Friday, April 19, 2013

PRU 13

Parlimen telah dibubarkan dan setiap kali negara menghadapi plihan raya umum, sudah pasti kekecohan politik melanda. Petik sahaja televisyen, berkumandang suara mereka sedang semangat berucap seperti rakan anda yang bijak berpidato di sekolah dulu. Terdapat ceramah-ceramah umum dianjurkan tak kira di padang bola ataupun di dewan kampung.

Bagi anda yang sukakan politik, buatlah pilihan anda. Idea diperolehi apabila melihat seorang lelaki tua menaiki basikal yang dihiasi penuh dengan bendera dacing. Sebelum itu ternampak daun pintu tandas di luar rumahnya dicat gambar bulan berlatar hijau. Teringat pula kelibat seorang rakan memakai jersi Menyu yang ditulis Pakatan United. Di sini bukanlah penulis ingin berbicara mengenai politik, parti mana yang menjadi pilihan tetapi mengenai kesempatan yang wajar kita ambil kerana PRU hanya sekali dalam 5 tahun.


1. Kenduri
Sudah pasti anda dapat melihat banyak khemah didirikan bertujuan dijadikan sebagai markas sementara atau sebagai pusat informasi. Selain itu, banyak lagi aktiviti lain yang dijalankan termasuklah pemberian makanan percuma. Ada yang menghidangkan gulai kawah, kari kambing dan pelbagai lagi sebagai promosi untuk memancing undi. Tidak kira siapa anda dan parti mana yang akan anda pangkah, rezeki jangan ditolak. Janji perut kenyang. Kini terdapat juga pemberian wang ihsan kepada mereka yang hadir ke ceramah kempen. Anda juga boleh merasai nikmat pemanduan sempurna kerana jalan raya si kampung akan diturap apabila pilihan raya semakin hampir.

2. Wang Saku
Anda pasti sudah sedia maklum, setiap 5 tahun sekali akan diwujudkan bidang kerja memasang bendera. Pendapatan lumayan ini jangan dilepaskan. Ada yang dibayar sehingga 100 ringgit satu malam siap dengan bekalan rokok Dunhill merah kotak 20 serta makan malam percuma. Tetapi jika anda harus datang ke pejabat pagi esoknya, janganlah sehingga meminum air daun ketum kerana adalah dilarang. Anda juga berisiko dituduh mencuri ayam atau bercerai malam tadi kerana bermata bengkak ketika hadir ke pejabat.

3. Goodie Bag
Kita semua sukakan hadiah. Terdapat pasukan bergerak dari rumah ke rumah sebagai kempen pilihanraya. Jika anda bertuah, rumah anda akan disinggahi oleh mereka yang poket tebal ini. Oleh itu jangan gantung apa-apa bendera di pintu pagar. Jika terdapat isi rumah warga emas, sudah pasti wang kertas akan disarungkan. Setidaknya beg kertas berisi sehelai baju berisi di dalamnya. Anda boleh memakainya sewaktu menebas lalang di kebun atau jadikan ia sebagai kain mengelap lantai di dapur.

4. Kanvas
Pernahkah anda melihat bendera atau poster besar yang diperbuat dari kain kanvas? Sudah pasti, jika anda pernah melalui jalan kampong, terdapat orang yang menjadikan kanvas ini sebagai penebat haba untuk mengekang cahaya matahari daripada memancarkan sinar ke kereta mereka. Setidaknya kanvas ini dijadikan bumbung sementara untuk dapur basah kerana kanvas yang tebal ini tidak telap atau sekurang-kurangnya memiliki ketelapan memilih seperti dinding sel selulosa.

5. Kawan Baru
Sudah pasti jika anda sudah layak mengundi, anda akan menerima pesanan melalui sistem pesanan ringkas SMS daripada suatu nombor yang tidak dikenali. Jika ada, tahniah kerana anda merupakan insan terpilih. Jika anda mempunyai semangat inkuiri yang tinggi, jangan pula menaip balas kerana anda seorang ibu tunggal yang ingin bersuamikan seorang wakil rakyat. Mungkin itu sekadar nombor operator sahaja.

Wednesday, April 10, 2013