Sunday, March 25, 2012

Janji Termenterai

Siapakah di dunia ini yang tidak pernah berbohong? Mengubah fakta dengan hanya sedikit helah, supaya hati merasakan damai yang seketika. Terubat duka yang dikhuatiri melara, menepis segala sandiwara dunia yang dicipta demi meneruskan hidup seperti manusia sempurna. Nyatanya, helah ini mengguris perasaan mereka yang mungkin penting bagi kita, bukan hari ini tetapi akan suatu hari nanti.

Adat kehidupan, helah yang disimpan membusung dan akhirnya memburai lalu mendedahkan segala kandungannya. Tika itu tiada kata mampu terucap, hanya mampu mengharapkan simpati agar jarum masa kembali terhenti dan segera dilupai. Kita mudah menabur janji, mahupun sekecil harapan lisan juga segunung permata impian. Namun seindah pelangi senja janji mudah dilakar begitu mudah jua mudahnya janji lenyap dalam kegelapan dan dilupakan.

Ibarat pungguk rindukan bulan, begitulah tingginya harapan mereka yang menanti akan tertunainya janji. Ketika menanti, bunga bahagia berkembang indah segar dibasahi embun pagi. Kini janji ditagih, seri kelopak bunga nan indah mula dicemari, dinodai dan dibiar kering. Selagi kuat kepercayaan selagi itu janji bisa ditagih lagi. Namun kelopak indah akhirnya terlucut diterbangi pergi sebelum jatuh menyembah bumi.

Hidup kita amat kuat berpegang pada janji. Kerana janji menjadi jaminan akan kebahagian hidup. Namun jangan mudah menutur janji, sekali ikatan janji terbuka semudah itu hati mereka yang disayangi remuk dan mungkin tidak akan kembali kepada seperti azali. Ibarat kaca terhempas, mudahkah ia bercantum kembali? Putus tali sambung ikatan, putus janji musnah harapan.

4 comments:

cik ai said...

Jadi jgn mungkir janji.

SYED NAHAR said...

maaf le kalau aku mungkir janji.. lagi dan lagi hahaha..

missone hazel said...

i suka mungkir janji..so, awas! hehe

SYED NAHAR said...

mungkir janji ko maknanya kena pow ciken chop! hehe..