Wednesday, May 16, 2012

Pilihan Walaupun Tiada

Di mana agaknya kesilapan lalu yang kini kembali menghantui kita? Jika dapat diterbalikkan putaran masa mahu sahaja kita memperbetulkan keadaan walaupun secara abadinya ia tidak lagi dapat dipulihkan lagi, hanya ilusi. Mungkin keterlanjuran ini tidak mampu dihalang, tapi mungkinkah ia mempunyai peluang?

Sekeping hati yang pernah kecewa, bukan sekali tetapi dua. Berlarutan lagi jika alpa, mungkin yang terjadi ini relevan dengan norma diri kita, tanpa dipinta. Helaian kalendar diterbalikkan seperti tidak lagi mahu menerima nyata sebuah kejadian itu telah berlaku. Apakan daya, kaca yang retak tak bisa disambung namun harapan masih ada setidaknya masih ada yang sudi menerima.

Takdir kali pertama menyifatkan sebuah kejadian yang hanya berkonsepkan latihan. Sebagai insan terpilih, kepahitan itu ditelan bersama sebuah penerimaan bahawa yang bujur bukanlah bulat. Bertahun lamanya rentetan sebuah kisah kehidupan akhirnya berlalu pergi, episod akhirnya pantas pergi bagaikan deraian titik hujan yang membasahi bumi, membawa pergi setiap titik debu kenangan. Sehinggalah sebelum senjakala garisan pelangi memancarkan warna.

Sifat pelangi hanya sementara, tanpa matahari sinarnya beransur pergi dan selama itulah pelangi terus dirindui. Sampai kapan bertemu lagi sang pelangi? Apakah perlu menjemput gerimis yang mungkin hadir bersama kilat dan guruh di langit? Itulah kehidupan, tak pernah lari dari dugaan yang penuh kejutan, cuma berbeza kepada setaip individu bergantung kepada kekuatan dan penerimaannya.

Jika diberi pilihan, tanah gersang selalu merindukan hujan. Gersangnya dipanah cahaya mentari, berterbangan debu mengaburi penglihatan. Guruh dilangit gegak gempita, sekilas pantas kilat bersabung namun tak setitis hujan yang sudi. Malah angin garang bertiup kencang, akhirnya tanah gersang memercik api, membakar ranting kering menjulang tinggi jelaga dan yang tinggal hanya abu.

Meski abu adalah selemah-lemah tinggalan, menanti pergi. Hadir angin meniup jauh, hadir hujan mengalir pergi. Lemahnya abu, itulah zahirnya yang tinggal setelah berkorban dan bertahan. Jauh dari kenangan, abu pasrah menerima nasibnya walaupun tidak diterima lagi, namun kehadirannya tidak sia-sia. Sekalipun lemah struktur fiziknya, abu masih mampu memberi erti. Sejarah menjadi abu bukan pilihan tetapi hadirnya abu itu menyuburkan. Mungkin kesuburan ini mampu membahagia kehidupan yang hadir di kemudian hari. Sejarah tidak meletakkan abu selaku yang tewas namun pejuang yang tidak luntur cintanya.

Pilihan walaupun datang hanya satu, namun itu adalah jalan tunggal yang tetap menuju ke sebuah destinasi. Biarpun coraknya lurus, tidak bermakna tiada kehidupan. Terima seadanya diri anda walaupun dipenuhi titik noda. Usah gentar menerima kehilangan yang satu, usah takut diduakan dirimu, pasti akan berbalas suatu yang terbaik buat dirimu.

Tuesday, May 15, 2012

Ruang Rindu


di daun yang ikut mengalir lembut
terbawa sungai ke ujung mata
dan aku mulai takut terbawa cinta
menghirup rindu yang sesakkan dada
jalanku hampa dan kusentuh dia
terasa hangat oh didalam hati
kupegang erat dan kuhalangi waktu
tak urung jua kulihatnya pergi
tak pernah kuragu dan slalu kuingat
kerlingan matamu dan sentuhan hangat
ku saat itu takut mencari makna
tumbuhkan rasa yg sesakkan dada
kau datang dan pergi oh begitu saja
smua kutrima apa adanya
mata terpejam dan hati menggumam
di ruang rindu kita bertemu..
bertemu

p/s: lagu yang dahulu menjadi siulan saban hari memecah sunyi kamar, 
kini kembali lagi bersama kenangan yang berulangan..

Monday, May 14, 2012

Trip To Mars

Trip kali ni berkisar kepada menghadiri majlis perkahwinan Mohd Alif Imran yang lebih dikenali sebagai Piko, watak utama dalam siri animasi terkenal dari Jepun iaitu Dragon Ball. Piko mempunyai kulit bewarna hijau dan berasal dari planet Nameck. Tidak salah jika aku memakai baju hijau, memang tepat ramalan aku, warna tema yang dipilih adalah hijau.

 Terima kasih untuk undangan itu, lebih-lebih lagi kerana menguruskan penginapan di homestay. Dalam gambar di atas, tidak terdapat wajah Motat kerana beliau malu-malu nak masuk ke dalam. Romzi pulak jangan sesekali korang nak tanya, ada ke patut datang kenduri pukul 5.30 petang? Nasi pun tinggal kerak je kot. Gambar ini Bidi lebih sopan, maklumlah sibuk di dapur mengambil tugas memasak semenjak lama berpisah dengan Cik Tie.

Eh ada silat? Tentu sekali, sungguh klasik budaya Utara. Bukan sahaja lauk pauknya lazat sehingga menjilat jari tetapi ada persembahan juga. Hafizi jilat apa sampai langsung tak nampak lalat berterbangan? Kalau di Perak persempahan kenduri diraikan dengan kugiran dan dendangan lagu oleh Wan Norziah, tapi di Utara khususnya di Jitra lebih menonjolkan bakat seni mempertahankan diri. Tapi aku nampak parang tu macam bukan logam saja. Kalau melayang pergi ke muka pengantin macam mana?

Selebihnya, kami membuat rombongan untuk melawat lokasi-lokasi menarik seperti eco-perlancongan di Megat Dewa yang amat terkenal suatu ketika dahulu. Tiga panglima utama dari Kodiang; Borek, Zaidi dan Mr.Ax amat sinonim dengan perkataan Pida 6, Orang Kampung mahupun Manggol Bongor. Tapi mereka lupa bahawa terdapat seorang lagi puteri yang juga berasal dari keindahan ini iaitu Siti Zalipah. Gambar di atas, kami dibawa melawat tapak projek tanaman padi oleh Borek, bakal usahawan muda tetapi kini mengalami masalah apabila hasil tanaman diserang oleh siput godang.

