Tuesday, January 31, 2012

4 Tahun, 5 Boss

Malam ini sangat bising. Terjaga aku dari mimpi, terus aku bangun melihat ke luar jendela nampak kerlipan bunga api dan mercun yang bertali arus, tak putus-putus memercik cahaya yang cantik. Sudah lewat malam, namun aku terasa lapar, lalu terus ke dapur dan membuka peti ais yang nyatanya kosong. Hanya meneguk air milo yang bersisa kurang dari suku bahagian.

Aku duduk menonton kaca televisyen, tiada rencana yang memikat hati dan satu persatu saluran ditukar sehingga ke akhirnya aku menekan suis padam. Aku membuka pintu seluasnya. Cahaya indah menerangi langit malam, diserikan oleh tanglung api yang terapung di udara. Ketika ini hati aku tertanya-tanya, di manakah destinasi akhir tanglung itu? Terbanglah wahai tanglung semampu kamu, selagi apinya ternyala.

Aku duduk sebentar di kerusi kecil sambil menghirup angin malam. Aku terkenang kenangan silam, satu persatu. Aku sedar, esok adalah hari terakhir bekerja di pejabat itu, untuk Encik Vijayakumar dan Cik Azlina. Aku cuba bayangkan, kini sudah kali ke-5 aku melihat Boss aku pergi melangkah pergi.

Seawal Disember 2007, aku mula bekerja di ACPI (Persys) yang terletak di Wisma Domain yang terletak berdekatan Stesen LRT Taman Jaya. Aku telah ditemuduga oleh Encik Zulkifli Kamaruddin yang kemudiannya telah memutuskan aku untuk berkhidmat di New Delhi, India. Di situ Boss pertama aku adalah seorang lelaki berbangsa Cina.

1) Mr. Mak HM adalah Boss pertama aku. Dia tegas, namun sekali sekala kami duduk di meja dapur berbual bersama tatkala bekala elektrik terputus. Hanya bertemankan cahaya lilin, kamu bergelak ketawa, bercerita tentang pengalaman lalu, tentang masalah semasa projek dan ada juga berbincang soal isu semasa. Mr.Mak adalah orang yang pertama mempengaruhi aku untuk menulis blog. Jasa beliau juga telah mendidik aku melihat sesebuah projek secara menyeluruh dan beliau amat cekap menilik sesuatu yang tersembunyi, yang mungkin kita terlepas pandang. Pelbagai isu sensitif pernah kami bongkar namun menjadi rahsia sehingga kini.

Hari ke-2 di New Delhi, kami 6 jurutera muda telah ditemuduga oleh Mr.Mak tanpa lebih awal diberitahu dan hasilnya aku dikatakan paling layak untuk suatu tugas tambahan untuk menyediakan laporan kemajuan projek mingguan dan bulanan, di samping laporan eksekutif yang kemudiannya terus diemail kepada ibu pejabat. Mr.Mak juga telah memberikan aku satu kunci khas, yang hanya aku sahaja yang tahu jasa kunci itu sehingga kini.

Namun, Mr.Mak akhirnya akur dengan tawaran yang lebih baik, dia meninggalkan Persys. Kami ada beberapa kali lagi bertemu selepas itu dan kini tiada khabar berita, mungkin kerana aku lewat untuk menghadiahkannya ucapan sempena tahun baru cina baru-baru ini. Tugas Mr.Mak selepas itu disandang oleh Encik Anuar Abdul.

Faiz bersama Encik Anuar Abdul dan Mr.Mak H.M.

2) Tatkala keadaan semakin getir, Encik Anuar Abdul menggalas tugas sebagai Pengurus Projek untuk Pakej BC9 Delhi Metro. Pelbagai pengalaman dilalui, kadang-kadang aku berasa amat kasihan dengan Encik Anuar. Pernah beliau terperangkap dalam situasi sehingga senjata diacukan ke arahnya. Ketika itu juga projek dalam keadaan yang serba masalah.

