Showing posts with label bual bicara. Show all posts
Showing posts with label bual bicara. Show all posts

Wednesday, August 10, 2016

Wednesday, April 22, 2015

Ujian..

Kita selalu cakap pada orang, bila orang tu berjela panjang menceritakan perihal suatu kisah duka atau masalah, kita akan menyatakan agar bersabar. Jika dipanjangkan lagi mungkin ditambah lagi supaya berdoa yang terbaik. Kita berasa wajib untuk memberi sepatah dua kata namun yang bermain di benak hanyalah kosong sahaja. Mungkin sama sekali kita malas mendengarnya, dengan jalan pintas ini kita dikira memiliki sifat prihatin yang menjadi norma dalam jiwa seseorang masyarakat Malaysia.

Tahun 2015 kali ini bakal melabuhkan tirai sukuan pertama. Perubahan pada negara dari segi sistem percukaian sehinggalah kepada ikutan masa kini hanyalah dikatakan masalah, meniti dibibir namun kadang kala kita bukanlah memikul beban itu sepenuhnya. Mungkin emosi, perasaan tidak puas hati dan sebagai menunjukkan protes atas logik akal fikiran. Mahu atau tidak, sebagai rakyat itulah pilihan yang ada.

Dulu aku selalu berfikir, apakah rasanya menjadi orang yang betul-betul mengalami masalah wang? Apakah yang dikatakan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang? Apakah sekiranya aku tidak mampu untuk membeli Iphone melayakkan aku untuk merasakan diri aku sebagai seorang yang mempunyai masalah wang? Apakah selama ini aku menabung atau selama ini pendapatan aku memang tidak melayakkan aku untuk menabung? Apakah menabung itu khusus untuk hari tua, atau sempatkah kita tua untuk merasai hasil tabungan itu?

Ramai yang tidak pernah mengadu pasal masa, termasuk aku. Jika aku tidak mengecapi sesuatu impian, aku tidak pernah menyalahkan faktor masa. Mungkin kerana masa yang berlalu itu tidak berjasad, hanya menunjukkan kesan setelah kita melepasinya dan menyesali akan pentingnya ia. Jika sibuk sekalipun, jari menunding kepada manusia, atau ketirisan dari pihak lain. Mungkin faktor berkait namun masa paling bererti apabila kita dirundung masalah kesihatan. Benarlah kata-kata bahawa masa itu emas, tetapi kita selalu menggadainya. Andai esok mati, apakah yang paling kita mahu lakukan?

Jika sakit, apakah indikasi rasa sakit itu sama untuk setiap manusia? Apakah demam panas pada suhu 41 darjah selsius pada diri kita itu dirasai sama jika berlaku pada orang lain juga? Ini disokong oleh preskripsi doktor yang memberi ubat pada dos yang sama pada setiap pesakitnya. Namun, ada yang cepat pulih manakala ada pula yang mengalami kesan sampingan yang berbeza. Kadang kala kita rela untuk membayar kos perubatan demi untuk mendapat sekeping surat sakit, tetapi bagaimana pula bila kita benar-benar sakit dan berdepan dengan kos rawatan yang kita tidak mampu membayarnya? Atau rawatan penyakit itu memberi impak besar kepada kehidupan kita kemudiannya? Penyelamat adalah insuran, namun kita harus sedar bahawa insuran adalah jalan terkahir sesuatu penyelesaian dalam pengurusan risiko.

Kita hidup bukan sendirian, walaupun tinggal seorang diri tetapi masih tetap memerlukan orang lain. Bagi yang hidup berpasangan, pastinya mengharapkan kebahagiaan. Perkara paling ditakuti adalah kecurangan, penindasan, penipuan, perpisahan dan sebagainya yang membawa kesedihan. Namun apakah indikasi terpenting dalam kesetiaan suatu perhubungan? Tidur bersebelahan seorang isteri dengan suaminya, apakah di dalam hati suami itu hanya ada wajah iserinya? Apakah ketika si suami pergi bekerja, si isteri di rumah tidak bermain mata? Bagaimana jika wujud kecurangan yang terperinci mahupun yang telah direncana terlebih dahulu agar tidak dapat dikesan oleh pasangan? Jika perkara ini yang membelenggu kita, tentu sekali hidup kita terasa amat sunyi bagaikan jauh dari insan tersayang.

Apakah kiranya jika kita berada dalam situasi di mana semua masalah ini bergabung serentak dan menjadikan diri kita sebagai insan terpilih untuk melaluinya?


Wednesday, December 24, 2014

Kakak Jubah Hitam

Bayangkan, anda kesuntukan waktu dan anda juga kesempitan wang saku. Anda meluru laju ke sebuah mesin ATM akan tetapi seorang kakak berjubah hitam manik blink-blink memintas di depan. Atas dasar menghormati insan yang lebih berusia, dan juga mendahulukan kaum hawa, tentu sekali ada pasrah menanti di belakangnya menunggu tibanya giliran anda.

Perlahan-lahan, kad ATM di cari dari dalam wristlet yang besar. Sepurnama menanti, akhirnya baru kakak tadi perasan yang kad ATM itu sekadar diselitkan di side pocket wristletnya. Sebaik kad ATM dihulurkan untuk dicucuk, telefon berdering dengan ringtone lagu nyanyian Siti Nurhaliza, "jaga dia untukku, bilaku masih jauh.."

"Hello, haaa... ya, saya dah on the way dah. Lagi 5 minit saya sampai la KLCC," jawab spontan kakak itu kepada pemanggil. Sebaik telefon dijauhkan dari telinga, kakak ini sambung menaip Whatsapp pula. Saya pasti, kesabaran menanti masih lagi utuh.Keadaan di stesen LRT Bangsar cukup sibuk. Sesekali terdengar bunyi roda besi tren bergesel di landasan. Sudah dua kali kedengaran bunyi bingit begini, barulah kakak ini berjaya mencucuk kad ATMnya. 

Sudah menjadi lumrah kaum hawa, setiap kali menggunakan mesin ATM, perkara wajib yang akan dilakukan adalah untuk memeriksa jumlah baki mestipun sebelum keluar dari pejabat sudahpun membuat pemeriksaan baki melalui Maybank2u. Sekadar untuk kepastian dan kepuasan, amalan ini tetap dilaksanakan meskipun apa yang terjadi. Kemudian, barulah proses mengeluaran wang simpanan dilakukan.

Alangkah leganya apabila setelah 4 minit berlalu, barulah terdengar bunyi mesin sedang mengira helaian wang yang bakal dikeluarkan. Anda akan pasti tertunggu-tunggu saat manis ini dengan tangan menggeletar sambil kad ATM dicucuk-cucuk ke dagu. Sebaik kad ATM keluar, kakak itu kelihatan dengan cermat membuka zip wristletnya untuk menyimpan kad ATM tersebut dan kembali dizipkan. Sebaik wang pula keluar, sekali lagi zip wristlet dibuka dan perlahan-lahan mahu menyelitkan wang di ruangan tertentu. 

Akan tetapi, wang itu masih di tangan. Sesekali diriku yang kesuntukan waktu ini sampai terjingkit-jingkit dengan harapan kakak ini akan melangkah ke tepi untuk memberi laluan kepada pengguna seterusnya. Eh?? Seminit berlalu, kakak berjubah hitam berkilau ini masih tercegat di situ. Atas menghormati hari jumaat penghulu segala hari, anda pasti akan menarik nafas sedalamnya sebagai latihan menguatkan tahap kesabaran, kerana kesabaran itu separuh dari iman.

Tiba-tiba kakak ini membuat gerakan tubuh, secara spontan membuat pusingan 180 darjah dan kini anda saling bertentangan mata. Anda ke kiri, kakak pun ke kiri. Anda ke kanan, kakak pun ke kanan. Sejenak berfikir, kakak ini kembali membuat pusingan 180 darjah dan mengambil masa 45 saat justeru mengeluarkan sekeping lagi kad ATM, tetapi kali ini untuk membuat pembayaran loan kereta.

Tuesday, August 12, 2014

Roti

Roti sememangnya sudah menjadi makanan harian ketika bersarapan ataupun pada waktu malam bagi anda yang berdiet. Namun tahukah anda bahawa terdapat beberapa jenis roti yang boleh menjejaskan kesihatan anda?

Oleh itu, di sini kami ingin berkongsi dengan anda mengenai bahan-bahan yang terdapat dalam roti dibawah yang perlu anda elakkan dari membeli yang dipetik dari Wanita.
 