Menyusuri setiap denai yang ada, kemudiannya kami ke Kuala Perlis melalui Jalan Kuala Sanglang. Permandangan indah dirakam dah terus diupload di fesbuk sehingga Besah teruja nak ikut sekali. Di Kuala Perlis, kami bersama berGala-Dinner dengan pelbagai menu yang dipesan mengikut hawa nafsu syahwat yang pada asalnya ingin mengunjungi tanah Danok di sempadan. Ini belum masuk cerita kereta Borek terkepung, kisah kareoke di Kangar dan skandal-skandal yang selama ini (bukan Selama, Perak) menjadi misteri.

Keesokannya, kami ke Padang Besar untuk mencari habuan masing-masing. Tiada langsung terfikir di fikiran aku selain jersey Spurs. Tapi aku sempat rembat sebentuk cincin zamrud tiruan yang dilihat sangat berpadanan dengan jari-jemariku yang berkedut tu. Malangnya dah nak sampai KL, cincin jatuh bawah seat kereta Honda City milik Yashar lantas sehingga kini gagal dijumpai. Gambar di atas adalah pemandangan ladang tebu Chuping yang pernah menjadi lokasi pengambaran filem arahan Bade Hj Azmi iaitu KL Menjerit. Haha :)

Terima kasih kepada Yashar- penaja pengangkutan, Pak Tam- penaja rempah kari, Bidi- masterchef keluaran dewan makan Seratas dan Amir- penghibur di kala sunyi. Haha.. Terima kasih tak terhingga buat Borek yang sudi menjadi pemandu pelancong dan akhir kata tahniah buat pasangan mempelai: Piko & Wife :)

Thursday, May 10, 2012

Thursday, May 3, 2012

Monday, April 30, 2012

Saturday, April 28, 2012

Realiti

Mengapakah perkara yang dibenci mesti berulang lagi? Dulu ia berlaku mungkin kerana usia masih setahun jagung dan hati berulang kali menyatakan ia tidak akan berulang lagi. Pisang berbuah dua kali, berbeza situasi dan individu namun anda sebagai insan bertuah dipilih untuk sekali lagi menempuh keadaan itu. Risiko ini tetap diambil kerana dirasakan laluan ini tidak mempunyai persimpangan, inilah realiti. Menurut kata ianya hanya kejujuran yang tidak bisa bertukar menjadi penipuan dan terimalah ia sebagai sebuah sejarah.

Apakah ini sudah ditetapkan? Dapatkah anda menukarkan rasa yang tidak seimbang ini sebagai suatu keadilan? Tidak salah untuk sekali lagi memilih laluan ini, biar masa menentukan dan mungkin kali ini semua kekalahan lalu menjadi bekalan untuk berjaya dalam hidup. Pastikan anda berada dalam emosi yang betul. Walaupun mungkin tewas lagi, percayalah ada yang memahami bahawa kekalahan kali ini merupakan perjuangan yang tidak semua bisa mampu menempuhnya. Tewas dengan keadaan, bukan pilihan.

Jangan kecewakan hati yang basah untuk kembali dikeringkan, ambil kunci itu dan anda tahu ke mana yang harus dituju. Destinasi yang menjadi asalmu. Pulanglah ke sana mencari kedamaian yang tak pernah hilang. Tiada yang lebih indah dari kedamaian itu, pulanglah ke desa yang tidak pernah menganggap dirimu sebagai tetamu. 
Saya mahu pulang ke kampung. Sekian lama tidak memandu, mungkin gemuruh hati untuk melalui jalan yang pernah menjadi perhentian gelapmu. Kuatkan semangat, lupakan segala kata-kata nista yang pernah menyelubungi minda. Tidak lari gunung dikejar jika harapanmu itu sudah tertulis sebegitu. Selamat tinggal buat sementara waktu dari diriku yang rumit.

Wednesday, April 25, 2012

April

Setiap kali menjelang tahun baru, ramai yang mula menyimpan azam untuk hari-hari mendatang. Pada aku biasa sahaja. Setiap bulan adalah sama, kecuali pada bulan April. Walaupun begitu, aku tak pernah sedar akan tibanya April, sehingga ianya menghampiri hari istimewa buat aku.

Sejujurnya aku menanti 25 April dengan penuh debaran. Aku takut untuk meniti hari tersebut, sama ada aku merasa nikmat gembira mahupun sebaliknya. Sehingga kini aku masih tercari-cari apakah erti semua ini. Pelbagai persiapan emosi telah aku sediakan, termasuklah mengosongkan peti simpanan khidmat pesanan ringkas di telefon bimbitku yang klasik itu.

Awal 2 hari lagi, aku segera mengubah data peribadi di akaun Facebook. Dari tertulisnya bulan April, aku menjadikannya Oktober dengan harapan tiada siapa yang menyedarinya. Mungkin aku lebih bahagia apabila tidak dipedulikan. Apakan daya, ramai yang mempunyai memori kuat tentangnya, mungkin aksara "25x4=100" masih terpahat segar. Terima kasih atas semua yang sudi memberikan ucapan, aku tetap berterima kasih. 

Mengapa aku begitu risau untuk menanti hari istimewa ini? Mungkin aku sudah meniti usia lewat 20, dan kini berperang dengan perasaan yang bercampur baur. Terlalu abstrak untuk diperjelaskan, dan semestinya ia amat peribadi bagiku. Aku yakin, dari dahulu lagi aku tidak pernah menyambut hari istimewa ini mahupun dengan rakan taulan, ada juga yang bertanyakan tentangnya. Aku lebih bahagia untuk menunda kepada hari selepasnya agar aku kuat untuk menghadapinya.

Hari ini, aku tidak mempunyai rancangan tentangnya. Cukuplah sekadar aku membeli tiket wayang untuk aku nikmati, namun ikhlasnya hasrat ini aku leburkan atas alasan, aku lebih berhak untuk bersendirian di bilikku sendiri. Aku akan terus memperingati hari-hari lepas, satu persatu sehingga aku berjaya menguatkan hati untuk menulis bait kata di ruangan ini, kerana ia lebih memberi makna supaya menjadi coretan buat diriku tatkala meniti senja.

