Wednesday, January 25, 2012

Percutian Paling Kontroversi: Penang

Nak bercuti ke Pulau Pinang memang memadai sekadar di hujung minggu, tetapi bukan untuk setiap perincian sejarah dan keunikannya, cukuplah sekadar anda merasai angin utara. Pulau Pinang sangat terkenal, sehingga ada mat saleh tua yang tidak mengenali negara Malaysia sebaliknya mengenali Penang.

Seawal jam 10 lebih, aku sudah berada di kaki Bukit Bendera, beratur panjang untuk menaiki kereta api khas untuk naik ke atas. Niat utama aku adalah untuk menentukan apakah suhunya rendah di atas sana. Nyatanya, udara di atas Bukit Bendera masih segar dan nyaman, malaupun di tengah hari cuma sesekali apabila cahaya mentari berjaya membelah awan terasa juga bahangnya.

Anda nampak tren baru itu?

Perjuangan anda menempuhi deretan panjang manusia dirasakan terbayar apabila anda melihat panorama indah Pulau Pinang, seperti pandangan dari seekor helang yang terbang tinggi di udara. Kota indah ibarat bongkah-bongkah kecil tersusun didiami makhluk yang seni. Dari sini anda dapat melihat Jambatan Pulau Pinang, tetapi jika nasib menyebelahi anda kerana kadang kala pandangan menjadi kabur dilitupi kabus awan.

Nampak tak bangunan Komtar?

Sesekali melihat sendiri dari dekat Temple Kek Lok Si, apa salahnya. Jika sebelum ini hanya dilihat menerusi iklan dan majalah sahaja, kali ini aku gagahkan diri untuk memanjat anak tangganya untuk mencari lokasi terbaik untuk mengambil gambar kubah kuning yang memancar sinarnya, namun entah di mana.

Tidakkah anda rasa seperti berada di Tanah Besar China?

Mendengar komen-komen yang positif mengenai Laksa Janggus, ayuh kali ini aku terus berkunjung ke kawasan majoriti penempatan masyarakat Melayu iaitu Balik Pulau. Singgah sebentar untuk membeli jeruk, kemudian terus ke gerai yang dimaksudkan. Bayangkan, seawal jam 3 petang kerusi duduk sudah hampir penuh namun perniagaan hanya dimulakan jam 3.30 petang. Rasanya enak, berbaloi jika anda ke sini.

Di malam hari, aku menyusuri Lebuh Chulia. Di kehujungan persimpangannya terdapat sebuah gerai masakan India Muslim yang cukup terkenal iaitu Nasi Kandar Line Clear. Walaupun Lebuh Chulia memang ada banyak ayam, namun menu utama di Line Clear ini adalah resipi ayam goreng berempah siap dibuang kulit. Kesabaran anda sekali lagi bakal diuji kerana anda perlu beratur panjang untuk menunggu giliran. Sangat sesak, walaupun jam menunjukkan jam 1 pagi.

Ada berani nak teruskan perjuangan?

Kesempatan di keesokkannya adalah berkunjung ke Taman Negara Pulau Pinang. Kali ini aku mahu menikmati alam semula jadi. Matlamat utama adalah untuk menjejakkan kaki ke Rumah Api Muka Head. Di sini, ada boleh menyusuri 2 laluan yang berbeza pengalamannya, sama ada melalui jambatan gantung di hutan bakau atau meniti laluan kanopi berbatu lalu yang mendaki. Laluan jambatan gantung terpaksa dilupakan kerana ia bukanlah laluan untuk ke rumah api yang dimaksudkan.
Nampakkah anda monyet di atas pokok, apakah ia spesies lutong?

Ribuan semut hutan.

Di sini, anda akan melalui 2 pantai yang berkonsepkan sedikit privasi. Pantai Teluk Aling dan Monkey Beach (Teluk Duyung). Jika ada lebihan masa, anda juga bisa ke Teluk Kampi dan Pantai Kerachut namun ianya menjauhi laluan ini.

Jangan makan kulat ini jika anda was-was.

Ini adalah Monkey Beach yang dimaksudkan. Berbeza dengan pantai Batu Ferringhi yang sesak, pantai ini lebih selesa untuk anda terutamanya yang ingin berbikini. Di hujungnya nanti, anda akan melalui laluan mendaki dengan tahap cerun yang agak tinggi kerana rumah api itu dibina di atas tanjung setinggi lebih 200 meter dari paras laut. Sekali lagi kesabaran dan kekuatan lutut anda akan diuji. Oleh itu bawalah minuman bertenaga untuk lebih selamat.

Panorama Teluk Kemang dan Batu Feringghi dari rumah api.

Rumah Api Muka Head.

Aku pulang dengan menaiki bot laju yang lebih awal sudah ditempah dengan hanya beberapa belasan ringgit. Anda akan dihantar ke sebuah jeti perkampungan nelayan yang berdekatan dengan pintu masuk Taman Negara tadi.

Di sebelah petang, aku berkunjung ke sekitar Tanjung Bungah, dan sudah pasti melawati Toy Museum yang terletak berdekatan dengan Hotel Copthorne. Tiket agak mahal dengan program yang sangat terhad, dengan keadaan muzium yang agak tidak memuaskan namun melihat patung-patung kecil ini sudah pasti anda akan menjengah masa lalu, saat masih kecil.

Habis itu, apa yang kontroversinya? Maaflah kerana penulis tidak dapat berkongsi pengalaman ini kerana kesannya masih terasa hingga ke hari ini. Bukan kisah sedih atau kisah lucu namun ia merupakan liku hidup yang berbeza untuk setiap manusia. Hanya untuk catatan peribadi.


Penang,
18-20 Nov 2011

2 comments:

Hustler said...

Hahahahahadoi!! igtkan tang berbikini kat pantai tuh kontroversinyer.. chist!!

SYED NAHAR said...

ceh.. ko gilaaaa??? hahaha..