L-eysteine Sejenis zat penghalus yang ditambah pada roti bagi mempercepatkan proses pembuatan. Walaupun zat ini dihasilkan di makmal, namun bahan ini diperoleh daripada sumber semula jadi. Bunyi tidak membimbangkan kerana bahan semula jadi tetapi semula jadi yang dimaksudkan ialah rambut manusia, bulu ayam, tanduk lembu dan macam-macam lagi.
 
Potassium Bromate Zat ini digunakan untuk memendekkan roti selain mempercepatkan adunan menjadi keras. Kebanyakan syarikat pengilang roti cukup menggemari bahan ini kerana banyak kos dapat dijimatkan. Tetapi, apabila dilihat dari aspek kesihatan, nyata penggunaanya cukup membahayakan. Hal ini kerana zat ini boleh menyebabkan penyakit kanser ginjal dan tiroid! Beberapa negara seperti Brazil, Eropah, Peru, Korea Selatan dan China, Potassium Bromate ini sudah diharamkan penggunaannya lantaran bahan ini mejadi molekul kepada pembentukan kanser yang sangat menakutkan!

Bijirin yang diproses
Meskipun dicampurkan ke dalam roti tetapi bijirin ini langsung tidak memberi apa-apa kebaikan sekalipun, Bijirin ini kemudiannya dipecahkan menjadi gula pada kadar yang sangat cepat sehingga menyebabkan paras darah naik mendadak. Keadaan ini berkait rapat dengan penyakit tekanan darah tinggi, penyekatan insulin serta meningkatkan risiko serangan jantung sebanyak 30 peratus. Sebab itulah jangan sekali-sekali biarkan diri tertipu dengan kandungan bahan-bahan yang digunakan sekalipun dikatakan berasal dari bijirin yang kaya nutrisi.

Azodicarbonamide
Digunakan untuk melembutkan tekstur roti malah di Amerika Syarikat sendiri, kebanyakan roti burgernya dihasilkan menggunakan bahan tersebut. Di Singapura, penggunaan bahan ini telah dilarang kerana banyak kajian yang dijalankan mendapati zat ini membawa bahaya kepada sistem pernafasan, asma serta masalah alergi kepada sesetengah manusia.

Fruktosa
Dikenali juga sebagai sirap jagung yang mana fungsinya adalah untuk mengembang dan memberi warna keperang-perangan pada roti. Kebanyakan pengilang gemar menggunakan gula ini lantaran harganya yang murah dan menguntungkan. Tetapi, kesan kepada kesihatan manusia pula adalah seperti masalah obesiti selain tekanan darah tinggi, sindrom metabolisme, penyakit hati dan lain-lain lagi.

Thursday, July 3, 2014

Budaya Dalam LRT

LRT adalah sejenis pengangkutan awam yang menjadi trend dari dulu lagi. Kalau di Malaysia, bermula sejak menjadi hos Sukan Komanwel, jadi penggalak untuk menaik taraf sistem pengangkutan. Selain menjadi pengangkutan alternatif untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas, terdapat pelbagai lagi kebaikannya, termasuklah penjimatan masa serta kos.

Kalau di Eropah, sistem pengangkutan LRT atau Metro telah lama dipraktikkan, seawal zaman hitam putih lagi di mana bandar-bandar seperti London, Moscow, Sarajevo dan beberapa lagi. Namun kini ia menjadi tuntutan untuk menyediakan pengangkutan ini siap dengan kemudahan serta keselesaan. Kesan dari ini, dapat dilihat perilaku serta tabiat yang dilihat, serta boleh diklasifikasikan.

1. Berdiri Walaupun Kosong
Terdapat segelintir yang apabila melangkah masuk, terus berdiri. Lokasi paling menjadi kesukaan adalah bersandar di tepi dinding berhampiran pintu. Selain itu port lain yang dilihat menjadi kesukaan adalah pada bahagian sambungan antara koc tren. Walaupun terdapat kerusi yang kosong, namun mereka dilihat enggan duduk. Mungkin kerana mereka suka berdiri, atau gusar pakaian menjadi berkedut, atau demi kesihatan, atau mungkin juga menghormati pelekat tanda yang menyatakan kerusi harus diberikan kepada golongan tua, perempuan mengandung,  cacat atau kanak-kanak. Mereka yang suka berdiri ini biasanya dilengkapi dengan gajet seperti telefon pinta siap dengan earphone, bermain game di tab atau mendengar Mp3. Orang yang berdiri ini biasanya lebih cergas daripada yang duduk, kerana yang duduk saban kali menguap dan tidur hingga berbantalkan bahu penumpang di sebelah tanpa meminta izin.

2. Mengharap Simpati
Terdapat segelintir golongan, terutamanya wanita yang mengandung, tak kira perutnya besar atau kecil, atau mungkin kerana mengalami kegemukan yang apabila masuk ke dalam koc LRT terus meluru beridir dihadapan mereka yang duduk dengan menyua perut. Perut biasanya disuakan dekat dengan muka mereka yang duduk, sebagai amaran untuk memberikannya tempat duduk tersebut. 

3. Mabuk Duduk Belakang
Ada yang suka berdiri di koc paling depan, mengadap cermin seperti menikmati perjalanan roller coaster. Mereka ini sebolehnya akan tetap mahu ke lokasi itu walaupun harus menolak orang lain melalui ruang sempit. Dahulunya lokasi ini selalu diberikan kepada kanak-kanak prasekolah yang sedang masih mencari cita-cita bersesuaian, namun kini kanak-kanak lebih didedahkan dengan kerjaya di Kidzania. 

4. Wak Doyok Wannabe
Terdapat mereka yang suka berdiri, mengadap cermin. Sambil berdiri mereka sibuk untuk memperkemaskan rupa paras terumatanya rambut atau bulu-bulu di muka. Apabila memasuki terowong gelap, cermin tadi merubah menjadi cermin muka, lantas dilihat golongan ini akan beraksi seperti di meja solek di rumah.

5. Degil
Bagi yang bersimpati, yang duduk mahu memberikan tempat duduk tadi kepada mereka yang lebih berhak. Namun, ada di antara mereka yang degil dengan menolak permintaan itu. Penulis pernah melihat seorang manita yang enggan duduk setelah disyorkan oleh seorang lelaki. Kerusi itu kosong tanpa siapa yang berani duduk, kerana gusar diberi jolokan penting diri. Akan tetapi, perempuan yang degil tadi telah berbisik kepada rakannya dengan menyatakan dia marah kerana dianggap mengandung, padahal mengalami masalah obesiti dan perut buncit.

6. Bising
Bagi yang suka bercakap, berbual rancak seperti ingin mewar-warkan ke seluruh dunia. Dengan gedik atau bersungguh-sungguh, mereka berbual tentang perihal di pejabat, seperti memarahi boss yang menyusahkan hidupnya, mahu memberi tugas semuanya kepada dia dengan menyatakan semuanya mahu dihempukkan kerja ke atas batu jemala patik. Ada juga yang menyanyi sambil mendengar Mp3, ada juga anak remaja berbangsa India yang dengan lantang memasang loud speaker lagu-lagu bahasa Tamil dan Hindustan. 

7. Menghargai Masa
Mereka mungkin bekerja di syarikat multinasional, atau mungkin memagang jawatan penting di syarikat, apabila keluar dari LRT, mereka terus memecut laju untuk turun di tangga. Biasanya adalah gadis berbangsa Cina. Mereka mungkin juga telah kelewatan, atau sudah menjadi tabiat untuk sentiasa bergegas menuruni tangga sebagai mengambil watak seperti bekerja sebagai pegawai eksekutif di bandar besar seperti New York. Tak kurang juga yang tak sabar-sabar nak keluar dari koc dengan mengeluarkan kata-kata "excuse me!", padahal orang di depannya juga ingin keluar di stesen berikutnya itu.

8. Ulat Buku
Memang sangat baik, budaya membaca adalah budaya masyarakat berilmu. Membaca jambatan ilmu, tapi jika anda sekadar membaca novel cinta penulisan Melayu seperti novel Ombak Rindu sangat tidak menjadi masalah. Tapi sekiranya anda duduk di kerusi tengah, anda membaca surat khabar penulisan Cina, habis kedua-dua riba penumbang di sebelah anda di hidangkan dengan hamparan kertas itu. Seharusnya lebih peka untuk keselesaan orang lain.

9. Selfie
Budaya selfie juga menjadi tren namun bukan di pagi hari. Jika anda menggunakan tren LRT pada hari minggu, anda dapat melihat anak gadis, bertigaan serentak memuncungkan bibir untuk berselfie menggunakan aplikasi Camera 360. Budaya ini hanya wujud ketika waktu cuti kerana kebanyakan pengguna sedang menuju ke lokasi hiburan. Ada juga yang menjadikan dual-lens camera telefon pintar untuk memperbetulkan lilitan tudung serta meratakan bedak di wajah.