Sejujurnya aku masih gagal. Protes di dalam hati tidak bisa aku tahan. Aku kesal dengan diriku sendiri. Rasanya setiap tahun aku akan menjadi orang yang tidak berguna. Aku tidak faham dengan pergolakan yang berlaku dalam diriku. Aku tahu akan dari mana datangnya.

Buat kawan-kawan yang pernah menyimpan rasa marah padaku, aku memohon maaf. Buat ahli keluarga rasanya tiada perasaan apa-apa untuk hari-hari seperti ini kerana kita merupakan keluarga yang amat sempoi. Buat yang berusaha gigih membuat hari ini bermakna, niatmu amat aku hargai namun aku tidak berhak untuk semua itu. Ada insan lain yang mungkin lebih memerlukannya. Aku tidak layak untuk menerimanya. Tapi kenapa bila aku mahu membuat panggilan (guna talian percuma hadiah dari maxis) tak siapa pun mahu mengangkatnya?

Sekian berakhirnya hari yang ringkas ini. Selepas menarik nafas yang panjang, rasanya sudah tiba untuk melabuhkan tirai penutupnya. Sambutan secara sendiri dirasakan lebih bermakna. Hanya aku yang memahami jiwa sentimental ini. Selamat malam buat diriku dan dirimu. Mungkin selepas ini, aku hanya akan mengucapkannya sendiri untuk diri ini. Akhir kata, terima kasih semua.


Saturday, April 14, 2012

Tinggalkan Aku?

Hari ini hari jumaat, dan hari ni aku membawa diriku melayang jauh terbang di langit yang biru, diterpa awanan putih bak salju. Aku senyum selebar hati, namun aku sedar ia bukan lahir ikhlas dari hati. Aku cuba namun acapkali ianya masih bukan.

Kenapa hati aku begitu kosong? Pelbagai perasaan masuk meresap jauh ke dasar hati. Aku mencantumkan setiap satu tapi masih beroleh kehampaan. Akhirnya aku rebah, sayapku lemah lantas aku terus jatuh ke bumi, terdampar di hujung tasik tak berpenghuni.

Hari ini hari jumaat, dan hari ini membawa diriku melintasi sebuah gerbang. Sungguh tinggi puncaknya, tak tercapai dek lonjakkan kakiku. Aku cuba berdakapnya lagi tapi aku sedar akan ketinggian jasadnya.

Kenapa hati aku begitu kosong? Aku memandangnya sambil kakiku melangkah pergi. Melihat akan bayangnya ditinggalkan jauh, gerbang itu amat mempesonakan. Aku sedar akan gerbang itu bukan milikku, tak mampu kutawan walaupun ia seakan tidak membenarkan aku pergi.

Hari ini hari jumaat, dan hari ini membawa diriku sesat di dalam kabut tak bernafas. Nipis udaranya membuatkan aku sesak, sesekali lelah dan hampir rebah. Jarak pandangku jauh sejengkal, tak kuhirau duri mengguris mahupun bara membakar telapak kaki.

Kenapa hati aku begitu kosong? Mungkin kerana mataku tak bisa melihat terangnya dunia. Tatkala itu telunjukku ditarik dan direntap dan akhirnya aku terkeluar dari perangkap. Sekian lama tercari-cari jalan keluar, rupanya ada penyelamat.

Terima kasih kawan kerana masih sayang kepadaku walaupun harapannya hampir tiada. Beberapa kali aku menggusari akan kewujudanmu, aku masih berharap agar kau kembali ke sisi, seperti di awalnya.

Harumanmu dari mimpi melakat pada bantal tidurku, sendamu tak henti-henti meniti di setiap bibit hariku, senyumanmu mahupun jelik tetap aku rindu. Saban hari aku menunggumu namun aku perlu waktu. Tinggalkanlah aku, namun sebentar saja. Aku takut.

p/s: tak leh blah pula bila baca balik haha :p

Monday, April 9, 2012

Lawatan Orang Johor

Sebelum jadi basi, baik aku update sikit pada pertemuan singkat dengan 2 orang johor yang sudi datang melawat kami di KL. Mereka adalah tasnim dan hani, dua-dua bergelumang dengan dunia pendidikan. Diorang ni saja je diibaratkan orang johor walau pada dasarnya sorang dari penang, sorang dari perlis tapi tempat kerja saja di johor bahru.

Maaflah dalam gambar tiada muka apoie, tasnim mahupun natasha apatah lagi pijie. So far gambar ini saje yang aku sempat rembat dari fesbuk. Apapun, ketawa tetap ketawa walaupun aku seorang saja lelaki yang hadir. Pijie sah-sah pergi kursus di terengganu so yang hadir hanya bini dia dan hafis.

Tak de conclusion mahupun agenda, cuma sekadar small gathering saja. Topik perala pun suam-suam kuku saja. Tak mahu isu berbangkit mencemar keriangan kami, apatah lagi nak ungkit isu block di fesbuk, apapun yang terjadi jadikan sempadan.

Apa yang menarik, hani rupanya mempunyai bakat dalam dunia persolekan. Gigih dia pakai 2 jenis bedak, padanlah kulit pun mulus sebab pakai simplysiti kot. Cemerlanglah anak didik dia. Haha.. Next time agaknya kena turun ke JB untuk membalas lawatan. Tapi motif ke singapore mungkin akan over shadow niat asal. Apapun, terima kasih atas ingatan kalian.

Saturday, March 31, 2012

Mainan Minda

Hari ini, seorang lagi pergi meninggalkan pejabat yang makin sunyi walaupun ramai penghuninya. Entah kenapa, takdir untuk penghujung episod adalah melihat seorang demi seorang melangkah pergi, manakala yang lainnya terus meletakkan surat. Shukri akhirnya bertemu dengan syarikat perunding yang tidak jauh dari rumahnya. Meskipun dia baru setahun bersama kami, rasanya kehadiran dia tetap menjadi penyeri. Seawal dia masuk ke dalam keluarga Persys, terus bergelumang dalam tender, dan kesibukan menghalang kami kenal lebih rapat.

