Thursday, March 15, 2012

Obsesi Kehidupan

Apabila kita mengalami masalah, pernahkah kita terfikir ada masalah lain yang sedang menanti di hadapan? Lebih buruk lagi apabila masalah itu meninggalkan impak berantai yang mungkin terus bercambah dan membentuk keadaan yang kompleks. Kanak-kanak hanya terfikir bagaimana untuk memiliki perisian Android dalam tab komputer manakala pelajar sekolah menengah pula hanya menanti saat saat untuk memiliki motosikal sendiri. Bagi yang belajar di universiti mungkin tidak henti berharap agar dikurniakan teman lelaki kaya, begitu juga yang baru bekerja mungkin impian untuk menjejakkan kaki ke kota London masih tidak tercapai kerana setiap tahun syarikat hanya memberi isentif berupa sebulan gaji yang kemudiannya dicukai.

Mungkin garis norma kehidupan kita tidak lagi seimbang. Jika dulu-dulu kanak-kanak sangat gembira apabila diberi coklat Kandos tetapi kini mereka lebih awal mengenali Kinder Bueno. Selain berperang dengan inflasi, masyarakat kini mudah mendapat informasi teknologi dan hiburan justeru perasaan ingin memiliki sesuatu itu mudah hadir di dalam jiwa sehingga ada yang sanggup mengambil jalan pintas menerusi laluan jenayah serta penipuan.

Kesan daripada fenomena ini, ada di antara kita yang langsung tidak dapat melawannya malah sering kali memaksa diri untuk mendapatkan apa yang dirasakan. Terbukti apabila kita sanggup membeli tiket penerbangan Air Asia ke Bandung lantas meletakkan priority untuk membayar hutang PTPTN entah ke mana. Tua atau muda, obsesi ini wujud dalam keadaan yang pelbagai sama ada serius ke arah hiburan, faktor material, keagamaan dan perhubungan. Biasanya obsesi ini hanya disedari sebagai masalah apabila kita tidak lagi dapat mencari jalan keluar. Mari kita lihat beberapa kisah yang mungkin dialami oleh orang di sekitar anda, dan anda juga mungkin telah terjebak:

1. Setiap yang bekerjaya, sudah pasti wang gaji bulanan menjadi topik utama. Tidak semua antara kita yang terfikir untuk meletakkan peruntukan untuk simpanan, malah wang itu habis sekelip mata sehingga ramai yang sempit di minggu akhir sebelum gaji diterima. Jalan pintas yang biasa diambil adalah menjadi pengguna kad hutang, atau kad kredit. Sungguh mudah, satu persatu yang difikirkan perlu.

Daripada langsung tidak terlintas di hati, namun apabila berjalan-jalan di pasaraya, anda terlihat objek ini. Anda sendiri mereka-reka alasan bahawa anda memerlukannya, terus melahirkan rasa bersalah jika tidak memilikinya. Tanpa berfikir panjang, kad kredit digesek. Kemudian anda hanya membayar jumlah minimum yang disarankan pihak bank. Lama kelamaan, hutang meningkat ribuan ringgit sehinggalah di suatu hari pihak bank membuat panggilan anda anda tersedar nama anda kini tersenarai dalam golongan yang bakal muflis. Keterlajuran kata boleh putuskan persahabatan, keterlajuran di ranjang boleh didiamkan namun keterlajuran berhutang tetap menuntut bayaran.


2. Terlanjur cinta membuai anda kebahagiaan. Namun ada di antara kita yang gemar berkongsi rahsia bersama rakan termasuk mereka di laman sosial. Satu persatu perihal rumah tangga diceritakan setiap kali status Facebook dikemaskini sehingga tiada modal, dan ada juga yang sanggup menulis status yang tipu. Apabila satu persatu kebahagiaan anda didedahkan, ada ikhlas hanya memaparkan dunia bahawa hidup anda persis seorang artis tetapi sedarlah bahawa anda sedang menjual privasi.

Pernahkah anda merasakan perbuatan anda itu memualkan? Orang tidak akan hadir di depan anda untuk menyatakan rasa loya kepada anda tetapi dari mulut ke mulut kisah anda diniagakan secara percuma. Yang pasti, ahli keluarga dan sahabat terdekat turut menerima impaknya. Tidak salah untuk berkongsi, namun jangan perdagangkan diri anda untuk menjadi bahan untuk diceritakan oleh warga pejabat di waktu pagi saat sedang membancuh kopi. Apakah reaksi anda apabila seorang yang muda awal 20an baru 2 hari menikah memuat naik doa sebelum bersetubuh di akaun laman sosialnya?