10. Diva 
Diva naik LRT? Tentunya tidak, sebab diva tak selesa menggunakan pengangkutan awam. Diva suka menggunakan kereta sendiri kerana sambil memanaskan enjin, diva boleh selfie dahulu dalam 10 cerapan, lantas dimuat naik ke Facebook atau Instagram.

Tuesday, March 25, 2014

MH370


Minggu lepas Malaysia dikejutkan dengan berita kehilangan pesawat MH370 yang membawa penumpang dari KLIA menuju Beijing. Cukup misteri, pelbagai spekulasi dan masing-masing ingin memberikan pendapat sama ada dalam perbualan mahupun di laman Facebook. Tinjauan penulis terhadap kejadian ini menggambarkan ia memjadi suatu fenomena dan dapat diklasifikasikan mengikut kumpulan yang menjurus ke arah kecenderungan yang sesuatu.

Sesuatu yang dimaksudkan bukanlah bahawa wujud golongan yang seakan menganggap peristiwa ini sebagai bentuk hiburan, namun rata-rata rakyat Malaysia tidak sabar untuk mendapat kesudahan daripada siasatan yang dilakukan. Sikap berlumba-lumba ini bagaimanapun telah menyebabkan pihak Malaysia Airlines dan kerajaan tidak dapat duduk dengan tenang, ibarat tidur malam tak lena dibuatnya.

Yang pasti, peristiwa ini bakal menjadi pencetus terhadap perubahan yang harus dilakukan dalam sistem keselamatan negara sama ada dari segi sekuriti atau pengurusan maklumat. Mari kita lihat klasifikasi status Facebook oleh pengguna yang mengambil peristiwa MH370 sebagai 'trend' :

1. Internet Bergerak
Paling ketara, ramai yang membuat carian di internet tentang apa sahaja berita lantas dikongsi menerusi laman Facebook sebagai status terkini. Bukan sahaja laman web CNN dan BBC namun turut berkongsi artikel dari forum carian, muda depan Harian Metro, tulisan blogger bekas pesara juruterbang dan laporan terkini Astro Awani.

2. Pemasaran Insuran
Bagi ejen insuran, ramai yang terkejut dan menzahirkan perasaan gundah gulana yang merisaukan apabila nama penumpang MH370 dikatakan mirip dengan klien mereka. Secara tidak langsung, secara maya polisi insuran dipromosikan sebagai mengambil kesedaran terhadap pemilikan insuran. Kemalangan tidak berbau, lindungi diri anda dengan pelindungan insuran.

3. Pendekatan Agama
Ramai sekali yang menulis status untuk berdoa supaya dapat menemui kembali MH370. Pelbagai gambar yag dimuat naik, yang tertulis 'Pray for MH370' dan sebagainya. Ramai juga yang membuat maklumat lokasi masjid atau surau yang mengadakan solat hajat.

4. Parodi
Paling mendapat perhatian adalah kisah di mana bomoh VIP tengah melakukan ritual mengikut fahaman mereka sebagai usaha untuk menemukan MH370. Akan tetapi, ramai yang telah membuat parodi terhadap kejadian ini. Secara tidak langsung ia telah menjadi bahan jenaka yang secara totalnya tidak menyumbang sebarang usaha dalam proses mencarian MH370 yang hilang.

5. Detektif Conan
Terdapat sebilangan mereka yang intelek dengan membuat spekulasi berdasarkan berita yang didengari entah dari mana puncanya, digabungkan tak kira sumber sahih mahupun diceduk dari laman gosip dan dijelmakan suatu konsep berbentuk kaedah perincian jenayah terancang. Pesawat dikatakan telah membuat penerbangan di ruang angkasa Port Dickson, merentasi Banjaran Titiwangsa dan akhirnya mengaitkan ketengangan Rusia-Ukraine. Tak terkecuali juga yang membuat teori bahawa ini adalah kesan daripada jatuhnya hukuman 5 tahun penjara ke atas Anuar Ibrahim dan agenda penaklukan oleh Al-Qaeda. Teori dan spekulasi yang dibuat ini menunjukkan terdapat sebilangan rakyat Malaysia yang amat kreatif dan inovatif, cuma kurang latihan daripada institusi terlatih. Akibatnya, setiap status yang dimuat naik tidak sealiran dan berubah-ubah seperti pendirian daun lalang. Kemahiran yang ditonjolkan akhirnya membuahkan jalan buntu.

6. Peniaga Online
Di samping peristiwa ini, para peniaga online telah merasakan reputasi jualan mereka akan jatuh, atau mengambil dari kesempatan ini sebagai peluang. Tidak dinafikan, negara China adalah sumber utama produk jualan peniaga online. Alpa dengan status asal, akhirnya komen-komen yang dibincangkan dibawahnya ebih berkisarkan nama pasar dan produk yang berpotensi dibawa ke medan penjualan di alam maya. Peniaga online majoritinya menggunakan perkhidmatan penerbangan komersil untuk mendapatkan stok produk jualan.

7. Dedikasi Diri
Apabila pihak Malaysia Airlines mengumumkan senarai nama penumpang MH370, ramai yang membuat pengakuan yang mereka kenal melalui saudara marah, bersilih dengan kenalan atas kenalan mahupun pernah mengenali dalam kehidupan terdahulu. Jarang dijumpai penulis status yang mempunyai ikatan primer atau sekunder dengan nama penumpang tersebut, tetapi berlapis-lapis bagaikan rantaian perniagaan MLM. Secara tidak langsung, kaedah ini dapat menonjolkan diri si penulis di samping meraih bilangan pengguna yang 'likes'. Selain itu ada juga yang mengambil kesempatan ini untuk mencungkil bakat terpendam, seperti memuatnaik lagu nyanyian sendiri, syair, puisi dan mutiara kata hasil nukilan sendiri.

8. Patritisme
Terdapat segelintir yang mengibaratkan syarikat MAS sebagai lambang mempromosikan Malaysia seantero dunia. Mereka menepis segala spekulasi yang menjatuhkan syarikat itu dengan apa jua usaha.

10. Diva Kolestrol
Diva tentunya berasa sedih. Diva senantiasa mendoakan yang terbaik untuk kesemua penumpang pesawat MH370. Dapat dibayangkan Diva yang menulis status sebegini dengan syahdunya. Setelah memberi salam dalam keadaan duduk tahiyat akhir, air mata Diva berlinangan sambil menadah tangan memohon doa agar MH370 dapat ditemukan. Diva selalu naik kapal terbang, pergi Krabi dan Bandung, oleh itu Diva dapat membuktikan walaupun Diva ada banyak kolestrol tapi kapal terbang masih mampu terapung di awan.

Tuesday, November 5, 2013

Pembenci & Pembencian

Zaman sekarang tidak semestinya hanya artis sahaja yang mempunyai pembenci atau haters. Tidak percaya?? Cuba amalkan menulis status annoying di fesbuk sekerap mungkin. Apakah reaksi pembaca setelah beberapa kali anda pengulanginya? Untuk kaedah fast-track status itu hendaklah ditulis bersama elemen yang boleh meraih perhatian pembaca, sama ada menyentuh isu perkauman, lucah mahupun mengecam individu atau organisasi berprofil tinggi. Terus waran dikeluarkan dan di bawah akta hasutan 1948 anda meringkuk dalam ISA. Akan tetapi, ini adalah kes yang menggugat perpaduan negara, jika dibandingkan dengan masalah persahabatan yang sekadar gaduh-gaduh manja, selepas itu diikuti dengan amalan unfren di Facebook.

Apakah hebat menjadi seorang pembenci? Sedar atau tidak, setiap individu pasti ada perkara atau objek yang diminati, atau kurang disenangi. Mungkin kerana bukan pilihan namun atau sekadar perasaan tidak suka, namun ia boleh membentuk suatu kebencian. Bagaimana boleh timbulnya benci?

Ambil contoh, jika anda keluar dari pejabat dan terdapat sebuah kereta yang dipacu laju, tidak mahu beratur malah terus memancung anda dan meluru tanpa segan silu tanpa memberi sebarang amaran kecemasan atau angkat tangan tanda maaf. Kondisi ini boleh kita bahagikan kepada dua. Jika si pelaku adalah orang awam, maksudnya orang lain yang tidak dikenali, mungkin kesannya hanya kita akan memaki hamun satu kali, kemudian ia boleh lupakan. Jika ditanya seminggu kemudian, apakah warna kereta yang melakukan kesalahan itu? Mungkin kita sudah lupa.