Sejujurnya kami tidak serapat mana pun. Tapi pada aku, dia seorang yang baik. Aku sedih melihat dia pergi dalam keadaan bossnya masih di Riyadh. Mungkin ditakdirkan ini adalah masa terbaik untuknya demi masa depan yang mungkin lebih cerah di tempat lain. Pun begitu, aku tetap rasa seperti ditinggalkan. Lepas ini giliran Kak Niza, disusuli Azmer Suria dan mungkin ada lagi.

Kami jumpa seluar oversize kat bawah meja :p

Sama seperti hari-hari yang dulu, setiap kali melihat orang pergi hati aku jadi sayu. Jika ini semata lakonan layar, aku sudi menjadi watak terakhir yang menutup pintunya. Sampai di rumah, aku seperti biasa akan menguncikan diri dalam bilik sambil mengenang kembali perjalanan hidup yang kesudahannya membuat aku melayang jauh.

Kita mengenali orang melalui pertemuan fizikal, dan kemudiannya menerusi perbicaraaan kita menafsir segala aspek, daripada keperibadian hinggalah kepada perkara-perkara yang terkesan. Pada aku, melihat mereka pergi adalah seperti masing-masing melangkah bahagia. Aku rasa ditinggalkan, seperti orang yang gagal tiada siapa yang sudi berada di sisi.

Demi cita-cita, kita melalui pertemuan dan mengakhirinya dengan perpisahan. Aku di sudut ini melihat diri aku sebagai insan lemah yang penakut. Ada betulnya jika aku menjiwai watak penakut ini sebagai tidak berani berdepan realiti bahawa menerima apa yang berlaku dengan menelan pahit manisnya dan berharap perubahan ini adalah sebuah tirai kehidupan baru yang setiap insan pasti tempuhi.

Meskipun begitu, nasib kita kadang kala tidak seindah mimpi yang dikecapi. Ada juga kebahagiaan yang hadir tanpa kita sedari. Namun buat mereka yang pergi dan bakal melangkah keluar, aku dengan sepenuh hati mendoakan yang terbaik, semoga bertemu apa yang dihajati.

Malam ini, aku bukan sahaja terfikir persoalan kerjaya mahupun hubungan kawan. Aku terfikir bahawa semua manusia mengharapkan kebahagiaan. Demi kebahagiaan, manusia sanggup berbuat apa sahaja termasuklah rela kehilangan apa yang sebenarnya tidak memudaratkan. Sebenarnya terfikir pasal seorang kawan yang tiba-tiba kelmarin rasanya dia "block" aku di facebook!! Nanti kita sambung lagi...

Thursday, March 29, 2012

Pengorbanan Saadiah Diiktiraf

Masih ingat dengan coretan aku tentang seorang wanita bernama Saadiah yang boleh diangkat sebagai ikon pengorbanan cinta sejati? (klik sini) Kini kisah Saadiah telah dipotretkan menerusi beberapa paparan media, di mana kesungguhan cintanya yang begitu setia tiada tolok banding.

Walaupun pelbagai versi yang diceritakan, namun sejarah tercipta apabila setiap hari semenjak 1975 wanita setia ini mengayuh basikalnya demi untuk menghantar makanan kepada suaminya yang telah lama pergi. Walaupun Saadiah telah dipastikan kurang sihat, namun apakan daya telah tertulis segalanya. Saadiah akan terus dikenang sebagai srikandi sejati, tiada yang bisa menghalang cintanya.

Gambar: Ihsan Berita Harian.

Setelah sekian lama, kini ramai sedar bahawa dalam keadaannya yang serba kekurangan itu, cintanya diiktiraf. Sanggupkah anda berkorban selama ini demi membuktikan sesuatu yang subjektif? Syabas Saadiah Abdullah.

Sumber lain: facebook, blog, artikel, info galeri.

Tuesday, March 27, 2012

Apa Celop?

Isnin aku cuti, jadi petang tu aku sms Wan bagitahu kot-kot dia nak jogging. Emy pun aku sms tapi dia lambat reply, nasib la kena tinggal. Lepas chatting dengan seorang insan terpilih ni, aku pun terus keluar, start enjin cabut pergi Taman Tasik Metropolitan yang lebih dikenali dengan nama Tasik Layang-Layang.

Apa celop? Eh ko belum klimaks lagi. Rilex! Minah Wan ni masih on the way, merempit katanya. Risau plak aku, tapi memandang dia memang ratu rempit, aku kurang risau akan keselamatan dia unless dia ada bagi tau apa-apa. Tak lepas tu dia sampai, terus la kami slow-slow jogging mengelilingi tasik puaka tebing biru ni.

Apa yang puaka bukanlah tebing tasik yang kaler hijau lumut ni, tapi tiba-tiba aku teringat aku dah kunci kereta ke belum? Rasanya dah, tapi malas aku nak patah balik, mahu Wan sumpah aku jadi ikan lampam jawa. So kami teruslah berjogging sambil bergosip. Baru 1 kilometer, Wan semput.

Semput bukan sebarang semput, mula-mula dia buka kasut. Lepas tu ingat nak buka seluar tapi nasib baik dia bukak stokin je. Sekali macam nak pitam, ah sudah! Aku ni tak reti nak buat aksi Hulk Hogan. Orang lalu lalang kemain ramai. Kalau Emy ada ni boleh la aku cover sikit. Wan tiba-tiba dah tak jawab soalan aku, mungkin dia dah stone. Aku suruh dia pergi lepak atas rumput bawah pokok teduh, cepat sikit dia cool. Aku nampak ofismate, si Jasli jogging dengan gagah dan perkasanya macam larian KL Tower-Standard Chartered. Harap dia tak perasan aku ada di situ.

Lama kelamaan, mujur Wan kembali siuman. Lepas tu terus jalan sampai la sudah. Lega aku! Tak dapat bayangkan kalau Emma tahu, mesti dia syak aku bagi Wan minum ubat batuk campur Coca Cola. On the balik, aku ajak dia lalu ikut short cut terus sampai Jusco Metro Prima. Lepas tu entah macam mana aku terus rasa nak singgah Carrefour, dan di sinilah bermula memori tercipta macam lagu Shila Hamzah.

Aku mencari parking. Mujur keadaan tak begitu sibuk, tapi sepanjang alur tu memang penuh saja kereta. Hairan aku orang KL ni mana-mana pun penuh. Pusing punya pusing, aku jumpa satu kereta Hyundai nak keluar, terus aku bagi signal. Yeah, memang betul kata Emy kena baca surah wal as.