3. Seorang yang telah mendirikan rumah tangga, menuntut pasangannya untuk berlaku adil dan menjauhi kecurangan. Bagi yang kuat pegangan agama, si isteri menuntut sahaja apa kata suami. Ada di antara mereka sanggup merakam aksi intim namun ada juga yang sanggup bersusah payah sehingga mengikat perut. Wujud masalah apabila penerimaan beragama diambil secara tidak seimbang, sehingga minda anda yang relevan jelas ingin memperdebatkannya.

Pada mulanya si isteri mahu masuk syurga. Dengan ketaatan, segala yang diarahkan segeri dituruti tanpa banyak soal sehingga anda sudah lali, pekak dan tuli. Si suami terbaring selepas makan tengah hari, tidak bekerja dan sebelum lelap sempat lagi mengingatkan si isteri supaya mengejutkannya apabila rancangan kegemaran 30 minit bersama Ustaz Don ke udara. Si isteri yang sudah 4 kali beranak sibuk melipat baju yang dipunggah anak-anak kecil. Sesekali terbayang diingatannya bil elektrik sudah 3 bulan tidak dijelaskan. Wang simpanan di ASB telah lama susut, dan perniagaan 1 drop perfume sudah lama menyepi apatah lagi mengenangkan perniagaan tudung di laman blog yang sebulan kehabisan stok. Mujur anak yang sulung tahun depan baru nak didaftarkan ke sekolah tadika.


4. Dalam perhubungan, memang tidak dinafikan sangat bahagia terutama bagi yang sedang hangat bercinta. Lebih nikmat lagi jika anda menobatkan diri sebagai pasangan paling meletop dengan membayang hanya majlis resepsi wedding of the year menanti anda tahun hadapan. Namun tetap mekar di hati, anda ingin perhubungan anda diketahui umum lantas menginginkan komen-komen positif sahaja dari orang terdekat mahupun yang jauh di mata.

Untuk memperlihatkan dunia akan kehebatan perhubungan anda, bukan sekadar dikongsi di laman sosial malah war-warkan terus kepada orang lain menerusi cara ini. Khabarkan sahaja pasangan anda suka membiarkan wajah tidak dicukur supaya rakan yang lain merasakan dia seksi sekali seperti Brad Pitt. Khabarkan juga bahawa pasangan anda membazirkan wang anda hanya mahu makan di restoran mahal supaya rakan anda tahu status ekonominya. Khabarkan sahaja anda sering dihumbani kesan egoisnya supaya apabila anda menerima kiriman bunga semua membayangkan hubungan yang romantis sedangkan anda mengirimkan kepada diri sendiri. Anda gemar hidup dalam keadaan yang pretend to be happy sedangkan sebenarnya anda meratap sengsara seorang diri.


5. Anda orang penting dalam syarikat. Anda sentiasa di hati bos anda, setiap kali ke luar negara hanya anda yang diberi pelekat magnet. Anda berkaliber dalam menjalankan tugas. Anda berlakon buat-buat nak terus daftar ke unit kecemasan Hospital Selayang setiap kali ada tugasan untuk disiapkan padahal hanya membuat kompilasi, itupun hanya mengarahkan-arahkan orang. Walhal tiada siapa yang pernah bertanya tentang jawatan anda di syarikat, kenapa perlu sehingga 4 hari mengulangi cerita yang sama?

Cukuplah berwajah manis, masyarakat di sekeliling lebih mengenali. Jika benar-benar anda sibuk bekerja di pejabat mengalahkan Datin Seri Rosmah Mansur sekalipun, mengapa masih mampu menjejakkan kaki ke Jalan TAR di tengah hari bekerja? Mengapa terdengar bunyi balingan dan jatuhan pin bowling di telefon bimbit sedangkan jam baru pukul tiga? Mengapa sudah lama bekerja tapi masih tidak tahu untuk menggunakan mesin faksimili? Hentikan. Lebih baik jujur seperti kami, sesekali ingin bermalas-malasan tak siapa sakit hati. Tak perlu berselindung, terima hakikat kita mencuba yang terbaik, salah dan silap mohon diperbaiki.



...bertemu lagi di episod akan datang :)

2 comments:

mrs hunnybee said...

maksud yg mendalam...ramai yg berpura jadi bahagia...tp hakikatnya duka...mmg betul apa yg hg ckp....aku kena belajar lagi la skill penulisan ni...hehehe..nk luah perasaaan...tp jadi xsedih plak..

SYED NAHAR said...

bahaha.. sedih apa nya, bukan ke aku try utk membuat penulisan jenaka? hang rasa sedih ke??