Sebaliknya berlaku jika si pelaku adalah insan yang kita kenali? Tentu hukuman yang kita jatuhkan untuknya lebih hebat bukan? Jadi penilaian tahap kebencian adalah berbeza, sangat subjektif. Namun, kebencian ini boleh dibendung, boleh dikaji punca kehadirannya dan mungkin boleh diatasi. Faktor emosi menjadi penyebab kebencian bertukar menjadi tidak terkawal.

Jika saya, anda mahupun rakan anda adalah pembenci, apakah elemen-elemen yang ada dalam diri pembenci? Mari kita kaji satu persatu daripada kebanyakan ciri yang sangat signifikan dengan seorang pembenci. Hanya mengkaji beberapa, atas dasar frekuensi dengan mengambil contoh kejadian menerusi teknologi media sosial kini. Tidak perlu pergi jauh, hanya dihujung jadi anda mampu menjadi seorang pembenci.


1. Pembenci Adalah Stalker

Jika benar apa dikata, rasa benci lahir dari hati setelah mendapat kawalan dari otak. Rasa benci yang dilahirkan terjana setelah mata, mulut atau deria lain menerima maklumat. Proses mengadaptasi maklumat ini dianalisis oleh otak, justeru maklumat ditafsir dan sebagai side effect lahirlah suatu rasa. Pelbagai rasa yang boleh wujud, seperti rasa kagum, rasa bahagia, rasa sedih dan juga rasa benci. Oleh itu, rasa benci terhasil, di mana pembenci membenci suatu kebencian. Namun dari mana datangnya rasa benci ini?

Sedia maklum, jika kita membenci sesuatu, kita terus mengkaji atau mencari maklumat untuk mengetahu info lanjut tentangnya, kebencian akan meningkat. Pendek kata, pembenci bertindak menjadi stalker, tanpa dijemput dan kemudiannya menyakitkan hatinya sendiri. Gejala ini boleh dibendung tetapi emosi ingin tahu menewaskan segalanya dan disusuli tindak tanduk yang sama ada relevan atau tidak. Jika anda masih mengamalkan aktiviti stalker, anda berisiko menjadi pembenci dan anda sebenarnya menyakitkan hati anda sendiri.

Selain itu, pembenci juga boleh melakukan aktiviti sub untuk tugasan stalker, namun hanya boleh dilakukan jika bergerak dalam satu kumpulan yang lebih dari satu. Ini diamalkan agar memudahkan tugas pencarian maklumat kerana banyak media sosial sudah mempunyai ciri keselamatan yang sentiasa dipertingkatkan dari hari ke hari.


2. Sastera Ekstrim

Pembenci menulis mengikut perasaan, membuat pengakuan mahupun menyatakan pendapat dan tak kurang juga yang mengherdik individu lain mahupun organisasi tertentu. Pembenci meluahkan segala yang terbuku, dengan baris ayat yang dapat dihidu akan intonasinya. Biasanya ayat-ayat ini mempunyai maksud yang keras.

Pembenci dalam diam, tidak terkecuali menjadi pembenci tegar namun pembenci dalam diam ini kurang memberi impak. Menurut amalan, sebarang perkara tidak baik yang dibuat dalam diam akan merugikan diri, tidak pula dinyatakan ianya akan merugikan pihak lain. Pembenci yang lantang bersuara adalah pembenci yang tegar. Pembenci tegar menggunakan liuk bahasa, tatabahasa yang keras dan paling ketara adalah objektifnya yang menampakkan kesan negatif kepada diri pembenci mahupun yang dibenci. Penggunaan bahasa yang kesat, tatabahasa yang tidak sesuai digunakan oleh pembenci bagi meluahkan perasaan yang terkandung dalam dirinya, kerana target pembenci tentunya kepada yang dibenci sama ada pembenci mahukan yang dibenci itu merasa sedih, terkilan, sentap mahupun membuat serangan balas.

Ciri penulisan pembenci boleh dikenal pasti melalui pembacaan beserta intonasinya. Selain itu, kebencian dapat dilihat pada penulisan tersebut, seperti menggunakan kata-kata kesat, pengulangan berganda, warna tulisan jika ditulis dengan tangan, penggunaan perkataan ultimation, huruf besar pada kesemua atau sebahagian penegasan, penggunaan tanda baca yang luar biasa dan sebagainya.


3. Penjatuh Hukuman

Bidang kehakiman adalah badan tertinggi yang bertanggung jawab untuk melaksanakan undang-undang. Bukan bermaksud tugas mereka hanya ketika ada perbicaraan tapi secara berterusan sepanjang masa. Ibarat seorang hakim yang menjatuhkan hukuman, begitu pembenci meletakkan satu batu tanda sebagai rujukan, atau aras piawai.  Jika tersasar dari piawaian ini, pembenci akan menggunakan akal fikiran dan pertimbangan yang dia ada pada ketika itu untuk menghakimi sesuatu perkara dan selalunya membuat perbandingan.

Contohnya, pembenci menyatakan sesuatu kejadian sebagai tidak relevan dan dikuti dengan pendapatnya mengapa ia tidak relevan. Pendapat ini disokong oleh suatu perbandingan di mana pembenci akan meletakkan sesuatu tanda aras yang sepatutnya keadaan itu terjadi. Ini dilakukan untuk menampakkan bukti atau sokongan atas kenyataannya. Akan tetapi, jika sokongan itu tidak kuat atau mampu disangkal, ia akan menjejaskan kredibiliti pembenci itu sendiri. Pembenci yang bijak akan mencari sokongan yang signifikan serta mempunyai tahap komplikasi rendah. Jika dibidas, setidaknya pembenci mampu membidas lagi.

Kebiasaannya, dalam keadaan yang marah, pembenci biasanya membuat perbandingan yang mempunyai konsep ironi. Oleh itu, ayat yang lengkap biasa digunakan oleh pembenci dimulai dengan kenyataan dan perbandingan, dikuti bukti sokongan dan diakhiri dengan hukuman. Hukuman yang sangat berat biasanya dijatuhkan untuk memberi elemen kepuasan hati.


4. Penafian

Penafian penting untuk menganjakkan diri pembenci dengan meminimumkan atau mengecualikan dirinya daripada kejadian yang ingin dibahaskan. Ini berlaku kerana kejadian tersebut telah diletakkan suatu klasifikasi perbandingan beserta hukumannya. Oleh itu wajar bagi pembenci membuat kenyataan penafian.

Jika ditafsir, penafian ini berkait rapat dengan karaktor awal pembenci sebagai stalker. Sebagai penganalisa yang bijak, kita boleh membuat siasatan mengikut modus operandi pembenci ini kerana kelemahan pembenci adalah penafian yang sebenarnya berkait rapat dengan sumber maklumat. Jika tiada maklumat, bagaimana fenomena pembencian wujud? Jelas sekali pembenci yang gagal merahsiakan konsep pencarian maklumatnya akan menghadapi krisis bahaya.

Pembenci yang gagal peringkat awal untuk elemen ini boleh dilihat pada penulisannya. Contohnya, pembenci menyatakan untuk tidak mengendahkan kejadian. Akan tetapi, jika tidak diendahkan, bagaimana berlakunya proses pencarian maklumat yang kemudiannya mencetuskan suatu pembencian?


5. Sambutan

Skala kejayaan pembenci adalah bergantung dengan sambutan yang diterima. Di laman sosial fesbuk, jumlah like dan komen menjadi kayu ukur kejayaan ini. Kita boleh amati sesorang pembenci mempunyai kelompok pembacanya, sama ada perhubungan menerusi sekolah, pengajian tinggi, tempat kerja, kawasan tempat tinggal mahupun rakan rawak.

Kenyataan pembenci selalunya meraih sambutan menggalakkan. Jika isu yang dibahaskan itu dipersetuji ramai kelompok perhubungan, ia boleh diklasifikasikan sebagai universal di mana ia diterima ramai oleh setiap jaringan hubungan dalam semua kelompok. Akan tetapi, jika kenyataan itu disokong oleh hanya satu kelompok, atau sebaliknya. Konsep ini juga membolehkan kita menafsir kelompok yang menyokong dan kelompok yang tidak menyokong. Kajian ini boleh boleh mendedahkan kelemahan pembenci. Oleh itu, pembenci yang bijak akan membuat penyataan terperinci agak elemen-elemen lain turut terlaksana dan dikunci rapat agar tidak boleh dibolosi pihak lawan.