Elok kereta Hyundai tu keluar, aku terus pusing steering, masuk parking. Ekjas tayar bagi straight, aku perasan ada wajah bengis muncul di side mirror. Eh siapa pula ni? Yang pasti bukan boss aku sebab dia kat Riyadh sekarang ni. Ish apa dia buat malam-malam gini kot ya pun aku je buang tebiat nak singgah Carrefour Kepong ni.

Apa celop, siapa-siapa pun ada aku kisah? Aku pun terus matikan lampu, kasi mati gear, tarik hand break. "Tuk tuk tuk!!!" Macam bunyi orang ketuk cermin. Aku tak peduli, aku kemas-kemaskan sling bag aku, ganti kasut, pakai selipar. "Tuk tuk tukkkkkk!!!" Mak aih makin kuat.

Tiba-tiba terpacul sekujur muka lelaki di tepi cermin kereta. Terkejut nak arwah aku. Alamak? Aku curi parking dia ke? Atau dia ni kerja sini nak bagitahu aku parking kat lot single female driver tapi itu di The Curve ada la. Apa hal ni?? Panic aku, selagi aku tak buka tingkap mau dia pecahkan cermin kereta aku.

Aku on suis, terus aku turunkan cermin dalam suku sahaja. Aku lenggak kepala tanda bertanya. Tiba dia cakap "rokok satu bang.." Aku tarik muka pelik. Aku dengan yakin turunkan lagi suku cermin jadi separuh. "Tak de. Sorry!" Terus aku naikkan cermin kereta tutup full.

"Tuk tuk tuk tuk tukkkkkkkk!" Sikit lagi mau pecah cermin kereta aku. Kali ni dia buat muka bengang. Aku nak keluar dari kereta pun takut. Tapi aku yakin sebab aku parking betul-betul depan pintu masuk, keadaan cerah, orang pun ramai. Tapi diam-diam aku sorokkan sling bag aku. Setahu aku kalau kena pow pun aku ada 20 ringgit je.

Akku turunkan cermin sikit je, suku pun tak sampai. Aku jerit dari dalam, "Nak apa lagi?" Skali dia punya selamba jerkah aku, "3 ringgit!" Cis selamba je minta duit. Mereng gamaknya, takkan la free-free aku nak bagi. Terus aku keluar dari kereta, geleng-geleng kepala terus masuk ke dalam Carrefour. Sambil naik escalator aku jeling-jeling kereta kot dia pecahkan cermin, tapi tak nampak pula.

Habis membeli barang keperluan, apa la sangat setakat beli snek, buah pear, minyak sakit perut, susu pastu tapau sushi nak test power tak sushi Carrefour ni. Dari jauh jalan dengan yakin, jurujual nak promote broadband aku angkat tangan je tanda tak mau. Nak suruh rasa kopi pun aku tak sudi. Apatah lagi ko nak jual krim tenyeh-tenyeh kat tangan kulit jadi putih memang aku tak percaya, gila punya bahan kimia. Keluar saja dari pintu besar Carrefour, skali lagi aku terkedu.

"Brader!" Ada orang tepuk lengan aku. Apa celop??? Aku seram je nak toleh kanan. Slow-slow aku perhati, aku nampak seorang yang aku rasa kenal. "3 ringgit?" Eh kau orang lagi. Selamba kau je nak pow aku 3 ringgit. Punya ramai orang kat situ, aku jugak kau tunggu. Melampau betul. Tapi seram sejuk pun ada, cepat-cepat aku jalan menuju kereta. Malangnya la aku, apa gamaknya yang orang nampak pada aku je terus nak jadikan aku mangsa jenayah?? Masuk je start enjin terus chow. Adventure sangat aku rasa. Tak sempat aku nak fikir pasal nak repair kunci pintu kereta yg kena umpil, kena plak soal siasat kes pencuri baju pink, kau pulak nak pow aku 3 ringgit. Apa celop???

Wajah si malang, silap hari bulan pergi mandi bunga bawah jambatan Tamparuli
(sekadar gambar hiasan).

Sunday, March 25, 2012

Janji Termenterai

Siapakah di dunia ini yang tidak pernah berbohong? Mengubah fakta dengan hanya sedikit helah, supaya hati merasakan damai yang seketika. Terubat duka yang dikhuatiri melara, menepis segala sandiwara dunia yang dicipta demi meneruskan hidup seperti manusia sempurna. Nyatanya, helah ini mengguris perasaan mereka yang mungkin penting bagi kita, bukan hari ini tetapi akan suatu hari nanti.

Adat kehidupan, helah yang disimpan membusung dan akhirnya memburai lalu mendedahkan segala kandungannya. Tika itu tiada kata mampu terucap, hanya mampu mengharapkan simpati agar jarum masa kembali terhenti dan segera dilupai. Kita mudah menabur janji, mahupun sekecil harapan lisan juga segunung permata impian. Namun seindah pelangi senja janji mudah dilakar begitu mudah jua mudahnya janji lenyap dalam kegelapan dan dilupakan.

Ibarat pungguk rindukan bulan, begitulah tingginya harapan mereka yang menanti akan tertunainya janji. Ketika menanti, bunga bahagia berkembang indah segar dibasahi embun pagi. Kini janji ditagih, seri kelopak bunga nan indah mula dicemari, dinodai dan dibiar kering. Selagi kuat kepercayaan selagi itu janji bisa ditagih lagi. Namun kelopak indah akhirnya terlucut diterbangi pergi sebelum jatuh menyembah bumi.

Hidup kita amat kuat berpegang pada janji. Kerana janji menjadi jaminan akan kebahagian hidup. Namun jangan mudah menutur janji, sekali ikatan janji terbuka semudah itu hati mereka yang disayangi remuk dan mungkin tidak akan kembali kepada seperti azali. Ibarat kaca terhempas, mudahkah ia bercantum kembali? Putus tali sambung ikatan, putus janji musnah harapan.

Saturday, March 24, 2012

Bintang Hijau



Sweet Escape thru Nature,
Bintang Hijau.

