiri di sampingnya. hingar tangis datang dari seorang kanak-kanak kecil berbangsa india dipangku ibunya yang memakai sari, lengkap dengan secolek merah di dahi, juga corak inai kemerahan menghiasi setiap julur jari sehingga ke pergelangan tangan. nenek tua yang menjinjing bungkusan pakaian, kelihatan penat, duduk mencangkung sambil mengipas dadanya dengan helaian tambang wang ringgit.

che hashim bagaikan hilang sabar, disepak seketul batu kecil. batu yang tidak berdosa itu melantun jauh ke tengah jalan. deruman injin kedengaran, namun hanya sebuah lori dengan muatan kayu kayan. nafas dalam dibebaskan. tiba pula satu keluarga yang kemas berpakaian. bau bedak harum semerbak, seharum bedak kegemaran ramai di era itu berjenama holiday on ice yang indah dalam botol tin biru.

hati kecil che hashim merona fikir, mungkin keluarga bahagia ini menghadiri kenduri kahwin kerana si isteri sibuk membuat ikatan riben di kasut anak kecilnya yang mula pantas bertatih. che hashim keseorang, mula mengingati isteri di rumah yang mungkin sibuk menyalai ikan loma. tatkala awan mendung berarak, hatinya gusar memikirkan hirisan buah gelugur di atas atap rumbia dapur kayunya yang dijemur sebelum ke sini, itulah bekalan asam keping untuk musim terakhir tahun ini.

sepatu hitam che hashim cukup berkilat, bersinar mencahayai silauan kekemasan. debu asing hinggap sebentar, disapu che hashim saban kali. deruman enjin kembali kedengaran, cukup kuat menggegar turapan jalan. beg dijinjing segera, lantas kakinya terjingkit, melonjak kepala dan memasang mata tepat ke arah selekoh tajam. tekaannya benar, bas yang ditungggu hadir.

dengan perlahan, bas merapati mereka yang sekian lama menunggu. bas buatan tata-india, syarikat red and yellow omnibus kini berhenti di hadapan mereka yang telah membentuk barisan. satu persatu melangkah naik, sementara konduktor sibuk menjerit, "yang belakang rapat lagi!! yang belakang rapat lagi!!"

keadaan bas cukup sesak. namun che hashim bertuah kerana seorang anak muda yang berhati mulia telah menjemputnya duduk di kerusi, seraya ucapan terima kasih diucapkan. bas mula bergerak, dari perlahan bergerak laju, selaju kereta kuda. ibu india yang mendukung anaknya berdiri tidak jauh darinya, rasa bersalah jika dia terus mementingkan diri.

seorang lagi anak muda di sisi che hashim dengan belas ihsannya berdiri, memberi tempat duduknya kepada ibu india itu. che hashim berasa lega kerana ada yang lebih perihatin menghulurkan bantuan awal. ibu india itu duduk, kini anaknya diam di dalam dodoi ibu. che hashim mengesot ke tepi tingkap, memberi ruang lebih supaya ibu itu bisa menletakkan anaknya di atas kerusi, musykil si ibu india penat memangku anak yang mungkin berumur setahun itu.

pandangan che hashim kini adalah kehijauan hutan belantara. sesekali melepasi kampung melayu, kolam ikan, lereng bukit dan sungai. panas, kian bahang. matahari memancarkan sinarnya masuk menerusi tingkap. namun che hashim tabah, lebih tabah apabila dia melihat lebih ramai yang terpaksa berdiri. sesekali pening, di ambil botol kecil minyak angin cap kaki tiga yang disimpan dalam peket kemejanya. diurut perlahan bagi melegakan pening-pening lalat yang ditanggung.

sesekali lenguh, che hashim tidak lagi berminat memandang keluar. ingin sekali rebah bermimpi sejenak, namun bahang panas mematikan nikmat itu. dilihat jam yang melekat ditangannya, sejauh sejam perjalanan masih perlu dirempuh. pemandangan luar kian kabur, hijau pepohon bertukar menjadi jalinan bintik hijau yang kian luas mewarnai pandangan. kabur dan terus kabur. sesekali tersentak kepalanya di pengalang tingkap bas, bagai terjaga dari ulik separa lenanya. sesekali bas melalui bayang pokok hutan, udara nyaman menghembus di dada.

sabar menanti tiba ke destinasi, bahu che hashim kebas. di urut mesra perlahan-lahan. cukup lega. dilihat ibu india lentok membuai mimpi, terburai jatuh selindangnya, bonjol sanggul berhias bunga jasmin putih kelihatan. memerhati sejenak ruang dalam bas, bahu che hashim yang hilang kebasnya kini merasa suam, kian panas bagai peluh meleleh jatuh. meraba tangannya menyentuh kepala anak kecik india yang bertongkat sisi kepala di bahunya. sekali lagi haba dirasa.

"alamakkk!!! budak ni muntah,"hati kecil che hashim merintih. pantas diambil kain sapu tangannya, di lap jari jemari yang dicemari muntah anak kecil itu. dikuis butiran nasik dari kumbah muntah di bahunya. dibuang kain sapu tanga itu ke luar tingkap. lantas che hashim bangun dan bergerak meninggalkan tempat duduknya, dia ke hadapan mendekati tangga. dari jauh diperhatikan ibu india itu masih lena kepenatan.

pemandu bas di tepi che hashim bersuara, "tunggu lah, nanti sampai sana ada bilik air. basuh lah. tu ada lagi isi ikan bilis di lengan baju, makan pagi nasik lemak kot budak tu. haha... bau kuat sungguh!" kini hati che hashim bertambah panas, mahu hatinya memaksa pemandu itu mempercepatkan perjalanan. che hashim tidak menyangka kejadian ini menimpa dirinya. kini bau nasi lemak basi meruap ke seluruh bas, sehingga ada yang menutup hidung. oh sungguh malang!

1 comment:

the bongsu said...

heee..aku br baca kisah ni..awal2 penceritaan terdpt unsur2 kasih sayang..tp endingnya kelakar..huhu