Jika terdapat perpecahan dalam kelompok yang memberi atau tidak memberi sambutan, kajian boleh dilakukan dan amat signifikan kerana kajian ini lebih fokus kepada hanya satu kelompok sahaja. Amat berbahaya kepada pembenci, jika kenyataan kebencian menjurus ke suatu kelompok namun tidak menerima sebarang sokongan dari pihak kelompok itu, pembenci anda mungkin sedang dihakimi oleh pihak ketiga. Silap langkah, pembenci dapat diberkas dan layak menerima hukuman yang setimpal dengan kenyataan pembenci sebelum ini.

Monday, October 28, 2013

Jangan Tanya Lagi

Kes 1: Datang Lambat

Jam sudah pukul 9.30 am dan kawan anda baru sampai ke pejabat. Langkah laju meluru ke pintu masuk utama, mencari kad yang tertulis namanya lantas dimasukkan ke dalam mesin kedatangan. Merah! Mungkin bulan ini sudah kali keempat, lalu tanpa rasa bersalah terus meluncur laju ke tempat duduknya dengan langkah yang paling kurang menghasilkan bunyi. Belum sempat duduk, anda bertanya suatu soalan kepadanya, "Eh, ingat cuti hari ni?" Tanpa menoleh ke arah anda, dia seorang eksekutif biasa menjawab, "Aku kan boss!!"
 
 
Kes 2: Selera Berbeza
 
Pejabat anda bekerja didominasi oleh warga Pantai Timur. Nyata sekali bahasa melayu baku menjadi bahasa pengantar ketiga selepas bahasa Inggeris. Tiba untuk mengadakan majlis makan beramai-ramai, anda seperti biasa tidak mahu memberikan sebarang pendapat dan idea kerana gusar akan ditugaskan untuk membuat tempahan atau membuat kutipan wang atau sebagai jurubasuh pinggan. Di suatu petang anda melangkah masuk ke pantri untuk membancuh Nescafe terlihat seorang kawan sedang membasuh cawannya, seperti baru habis makan tengah hari. Anda menegurnya dengan menghadiahkan satu soalan cliche, "Lambat makan hari ni?" Dengan pendek dia membalas, "Aku tak makan nasi dagang".


Kes 3: Tak Kuasa Melayan

Di bawah terik mentari, perut lapar mengharapkan sepinggan nasi berlauk enak, warga penghuni asrama nyata perasaan mereka mula tidak keruan. Emosi melonjak naik, ekspresi wajah mula menimbulkan urat yang tegang. Seorang kawan dengan kudrat dan irodatnya memikul baldi penuh dengan pakaian yang siap dibasuh ke tepi koridor untuk disidai. Satu persatu dibawa keluar, diperah sehingga ke titisan akhir. Menjadi amalan masyarakat Melayu, bertegur sapa boleh merubah emosi keadaan, lalu bertanya, " Weyy.. Buat apa tu?" Sebaik jatuh titik noktah pada ayat soalan anda, rakan tadi menjawab, "Basuh pinggan".
 
 
Kes 4: Rimas Dan Bingit
 
Kemeriahan sambutan hari raya terasa bahangnya semenjak awal berpuasa lagi. Dari pagi sampai ke malam, persiapan dilakukan sehabis boleh, bergolok bergadai demi kepuasan hati masing-masing. Di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), waktu malam warga kota berkunjung untuk membeli belah barang keperluan terutamanya baju raya. Ruang parkir kereta penuh, kadar bayaran parkir dinaikkan sewenangnya, keadaan sesak penuh ramai umat manusia, kedai-kedai memasang lagu sekuatnya, suhu persekitaran meningkat sehangat di tengah hari, kaki lenguh berjalan di sepanjang gerai dan begitulah saban tahu namun anda tetap mahu berkunjung ke sana setiap tahun.
 
Seorang wanita lewat 40an sedang membelek tudung Halfmoon, dengan di bahunya tersangkut beberapa helai tudung awning pelbagai warna, kulit wajah berminyak namun tekanan diatasi atas dasar selagi boleh bersabar. Tidak semena-mena kanak-kanak dengan meriahnya bermain mercun tidak jauh dari tu, tanpa henti langsung tidak menghiraukan orang lain. Wanita tadi keresahan kerana bateri telefon pintar telah kehabisan selain wang ringgit yang kian menyusut, terus menjerit, "Woiii!!!!! Boleh diam sikit tak?? Tahu tak ni aku tengah pilih tudung nih??"

Friday, April 19, 2013

PRU 13

Parlimen telah dibubarkan dan setiap kali negara menghadapi plihan raya umum, sudah pasti kekecohan politik melanda. Petik sahaja televisyen, berkumandang suara mereka sedang semangat berucap seperti rakan anda yang bijak berpidato di sekolah dulu. Terdapat ceramah-ceramah umum dianjurkan tak kira di padang bola ataupun di dewan kampung.

Bagi anda yang sukakan politik, buatlah pilihan anda. Idea diperolehi apabila melihat seorang lelaki tua menaiki basikal yang dihiasi penuh dengan bendera dacing. Sebelum itu ternampak daun pintu tandas di luar rumahnya dicat gambar bulan berlatar hijau. Teringat pula kelibat seorang rakan memakai jersi Menyu yang ditulis Pakatan United. Di sini bukanlah penulis ingin berbicara mengenai politik, parti mana yang menjadi pilihan tetapi mengenai kesempatan yang wajar kita ambil kerana PRU hanya sekali dalam 5 tahun.


1. Kenduri
Sudah pasti anda dapat melihat banyak khemah didirikan bertujuan dijadikan sebagai markas sementara atau sebagai pusat informasi. Selain itu, banyak lagi aktiviti lain yang dijalankan termasuklah pemberian makanan percuma. Ada yang menghidangkan gulai kawah, kari kambing dan pelbagai lagi sebagai promosi untuk memancing undi. Tidak kira siapa anda dan parti mana yang akan anda pangkah, rezeki jangan ditolak. Janji perut kenyang. Kini terdapat juga pemberian wang ihsan kepada mereka yang hadir ke ceramah kempen. Anda juga boleh merasai nikmat pemanduan sempurna kerana jalan raya si kampung akan diturap apabila pilihan raya semakin hampir.

2. Wang Saku
Anda pasti sudah sedia maklum, setiap 5 tahun sekali akan diwujudkan bidang kerja memasang bendera. Pendapatan lumayan ini jangan dilepaskan. Ada yang dibayar sehingga 100 ringgit satu malam siap dengan bekalan rokok Dunhill merah kotak 20 serta makan malam percuma. Tetapi jika anda harus datang ke pejabat pagi esoknya, janganlah sehingga meminum air daun ketum kerana adalah dilarang. Anda juga berisiko dituduh mencuri ayam atau bercerai malam tadi kerana bermata bengkak ketika hadir ke pejabat.

3. Goodie Bag
Kita semua sukakan hadiah. Terdapat pasukan bergerak dari rumah ke rumah sebagai kempen pilihanraya. Jika anda bertuah, rumah anda akan disinggahi oleh mereka yang poket tebal ini. Oleh itu jangan gantung apa-apa bendera di pintu pagar. Jika terdapat isi rumah warga emas, sudah pasti wang kertas akan disarungkan. Setidaknya beg kertas berisi sehelai baju berisi di dalamnya. Anda boleh memakainya sewaktu menebas lalang di kebun atau jadikan ia sebagai kain mengelap lantai di dapur.

4. Kanvas
Pernahkah anda melihat bendera atau poster besar yang diperbuat dari kain kanvas? Sudah pasti, jika anda pernah melalui jalan kampong, terdapat orang yang menjadikan kanvas ini sebagai penebat haba untuk mengekang cahaya matahari daripada memancarkan sinar ke kereta mereka. Setidaknya kanvas ini dijadikan bumbung sementara untuk dapur basah kerana kanvas yang tebal ini tidak telap atau sekurang-kurangnya memiliki ketelapan memilih seperti dinding sel selulosa.

5. Kawan Baru
Sudah pasti jika anda sudah layak mengundi, anda akan menerima pesanan melalui sistem pesanan ringkas SMS daripada suatu nombor yang tidak dikenali. Jika ada, tahniah kerana anda merupakan insan terpilih. Jika anda mempunyai semangat inkuiri yang tinggi, jangan pula menaip balas kerana anda seorang ibu tunggal yang ingin bersuamikan seorang wakil rakyat. Mungkin itu sekadar nombor operator sahaja.

Tuesday, March 5, 2013

Langkah Pencegahan Berat Badan Paling Popular

Masyarakat Malaysia merupakan antara penduduk bumi yang paling mewah dengan makanan. Sebut sahaja apa yang diinginkan, jika mahu merasai kelazatan siakap empat belas rasa sanggup sahaja memandu dari Kuala Lumpur menuju ke Bagan Lalang. Asal terbayang sahaja butter prawn, terus ke Thaibase di Sri Damansara. Terdapat banyak lagi lokasi menarik seperti Ikan Bakar Jalan Bellamy, Nasi Lemak Mali's Corner di Danau Kota, Sate Gulam Kota Damansara mahupun Tako Tao Giant Batu Caves.