Friday, March 23, 2012

Malang

Sudah 2 hari aku bersama 2 rakan sepejabat melakukan proses tapisan, segala fail dan kertas-kertas yang bersusun di atas dan dalam meja sebelum dibawa ke stor. Bilik Mr.Vijay memang terkenal dengan pusaka kertas yang disimpan sejak beliau muda belia lagi. Sebagai hari terakhir sebelum Vinod pula masuk ke bilik itu, sudah pasti rumit bagi kami untuk mengenal pasti dokumen yang dikhuatiri perlu di bawa turun, mungkin berguna untuk final claim mahupun kes-kes legal. Malangnya nasib.


Tepat jam 1.05 tengah hari, urusan kami siap. Menjinjing timbunan fail untuk dibawa turun, namun berbual sebentar dengan Kak Zunara, Au Siew Jin dan Teng Teng. Sedar tak sedar, kami melepasi masa berharga, oleh itu semua segera bersiap untuk makan tengah hari. Di dalam lif aku terbayangkan nasib diri yang entah tidak tahu mana penghujungnya. Ke mana saja aku pergi sama sahaja nasibnya.


Kalau di kolej dahulu aku mempunyai ramai kawan-kawan namun hanya bertahan setahun sahaja, selebihnya banyak dihabiskan bersendirian. Mungkin tragedi kecurian itu memberikan impak yang besar. Aku tak slahkan mereka, tentu mereka yang kehilangan computer itu berasa amat sedih dan hati sudah pasti menginginkannya semula. Namun, apabila salah seorang menyatakan dia nampak aku yang datang pada suatu hari dengan sebuah kereta mengambil barang-barang tersebut, seluruh kepercayaan tinggal kosong. Kisah sudah lama berlalu usah dikenang lagi. Malangnya nasib.


Tapi mengapa apabila rumah aku dipecah masuk, kenapa hanya barang-barang aku yang dicuri? Kenapalah hanya terjadi pada aku? ikutkan hati sedih juga apabila kawan membuat jenaka untuk pergi mandi bunga di bawah jambatan. Sudahlah barang yang lepas usah dikenang. Tapi kenapa pula dalam banyak-banyak kereta yang parkir tersusun itu, kereta aku juga yang diumpilnya? Apa selama ini aku mempunyai musuh di tempat yang aku sendiri orang yang asing. Sudahlah dulu kereta itu juga yang kau pecahkan selepas ini apa lagi muslihatnya? Mungkin dilakukan oleh orang yang berbeza. Entahlah, semuanya tak kena, nak lepak lama-lama dengan Ai dan Hazama di MacDonalds pun tiba-tiba ada orang bergaduh sampai baling kerusi. Malangnya nasib.


Tiba sahaja di tingkat 4, lamunan aku terhenti apabila pintu lif terbuka. Daripada terbazir masa rehatku, baik aku segera melangkah pantas kerana aku mahu ke farmasi. Sudah banyak hari aku sakit belakang, tegang-tegang urat. Sebelum keluar, aku hanya sempat mencapai kelengkapan wajib, dan terus beredar.


Setibanya kembali di pejabat, aku leka namun pada sebelah petangnya aku terdengar orang bercerita katanya pejabat dimasuki pencuri. Sebuah telefon pintar hilang, termasuk juga computer riba Dato Mat Dom. Aku bertanya, siapa pencuri itu? Katanya orang luar, lelaki muda memakai baju merah jambu dan rupanya tak ubah seperti Nahar. Aku terkedu, melalui CCTV lelaki muda itu menaiki tangga untuk menuju ke setiap lantai pejabat. Maksudnya lelaki itu seperti nahar kerana masih muda. Lelaki itu berkulit gelap dan umur lingkungan 20an, datang dengan memakai beg galas belakang, sama seperti beg Nahar.


Tiba-tiba Kak Rohaila berkata, menurut pihak security, lelaki itu turut masuk ke tingkat 4 dan beberapa saksi menyatakan berselisih dengan lelaki itu. Menurut Kak Rohaila di kaca CCTV memperlihatkan selepas dia keluar, kemudian muncul Roslaini dan Nahar pula keluar melalui pintu dan di masa itulah lelaki pencuri itu menyelinap masuk. Lebih mengejutkan bahawa aku langsung tidak mempunyai memori itu, aku langsung tidak mempedulikan keadaan. Nampaknya aku hanya jalan menunduk ke bawah dengan laju menuju ke lif. Kemudian masing-masing diarahkan untuk memeriksa barang kepunyaan, terutamanya yang bernilai tinggi. Aku terkedu lagi. Apakah nasib malangku berterusan?


Apapun, hati aku berdebar-debar lantas perlahan-lahan aku berjalan menuju ke meja. Aku membayang computer riba yang ku bawa setiap hati, sentiasa kupasangkan di atas meja. Setiap hari juga aku membawa Galaxy Tab, itulah harta akhirku. Apakah Nasib aku kali ini? Kini makin laju aku berjalan kerana perasaan aku bercampur baur.

Malangnya pencuri terlalu pantas dan mungkin kerana kepantasannya itu juga dia terlepas pandang meja aku yang terlalu semak dan berterabur. Mujur nasib aku kali ini berbeza. Semuanya selamat.


(aku baru turun dari tingkat 5 untuk buat pengecaman, menurut pihak admin & security, dalam CCTV akulah yang paling obvious berselisih dengan suspect pada jam 1.05pm. Mungkinkah aku bersepakat melakukan jenayah terancang?)

Monday, March 19, 2012

Friday, March 16, 2012

No Foolin'

I was so surprise to read this, totally had nothing to explain. It happened on someone i know through Facebook. Simply stupid to generate money but it is much more stupid to simply give money to someone you admire at first. What parameters used to evaluate people for you to trust to? Sick!

Thursday, March 15, 2012

Obsesi Kehidupan

Apabila kita mengalami masalah, pernahkah kita terfikir ada masalah lain yang sedang menanti di hadapan? Lebih buruk lagi apabila masalah itu meninggalkan impak berantai yang mungkin terus bercambah dan membentuk keadaan yang kompleks. Kanak-kanak hanya terfikir bagaimana untuk memiliki perisian Android dalam tab komputer manakala pelajar sekolah menengah pula hanya menanti saat saat untuk memiliki motosikal sendiri. Bagi yang belajar di universiti mungkin tidak henti berharap agar dikurniakan teman lelaki kaya, begitu juga yang baru bekerja mungkin impian untuk menjejakkan kaki ke kota London masih tidak tercapai kerana setiap tahun syarikat hanya memberi isentif berupa sebulan gaji yang kemudiannya dicukai.