Kekurangan suntikan dana dari ibu pejabat, kemajuan projek yang perlahan, hutang subkontraktor yang tertunggak dan pelbagai lagi masalah pekerja terpaksa ditelan walaupun pahit. Encik Anuar amat berjiwa rakyat, sentiasa mengingatkan kami agar hidup sebagai satu keluarga. Wajarlah kami tanpa segan silu boleh sama-sama menyanyi sambil sementara menunggu makan malam dihidangkan.

Encik Abu Bakar As-Siddik dan Encik Zulkifli Kamaruddin.

3) Hujan lebat di luar, kilat sambar menyambar. Satu tahun 8 bulan di perantauan, Encik Zulkifli Kamaruddin menelefon aku untuk pulang ke Malaysia berpadanan projek di New Delhi telah siap. Di sini khabarnya aku diserahkan olehnya kepada Encik Abu Bakar As-Siddik untuk projek P2B atau Penang Second Crossing. Dalam pada itu, kami sempat berentap dalam MCIEA Award di mana kami berjaya membawa projek Jamarat Bridge sebagai penerima anugerah Pencapaian Antarabangsa oleh CIDB.

Menurut Encik Abu Bakar, syarikat akan menghantar staf ke sana secara berperingkat dan untuk sementara waktu aku diminta untuk menjadi membuat kerja-kerja rekabentuk, mengira kos, menyiapkan lukisan dan sebagainya untuk PESB di bawah seliaan Mr. Vijayakumar Balachand. Di masa ini juga Encik Anuar pulang ke Malaysia namun dia telah meletak jawatan, dan Encik Abu Bakar pula telah memulakan tugasnya di Pulau Pinang.

4) Walaupun dikatakan konsep sementara, akhirnya ia telah menempatkan aku di situ untuk 2 setengah tahun. Encik Abu Bakar katanya tidak dapat membawa aku bersama ke Pulau Pinang kerana masalah kekurangan staf di ibu pejabat. Aku bergelumang dengan kerja yang menjadi rutin, bersama Mr.Vijay yang tidak jemu memberi tunjuk ajar. Sememangnya mr.Vijay seorang yang sangat rajin dan amat sibuk sehinggakan pernah di hujung tahun cuti tahunannya berbaki lebih 60 hari. Terdapat ungkapan yang membuatkan aku sentiasa ingat kepadanya, "everything is urgent".

Tetapi, baru-baru ini Mr.Vijay telah menghantar surat perletakan jawatan seraya rombakan telah berlaku di mana aku telah ditempatkan ke Planning Department. Aku gembira untuk menyahut cabaran baru ini namun pada masa yang sama aku tidak akan melupakan pengalaman lalu. Khabarnya Mr.Vijay mendapat tawaran yang cukup baik untuknya di sebuah firma perunding. Kami yang masih di sini amat gembira untuk kejayaannya.

Aku bersama Mr.Vijay dan yang lain seperti Puan Hamidah Hasan, Cik Haniza Hamidi, Cik Azlina dan Puan Ida Rosmiza.

5) Sebagai Jurutera Planning, aku perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu baru yang pastinya bukan mudah diadaptasi dalam masa yang singkat. Encik Azizi Zakaria sudi menerima aku sebagai stafnya, dan dia amat bertolenrasi. Dia kerap memberi taklimat tentang aliran kerja yang bakal aku tempuhi. Namun minggu lepas, Encik Azizi telah berangkat ke Arab Saudi untuk suatu tugasan baru yang ramai orang tidak tahu, untuk sementara atau sebaliknya pun aku tidak pasti.

2 comments:

Mama Miraki said...

lepas ni masuk dalam akuarium tkt 3 nak tak...hehehehhe

SYED NAHAR said...

nak ke ikan2 dalam akuarium tu terima ikan baru ni? sbb ikan ni ikan air tawar :p hahaha..