Biarpun enjin kereta menelan petrol beberapa liter, dengan keupayaan memandu tanpa menghiraukan kesesakan lalu lintas, nafsu makan harus dipenuhi. Akan tetapi, kehijauan taman bunga dan tasik rekreasi yang berhampiran langsung tidak diendahkan akan kemudian yang disediakan untuk beriadah untuk kesihatan tubuh. Namun kesedaran terdapat penjagaan saiz badan akan timbu apabila butang seluar jeans anda tidak dapat dipasang, atau anda kini menggunakan lubang terakhir untuk memakai jam tangan, apatah lagi kebaya lama di dalam almari tergantung sampai naik bau lipas. Apabila seluar dalam yang masih belum longgar getahnya dijadikan kain mengelap di dapur, anda akan tersedar dari lamunan bahawa anda kini menghampiri masalah ketebalan kulit perut.

Antara aktiviti yang dilakukan yang kerap diamalkan oleh masyarakat majmuk di Malaysia ini adalah sangat minimal. Tidak ramai yang sanggup untuk mengikuti kursus bina badan di gimnasium, atau bangun seawal 6 pagi untuk berlari keliling Tasik Metropolitan Kepong sebanyak satu setengah pusingan. Selebihnya adalah singgah di restoran mamak dengam membuat pesanan roti sardin kuah dal, sambal lebih. Mari kita lihat beberapa langkah pencegahan bedan badan berlebihan yang popular diamalkan oleh rakyat kita.

1. Limau Suam
Setelah menikmati sepinggan nasi kandar, sehingga lapisan nasi penuh menutupi permukaan pinggan siap timbunan lauk pauk penuh kolestrol dan minyak, ramai di antara kita yang memilih untuk minum limau suam untuk keseimbangan. Tanpa perlu menekan kalkulator mengira jumlah kalori yang diambil, kita menarik nafas lega bahawa jus limau kasturi sebanyak 2 bijik itu telah menyerap sejumlah lemak yang ditelan. Adakah anda pernah terjebak?

2. Skip Lunch
Sarapan pagi di rumah selalunya tidak sempat, sebaik memandu ke pejabat anda telah mengunyah gula-gula getah mahupun menikmati Snickers sambil menunggu lampu isyarat merah bertukar hijau. Setibanya di pejabat, anda menjamah nasi lemak rendang kerang bersama telur mata kerbau dihiasi sebagai kemasan akhir. Teh ais menjadi penyudahan. Lantas, perasaan bersalah menyelubungi diri anda terus anda bertindak untuk tidak mengambil makanan tengah hari sehingga membolehkan anda membuat 7 status di laman Facebook bahawa anda kini bersedia untuk menjadi kurus. Adakah anda pernah terjebak?

3. Puasa
Amalan berpuasa paling popular di kalangan wanita mahupun anak dara yang meniti hari menuju jinjang pelamin. Setelah 2 hari berpuasa, anda membayangkan kain French Lace yang dibeli di Bandung akan berjaya dijadikan kebaya meleret di hari persandingan nanti. Ada juga yang berpuasa sama ada di bulan Rejab mahupun Syaaban, tetapi jangan lupa mereka ini biasanya perempuan yang sedang berusaha membuat puasa ganti. Adakah anda pernah terjebak?

4. Krim Panas
Terdapat ratusan produk pelansingan badan dijual di toko jamu, farmasi mahupun yang dipasarkan secara online. Sebut sahaja krim panas pemecah lemak, tentu akan keluar pelbagai jenama produk seperti krim Mustajab Pati Halia, Fellina, Jamu Mak Dara dan banyak lagi. Bagi yang berkemampuan, mereka menyertai skim perniagaan piramid Premium Beautiful. Akan tetapi ramai di antara mereka yang membayangkan setelah menyapu krim panas di perut, sebanyak 7 lapisan lemak tepu mampu dicairkan dan terus mengembalikan pinggang ramping yang diidamkan selama ini. Tidak disalahkan juga, taktik jurujual yang mempromosikan artis mahupun wanita ramping mengenakan pakaian ketat didampingi lelaki romeo disampingnya, membuatkan ramai pengguna terus bertindak membelinya, tak sempat-sempat melakukan transaksi di Maybank2u. Hasilnya, anda kecewa kerana krim tadi sekadar membuatkan anda sendawa dan buang angin sahaja. Adakah anda pernah terjebak?

5. Merokok
Ada di antara mereka yang menjadikan alasan untuk merokok atas sebab untuk kuruskan badan. Amalan ini dirujuk kepada situasi di mana para model yang berjalan di atas runway biasanya menghisap rokok untuk kekal kurus. Akan tetapi, rokok yang dihisap buat main lagi kepamnya, berkepul asap keluar dari mulut terutamanya selepas makan. Adakah anda pernah terjebak?

6. Pakai Sweater
Ada tiga sebab mengapa seseorang itu mengenakan sweater pada matahari tegak terpacak di atas kepala. Pertama mungkin dia adalah peminat kumpulan Hip Hop dari Barat. Kedua mungkin bertujuan menghapuskan visual tubuh yang tidak mempunyai bentuk dan ketiganya adalah untuk memanaskan badan seraya menghasilkan peluh untuk membakar lemak di dalam badan. Sama ada praktikal mahupun azab, meditasi jenis ini dilihat diamalkan oleh sesetengah golongan yang berpendapat bahawa kesan sauna boleh dikecapi menerusi pemilihan pakaian yang tertentu. Adakah anda pernah terjebak?

7. Guna Tangga
Bagi yang bekerja di pejabat yang tinggi bangunannya, berjalanan menaiki tangga dilihat sesuai dengan ekosistem pejabat di mana semua pejabat mempunyai anak tangga untuk ke lantai lain, selain perkhidmatan lif. Biasanya, aktiviti ini amat terhad, mereka hanya bertindak menggunakan tangga jika perlu ke lantai yang hanya 1 tingkat lebih. Jika tidak, masih menggunakan lif, walaupun pada dasarnya hanya berasa malu jika hanya perlu ke lantai lain. Jika hanya bersendirian, seseorang itu secara lekas menekan punat lif agar tiada yang melihat atau dilabel sebagai pemalas bersukan. Adakah anda pernah terjebak?

Monday, November 12, 2012

Apology Status: Pending

Menyelami perasaan seorang B, para pembaca diajak untuk mengundi sama ada kemaafan harus diberikan atau sebaliknya. B amat berasa bingung, dan penulis diajak berbincang tentang permasalahan ini. Pengalaman bercinta B memang sifar, B masih mentah dan memerlukan bantuan penulis untuk memohon pendapat. Mari kita sama-sama bantu insan bernama B ini:

Kes 1
A dan B merupakan pasangan yang sama seperti yang lain, mereka bercinta. Namun A mempunyai seorang bekas kekasih C. Si A telah pergi bercuti bersama C dan ternyata B sangat kecewa lantas kemaafan dipohon oleh A atas alasan percutian telah lama direncana dan tidak boleh dibatalkan. Maaf atau tidak?

Kes 2
A memohon maaf sekali lagi atas alasan merasa bersalah terhadap C selama mereka berkenalan. A memberi tahu bahawa dia merasa perlu untuk membuat C bahagia kerana sejak kebelakangan ini C diundang pelbagai masalah seperti mahu berpindah ke rumah yang lebih dekat dengan A, merasa tertekan dengan menyalahkan B sebagai perampas serta pernah mengugut untuk bunuh diri. Maaf atau tidak?

Kes 3
Diketahui, A dan C pernah bersama, dan mereka mempunyai hubungan intim (hubungan di atas katil) sebelum ini sebagai pasangan suami isteri yang sah namun telah bercerai. Oleh itu A memohon maaf kepada B kerana hubungannya dengan C hanyalah kawan sahaja. Mereka pergi bercuti walaupun tidur sebilik tapi menurutnya mereka tidak berbuat apa-apa, walaupun bercium. Namun B sangat sukar mempercayainya. Maaf atau tidak?

Kes 4
Percutian yang dirancang ini adalah percutian kali kedua oleh A dan C. Sebelum ini A dan C telah menghancurkan hati B dengan mengunjungi sebuah pulau yang indah di negara gajah putih. Oleh itu, A memohon maaf atas alasan mereka sudah pernah melakukan apa sahaja sewaktu di sana, oleh itu B tidak harus berasa cemburu kerana tiada bezanya berhubungan intim sama ada di Malaysia atau luar negara. Maaf atau tidak?