Mungkin garis norma kehidupan kita tidak lagi seimbang. Jika dulu-dulu kanak-kanak sangat gembira apabila diberi coklat Kandos tetapi kini mereka lebih awal mengenali Kinder Bueno. Selain berperang dengan inflasi, masyarakat kini mudah mendapat informasi teknologi dan hiburan justeru perasaan ingin memiliki sesuatu itu mudah hadir di dalam jiwa sehingga ada yang sanggup mengambil jalan pintas menerusi laluan jenayah serta penipuan.

Kesan daripada fenomena ini, ada di antara kita yang langsung tidak dapat melawannya malah sering kali memaksa diri untuk mendapatkan apa yang dirasakan. Terbukti apabila kita sanggup membeli tiket penerbangan Air Asia ke Bandung lantas meletakkan priority untuk membayar hutang PTPTN entah ke mana. Tua atau muda, obsesi ini wujud dalam keadaan yang pelbagai sama ada serius ke arah hiburan, faktor material, keagamaan dan perhubungan. Biasanya obsesi ini hanya disedari sebagai masalah apabila kita tidak lagi dapat mencari jalan keluar. Mari kita lihat beberapa kisah yang mungkin dialami oleh orang di sekitar anda, dan anda juga mungkin telah terjebak:

1. Setiap yang bekerjaya, sudah pasti wang gaji bulanan menjadi topik utama. Tidak semua antara kita yang terfikir untuk meletakkan peruntukan untuk simpanan, malah wang itu habis sekelip mata sehingga ramai yang sempit di minggu akhir sebelum gaji diterima. Jalan pintas yang biasa diambil adalah menjadi pengguna kad hutang, atau kad kredit. Sungguh mudah, satu persatu yang difikirkan perlu.

Daripada langsung tidak terlintas di hati, namun apabila berjalan-jalan di pasaraya, anda terlihat objek ini. Anda sendiri mereka-reka alasan bahawa anda memerlukannya, terus melahirkan rasa bersalah jika tidak memilikinya. Tanpa berfikir panjang, kad kredit digesek. Kemudian anda hanya membayar jumlah minimum yang disarankan pihak bank. Lama kelamaan, hutang meningkat ribuan ringgit sehinggalah di suatu hari pihak bank membuat panggilan anda anda tersedar nama anda kini tersenarai dalam golongan yang bakal muflis. Keterlajuran kata boleh putuskan persahabatan, keterlajuran di ranjang boleh didiamkan namun keterlajuran berhutang tetap menuntut bayaran.


2. Terlanjur cinta membuai anda kebahagiaan. Namun ada di antara kita yang gemar berkongsi rahsia bersama rakan termasuk mereka di laman sosial. Satu persatu perihal rumah tangga diceritakan setiap kali status Facebook dikemaskini sehingga tiada modal, dan ada juga yang sanggup menulis status yang tipu. Apabila satu persatu kebahagiaan anda didedahkan, ada ikhlas hanya memaparkan dunia bahawa hidup anda persis seorang artis tetapi sedarlah bahawa anda sedang menjual privasi.

Pernahkah anda merasakan perbuatan anda itu memualkan? Orang tidak akan hadir di depan anda untuk menyatakan rasa loya kepada anda tetapi dari mulut ke mulut kisah anda diniagakan secara percuma. Yang pasti, ahli keluarga dan sahabat terdekat turut menerima impaknya. Tidak salah untuk berkongsi, namun jangan perdagangkan diri anda untuk menjadi bahan untuk diceritakan oleh warga pejabat di waktu pagi saat sedang membancuh kopi. Apakah reaksi anda apabila seorang yang muda awal 20an baru 2 hari menikah memuat naik doa sebelum bersetubuh di akaun laman sosialnya?


3. Seorang yang telah mendirikan rumah tangga, menuntut pasangannya untuk berlaku adil dan menjauhi kecurangan. Bagi yang kuat pegangan agama, si isteri menuntut sahaja apa kata suami. Ada di antara mereka sanggup merakam aksi intim namun ada juga yang sanggup bersusah payah sehingga mengikat perut. Wujud masalah apabila penerimaan beragama diambil secara tidak seimbang, sehingga minda anda yang relevan jelas ingin memperdebatkannya.

Pada mulanya si isteri mahu masuk syurga. Dengan ketaatan, segala yang diarahkan segeri dituruti tanpa banyak soal sehingga anda sudah lali, pekak dan tuli. Si suami terbaring selepas makan tengah hari, tidak bekerja dan sebelum lelap sempat lagi mengingatkan si isteri supaya mengejutkannya apabila rancangan kegemaran 30 minit bersama Ustaz Don ke udara. Si isteri yang sudah 4 kali beranak sibuk melipat baju yang dipunggah anak-anak kecil. Sesekali terbayang diingatannya bil elektrik sudah 3 bulan tidak dijelaskan. Wang simpanan di ASB telah lama susut, dan perniagaan 1 drop perfume sudah lama menyepi apatah lagi mengenangkan perniagaan tudung di laman blog yang sebulan kehabisan stok. Mujur anak yang sulung tahun depan baru nak didaftarkan ke sekolah tadika.


4. Dalam perhubungan, memang tidak dinafikan sangat bahagia terutama bagi yang sedang hangat bercinta. Lebih nikmat lagi jika anda menobatkan diri sebagai pasangan paling meletop dengan membayang hanya majlis resepsi wedding of the year menanti anda tahun hadapan. Namun tetap mekar di hati, anda ingin perhubungan anda diketahui umum lantas menginginkan komen-komen positif sahaja dari orang terdekat mahupun yang jauh di mata.

Untuk memperlihatkan dunia akan kehebatan perhubungan anda, bukan sekadar dikongsi di laman sosial malah war-warkan terus kepada orang lain menerusi cara ini. Khabarkan sahaja pasangan anda suka membiarkan wajah tidak dicukur supaya rakan yang lain merasakan dia seksi sekali seperti Brad Pitt. Khabarkan juga bahawa pasangan anda membazirkan wang anda hanya mahu makan di restoran mahal supaya rakan anda tahu status ekonominya. Khabarkan sahaja anda sering dihumbani kesan egoisnya supaya apabila anda menerima kiriman bunga semua membayangkan hubungan yang romantis sedangkan anda mengirimkan kepada diri sendiri. Anda gemar hidup dalam keadaan yang pretend to be happy sedangkan sebenarnya anda meratap sengsara seorang diri.