Kes 5
A memberitahu B bahawa tetap ada percutian untuk mereka dan B harus memaafkan A untuk percutiannya dengan C. Maaf atau tidak?

Kes 6
A memberitahu B bahawa dia mengenali B sebagai insan yang sangat kuat semangat dan boleh menerima dugaan yang lebih berbanding C. Namun B merasa sesuatu yang tidak kena, lantas alasan ini dijadikan kayu ukur untuk B perlu menerima hakikat untuk memaafkan A. Maaf atau tidak?

Kes 7
Menurut A juga, B terlalu diam dan tidak pernah meluahkan hasrat di hati dalam melayari bahtera kehidupan bersama A. B dianggap sudah gembira dengan apa yang ada. Oleh itu, tidak salah untuk A menggembirakan C pula walaupun di hati A tetap menobatkan B sebagai yang disayangi. Maaf atau tidak?

Kes 8
A telah meminta izin untuk bercuti dengan C. Dengan hati yang luluh, B menyatakan ya, sebagai protes. B tidak menyangka bahawa A akan benar-benar akan berbuat demikian. Oleh itu, A menganggap B harus menerima hakikat ini apatah lagi untuk memaafkannya kerana A telah meminta keizinan. Pada awalnya A mahu membatalkan sahaja niatnya, berkali-kali diulang. Namun sekali B berkata ya, tak sampai 30 minit terus A menghantar pesanan khidmat melalui aplikasi Whatsapp kepada C bahawa rencana untuk masih mahu diteruskan. C amat gembira dengan menyatakan kesyukuran. Maaf atau tidak?

Kes 9
A dan C juga telah menempah percutian ke suatu destinasi lain, pada tahun hadapan. Maaf atau tidak?

Kes 10
A tidak mahu kehilangan apa yang dia miliki di dunia ini, termasuklah B yang dianggapnya selama ini sangat bodoh namun B walaupun sering 'moody' tapi masih tetap sayangkan A. Sepotong ayat oleh A kepada B memberitahu bahawa A tidak dapat hidup tanpa B. Hati B yang hancur luluh kini merasa tersepit. Maaf atau tidak?

Monday, November 5, 2012

Mathematically Women Are

I found this in my PC, someone in past used to save it. So, i like to share this joke. Enjoy!

Wednesday, October 17, 2012

Free Gift

Ada orang suka benda free. Tak dinafikan, free memang best. Ibarat makan kerepek yang sendiri beli dengan yang dipow dari meja orang lain. Sedapkan? Memang sedap tapi menyakitkan hati betul. Nak-nak kalau dia buat muka tak bersalah. Mesti rasa nak tayamum muka dia dengan pasir tandas kucing. Ok ada elemen ezajerit di situ.

Tadi adalah seorang yang berpangkat tiba-tiba muncul kepala depan cubicle aku buat tawaran istimewa. Siap kata dia nak ke Delhi hujung bulan ni. Siap paksa suruh pesan apa-apa, dan bagi contact. Mesti best sebab dia boleh bawak 60kg sebab business class. Best kan? Tapi tergamak ke ko nak terima dengan muka tak malu sebab sah-sah hanya membantu perniagaan ko semata-mata. Sungguh peribadi. Dia tak kata nak upah pun tapi tak payahlah ambil kesempatan ke atas kebaikan orang.

Terus tadi ada orang bercerita, ada seorang insan yang gemar benda percuma. Muka percuma? Tak jugak tapi memaksa. Kalau bersembang, of course tak pernah kalah. Tapi kalau berniaga dengan dia, kalau boleh dia beli barang kat engkau semurah-murahnya sampai bukan sahaja engkau tak untung tapi rugi malah menyusahkan. Aku bayangkan dia naik teksi dengan engkau lepas dia buat lupa je sebab kononnya tanggungjawab engkau ke atas dia. Nice!

Rupa-rupanya, dia selama ni bercerita kemain, ambil cuti pun samalah, pergi Bandung, pergi Vietnam, pergi Surabaya. Tak lama lagi nak ke Jakarta pulak. Tiket? Penginapan? Harap lah, semua ditanggung. Alasannya, sebab dia nak jadi tukang gugel atau manage-manage saje. Orang lain kena tuang-tuang untuk bayarkan dia. Tapi nak pergi tu tetap nak pergi, tak nak kalah! Kalau beli Tupperware? Tentu free gift tu milik dia. Orang lain tiada hak.

Kalau korang pergi mana-mana, tentu dia ada list panjang untuk pesan. Jangan harap nak ambil kira faktor luggage limit, kos teksi mahupun upah membeli, dia akan bayar harga basic item tersebut dengan kalau boleh diskaun lagi. Awal-awal lagi dia dah gugel kalau engkau nak pergi sebut saje negara apa. Terus dia beri alamat kedai untuk engkau belikan pesanan dia. Ada berani?

Ya lah, tak salah menerima kalau ada orang nak bagi free. Tapi jangan sampai minta-minta dan membebankan orang. Siapa dalam dunia ni yang sengaja nak bayar mahal? Tapi consider lah orang berpenat lelah untuk kita, justeru biarlah  berpada-pada. Kalau kat laki engkau tak pe la kalau nak paksa. Aku dulu memang jarang nak terima benda free, tapi ada la jugak. Sebab tu sekarang aku rasa kena bayar balik kalau pemberian tu tak relevan. Bukan rahsuah tapi ubat penenang atau painkiller. Mesti orang akan kutuk aku kan? Lagipun benda free ni akan menjadi bahan ungkitan kalau berlaku persengketaan.

Tuesday, October 16, 2012

Bisu

Pernahkah anda merasai kekosongan jiwa? Hambar. Perasaan yang selama ini dipupuk tiba-tiba menjauh pergi. Terasa ingin seseorang ambil tahu pasal diri kita, tapi bila ada yang bertanya rasanya seperti mahu marah pula. Entah kenapa terasa hati disakiti. Apakah ini masalah jiwa?

Bila berdepan dengan masalah, atau terus berdepan dengan seseorang dirasakan kita bermasalah dengannya, tak tercakap langsung walau sepatah kata. Bila berpeluang untuk meluahkan, terasa tidak cukup tatabahasa. Tercari-cari perkataan yang paling sesuai tapi minda tepu tak boleh berfikir lagi. Kesudahannya, perasaan menjadi tidak puas, kecelaruan, pelbagai tanda tanya dan seterusnya melakonkan watak dalam drama bisu. Suasana sangat diam, kurang bunyi dihasilkan. 

Menurut sesetengah pihak, drama bisu terlalu menyayat hati dan ianya tidak mampu ditempuhi meskipun 2 jam masa berlalu. Akan tetapi ada yang berpendapat, drama bisu lebih wajar kerana faktor banyak bercakap akan banyak mengundang kesalahan berkata-kata. Dulu buku merah adalah segalanya tapi kini tidak lagi. Buku merah hanya menjadi medium rujukan ketika sunyi. Baca balik, kadang-kadang bertemu jawapan yang terlepas pandang.


Tak mengapa, biarkan. Berikan mereka peluang sehingga suatu hari nanti terpanggil hati untuk menyebut kata-kata yang dicari. Penentuannya masih lambat, cukup senyap tetapi di dalamnya bergelora.

Saturday, October 13, 2012

Analisa Perhubungan

Apa maknanya jika kita tiba-tiba rasa sedih, atau sakit hati yang kemudiannya membawa perasaan sedih? Tentu sekali kita tidak mahu melalui detik ini tetapi apakan daya, sebagai mannusia kita tidak dapat lari dari hakikat ini. Sedih atau tidak, yang penting kita analisa dahulu apakah maksud tersirat kejadian yang telah membuat kita merasa kesedihan itu, di samping kita lihat contoh keadaannya.

1) Anda cuba bayangkan bahawa anda tahu kawan atau teman anda amat mengenali musuh atau saingan anda. Namun secara tidak sengaja, anda tahu akan kewujudan satu rahsia pakatan. Akan tetapi anda tidak mempunyai bukti kukuh ke atas tuduhan ini. Anda perlu membuat tekaan atau anggapan kebarangkalian yang  bakal berlaku. Menyumbang ke arah membantu tindakan mereka, cuba anda cadangkan sesuatu dan lihat bagaimana dia menerimanya. Sama ada memek muka atau pun tutur katanya, kadang kala penerima dalam jangka masa yang singkat perlu anda fikirkan semua. Mungkinkah secepat itu dia menerima cadangan itu? Sungguh cepat bagaikan orang yang mengantuk disorongkan bantal.

2) Anda cuba pula untuk berulang kali menyebut kata kunci yang akan membayang keadaan yang dimaksudkan. Selaku mereka yang menyimpan strategi, mereka tentu akan berasa tidak selesa. Apabila perkara atau kata kunci ini diulangi berkali-kali, tentu ia akan membina suasana tegang dan anda secara tidak langsung telah memberi amaran. Jika tersilap langkah, anda akan mungkin dipukul namun jika bertindak pada waktu dan lokasi yang sesuai, tindakan anda dapat menyelamatkan diri anda walaupun anda bertindak seorang diri tanpa mempunyai pihak sokongan. Jika si dia bertanya, katakan sahaja anda tidak sengaja atau soalkan kembali kenapa dia pilih untuk bertanya. Berani kerana benar. Bayangkan jikan teman atau rakan anda menyimpan dendam untuk meninggalkan anda untuk pergi ke satu lokasi, katakan anda tahu akan lokasi tersebut, cubalah anda berbual dengan menyebut nama lokasi tersebut. Tentu dia akan dipukul gelisah.

3) Anda mempunyai kekuatan tertentu, atau kekuatan itu dalam bentuk perhubungan mahupun aset. Gunakan kelebihan ini untuk menegaskan posisi anda. Kaedah ini lebih terperinci yang membawa maksud kepada keseluruhan. Anda perlu mempunyai kekuatan mental kerana keputusan tindakan ini akan memberi jawapan yang keseluruhan, hendak atau tidak, anda perlu menerimanya kerana keputusan itu mungkin akan membuat anda sedih namun anda tetap puas. Selagi tanda tanya itu terus bermain di minda, hati anda tentu tidak tenang. Jika anda mempunyai masalah dalam perhubungan cinta, cuba anda fikirkan perkara-perkara yang selama ini dianggap sentimental. Jika respon yang diberikan tidak memihak kepada tanggapan anda, tentu sekali si kekasih telah berubah hatinya.

4) Anda boleh terus bertanya secara terang-terangan. Namun penulis tidak memilih cara ini kerana ia mempunyai pendekatan yang konvensional. Perdebatan akan tercetus dan perang mulut biasanya tidak akan memberi penyelesaian ke arah pendamaian. Jika anda telah mempunyai bukti yang kukuh, tidak salah untuk mencuba. Bayangkan soalan anda bertubi mempersoalkan perhubungan anda dan teman itu, belum sempat jawapan dituturkan terlebih awal lagi buku lima singgah ke pipi.

5) Anda boleh nilai sendiri perbuatan mereka. Jika sesuatu yang dilakukan adalah bercanggah dengan apa yang sepatutnya mengikut norma atau perjanjian asal, sebelum terjerat pastikan diri anda terlebih awal memasang perisai. Sebagai contoh, jika seorang kekasih kembali berjumpa dengan bekas kekasihnya, tentu sekali ia adalah tidak normal untuk anda. Fikirkan.

Thursday, October 11, 2012

Tandas dan Anda

Tandas merupakan lokasi yang paling strategik untuk melempiaskan nafsu, sama ada untuk kegunaan membuang bahan kumuh dan aktiviti peribadi lain. Tandas menjadi kewajipan untuk dikunjungi setiap hari kerana manusia yang normal setidaknya menjalani proses penyah-tinjaan sekali sehari. Tidakkah setiap pejabat mahupun kediaman pasti mempunyai tandas?

Mengunjungi tandas mempunyai beberapa sebab. Selain berkumuh, anda yang ingin merokok, melarikan diri dari ketua jabatan, berbincang soal rahsia (bergosip, bagi wanita) mahupun sekadar rehat sebentar pasti akan memilih tandas sebagai lokasi pilihan. Namun terdapat beberapa situasi di mana anda gagal mengecapi kenikmatan ketika berada di tandas, seperti berikut:

1. Bunyi
Manusia sememangnya menghasilkan bunyi, tak kira secara terkawal mahupun secara tindakan refleks. Ada ketika seseorang yang sedang memulas perutnya akan terus menghasilkan dentuman bom kimia sebaik membuntuti lubang tandas.

Bagi yang bersopan santun, pasti bunyi yang dikeluarkan adalah sangat minimum. Bunyi kadang kala menyebabkan kita membayangkan aromanya. Oleh itu, bunyi yang melebihi had desibel tertentu akan merencatkan rencana kita, atau lebih dikenali sebagai "potong stim".

2. Bau
Jika dihidupkan sistem ventilasi, bau yang terhasilkan adalah minimal. Namun siapa yang dapat menyangkal bau yang hadir dari mereka yang sembelit. Mungkin aroma yang diperam sekurangnya 4 hari ini tiba-tiba menyilinap masuk ke rongga nasal, anda yang hanya rehat sebentar sambil merokok tentu akan berasa mual lantas beredar dari situ.

Aroma yang tebal juga boleh terhasil daripada pemakanan yang tidak dikawal, oleh itu kita sebagai pengguna perlu bijak memilih masa yang sesuai. Sudah pasti waktu selepas tengah hari bukanlah waktu yang terbaik untuk mengecapi suasana yang tenang.

3. Sisa
Pernahkah anda bertukar tandas hanya kerana sisa yang tertinggal atau bendasing oleh pengguna sebelumnya? Bayangkan jika anda yang sedang sakit perut ingin membuang air besar, dengan semangatnya bergegas ke tandas sejauh 50 meter, sebaik anda membuka tali pinggang anda ternampak beberapa titis cecair kuning berada di pelapik tandas duduk.

Tentu anda berasa tertekan untuk berpindah ke tandas sebelah hanya kerana kecuaian orang lain. Lebih buruk lagi jika sisa yang tertinggal merupakan bahan kumuh yang lebih kurang ketumpatannya berbanding air, terlihat terapung di permukaan. Tentu mual dan menyesal lebih-lebih lagi anda kenal siapa pengguna sebelumnya yang terlupa untuk pam tandas iaitu rakan sekerja anda atau ketua jabatan anda sendiri. Tiada tindakan yang lebih wajar selain menuturkan kata-kata kesat di dalam hati.

4. Kejiranan
Kejiranan tidak hanya di kawasan perumahan malah berhubung kait dengan sesama pengguna di tandas. Sedang anda rancak dengan aktiviti tandas, tiba-tiba orang di tandas sebelah memancutkan air ke lantai dan menyebabkan seluar anda terpercik air. Tentu marah bukan? Penulis pernah merasai kehairanan apabila jiran di sebelah yang secara tiba-tiba melahirkan ekspresi luar biasa dengan mengepakkan kangkangan kaki (dinding tandas di pejabat penulis bekerja menyerupai tandas di hentian R&R Lebuhraya PLUS). Dinding tandas yang sejengkal tergantung membolehkan kaki jiran sebelah masuk ke ruangan tandas anda. Bayangkan kakinya yang berselipar itu terlihat separuh. Perasaan terkejut, panik dan marah bercampur baur.

Pernah jugak sekali terlihat tiba-tiba muncul buntut mungil di bawah, di mana si pelaku mungkin tidak biasa beristinjak di tandas duduk tiba-tiba duduk mencangkung di bawah. Mungkin si pelaku tidak perasan akan saiz buntut mungilnya yang bisa dilihat jelas, sekurangnya imej visual pantulan dari lantai yang basah. Memang sial hari anda jika air basuhan itu mengalir ke ruangan tandas anda berserta sisa-sisa kecil. Kita sebagai pengguna perlu juga menitik beratkan soal tata susila termasuk menjaga keaiban diri agar tidak menyusahkan orang lain.

Wednesday, October 10, 2012

Bunga Cinta Lestari

Hobi atau aktiviti tak berapa nak normal yang terkini adalah menyiapkan rumah against habuk, sambil tu buat dekorasi ikut suka hati. Ada yang tak lawa, lepas tu cabut buat lain. Selain buat frame gambar pada dinding, gatal pulak nak ada hiasan bunga hidup. Bunga gantung di balkoni tu buat masa ada 4 pots pun jadilah. Nanti kalau banyak sangat bertukar jadi Taman Negara pulak. Diam-diam membela hidupan liar tanpa lesen susah nanti. 

Bunga kekwa asalnya beli murah pada auntie India, asal bunga untuk diorang sembahyang tapi dah tengah hari, bunga pun dah layu. So dapatlah beli murah sikit. Balik rumah rendam, dia segar balik. Tapi tahanlah dalam seminggu je kot. Hobi memasak belum lagi. Hahaha.. Tiada kena mengena dengan tajuk blog, suka-suka sahaja bunga publisiti murahan type tajuk nama BCL (pelakon Indonesia), nasib baik bukan BKL (Bok Kok Leong). Hahaha..