5. Anda orang penting dalam syarikat. Anda sentiasa di hati bos anda, setiap kali ke luar negara hanya anda yang diberi pelekat magnet. Anda berkaliber dalam menjalankan tugas. Anda berlakon buat-buat nak terus daftar ke unit kecemasan Hospital Selayang setiap kali ada tugasan untuk disiapkan padahal hanya membuat kompilasi, itupun hanya mengarahkan-arahkan orang. Walhal tiada siapa yang pernah bertanya tentang jawatan anda di syarikat, kenapa perlu sehingga 4 hari mengulangi cerita yang sama?

Cukuplah berwajah manis, masyarakat di sekeliling lebih mengenali. Jika benar-benar anda sibuk bekerja di pejabat mengalahkan Datin Seri Rosmah Mansur sekalipun, mengapa masih mampu menjejakkan kaki ke Jalan TAR di tengah hari bekerja? Mengapa terdengar bunyi balingan dan jatuhan pin bowling di telefon bimbit sedangkan jam baru pukul tiga? Mengapa sudah lama bekerja tapi masih tidak tahu untuk menggunakan mesin faksimili? Hentikan. Lebih baik jujur seperti kami, sesekali ingin bermalas-malasan tak siapa sakit hati. Tak perlu berselindung, terima hakikat kita mencuba yang terbaik, salah dan silap mohon diperbaiki.



...bertemu lagi di episod akan datang :)

Monday, March 12, 2012

Siapa Di Sana?

Who is actually there? I dont think an american read my blog, must be someone i know from the past. I believe you are originally from Malaysia. I would like to know who you really are, as i trace you for a year, frequently browsing through my entries. I thank you very much, but please help me to recall something that i might be missing. My curiosity level is very high now :) Please! Bahaha..

Sunday, March 11, 2012

My First Sushi




Octopus Sushi Bar & Grill at Wangsa Walk,
10 Mar 2012.
(thanks a lot kepada yang belanjer! xoxo. eh ye ke belanjer??)

Saturday, March 10, 2012

Di Akhir Rasa Itu

Pernahkah anda berasakan seperti ditinggalkan? Masa berlalu begitu pantas tidak pernah meninggal tanda pesan. Saat anda memendam pilu sendirian dan di situlah dirasakan siksanya menanti saat indah kembali berulang. Jika pertemuan resminya akan berakhir dengan perpisahan, begitulah resminya kita tidak dapat lari dari kesunyian.

Berada keseorangan di dalam sebuah kamar hanya ditemani cahaya yang tak bisa menuturkan kata-kata. Satu persatu detik indah yang dirasakan abadi, kini dikenang hanya akan mengundang perasaan duka. Hati bagaikan mengalir darah sejuk membentuk lohong sunyi yang tidak punya suara. Gelap dan hampa.

Apakah gunanya kenangan indah? Tidakkah setiap kali meniti saat indah kita perlu takut untuk mengakhirinya kerana keindahan itu akan menjadi makanan kedukaan? Siapakah yang anda impikan untuk mendamba hati ketika itu? Hanya perasaan rindu yang menyelubungi, juga rindu yang menyiksakan jiwa. Sebutlah namanya seratus kali, namun tidak kunjung tiba kerana dia bukan milikmu di waktu itu.

Cinta satu malam membuat dirimu melayang. Cinta satu perasaan memusnahkan impian. Cinta satu angan tiada kesampaian. Jika takut pada kesunyian, jujurlah pada diri dan maklumkan pada bulan bahawa bintang bisa menemankan. Jika berduka, keringkan air matamu. Bukalah hati supaya menerima apa jua keadaan dengan penuh kekuatan dan nantikanlah dingin malam mendodoi lena membuai mimpi indah agar yang dirindui bisa mendampingi. Tidurlah selagi belum cahaya mentari menjemput bulan pergi. Sebaik angin pagi menghembus pipi, berlarilah kepadanya dan nyatakan hasrat hatimu, semoga kekuatan semalam menjadi aspirasi di kesempatan hari baru.

Bila Sudah Bosan


Ini adalah tragedi yang berlaku ke atas boss saya (sila click untuk enlargement) apabila dia sudah bosan. Boss saya mengalami kecederaan pada tulang belakangnya justeru terpaksa bercuti lama sehingga sembuh dan arahan doktor kepadanya agar mengurangkan aktiviti lasak termasuk sukan futsal.

Hobi boss saya yang ini memang futsal, dan kali ini boss saya tidak dapat mewakili tingkat 4 untuk menempa kejuaraan untuk liga interfloor tahun 2012. Kami amat berasa kehilangannya. Semoga cepat sembuh. Terbukti boss saya mengalami kebosanan berehat di rumah untk jangka masa lama sehingga dapat dilihat jelas pada paparan di atas.

Thursday, March 8, 2012

Ironi Dunia Nyata

situasi 1:

Anda bekerja keras, kerja yang harus disiapkan dalam masa 5 hari telah anda habiskan dalam masa 4 hari. Sejak hari pertama lagi anda bertungkus lumus sehingga sanggup tidak makan tengah hari, demi menyiapkan tugasan itu supaya tidak susah di kemudian hari.

Namun apabila anda siap awal, pada hari kelima anda dapat merehatkan lelah anda, masa lebih lapang dan diluangkan bersama kawan. Malangnya pada hari kelima itu anda disyaki sebagai tidak mempunyai kerja dan suka membuang masa.


situasi 2:

Anda mendapat kerja yang perlu disiapkan dalam masa lima hari, namum sejak hari pertama anda bekerja pada kadar yang sangat minimum. Pulang ke rumah juga tepat jam 5.30pm dan pada hari keempat anda cemas lantas anda bertindak untuk bekerja lebih masa.

Pada hari kelima, masih ada kerja yang berbaki. Emosi anda naik mendadak sehingga sesiapa sahaja seperti mengganggu kuliati kerja anda. Di petang harinya, anda memberitahu rakan anda betapa sibuknya anda, sampai mahu pengsan. Di sini anda dianggap sebagai pejuang, dan sekitar melihat anda sebagai bekerja keras dan sibuk sepanjang masa. Di sini anda mendapat penghormatan yang lebih berbanding anda jika di situasi 1. Sungguh ironi.