Tuesday, January 3, 2012

Oh Bali!

Bali merupakan sebuah lokasi percutian yang sangat romantik. Tetapi bukan kerana alasan ini aku menjejak kaki ke Bali. Aku lebih suka untuk meletakkan alasan bahawa aku meminati filem Eat, Pray, Love dengan watak Liz Gilbert yang dimainkan oleh Julia Roberts. Aku terbayangkan bagaimana perasaannya mengayuh basikal di atas sebatang jalan kecil merentasi pemandangan indah bukit bukau padi huma dan bagaimana birunya ombak berubah warna di kala senja.


Kedatangan sulung ke Bali, tidak banyak yang dapat dilakukan. Cukuplah selama 4 hari ini untuk mengenali budaya Bali di samping melihat sendiri kesenian Bali yang masih terpelihara sehingga kini. Rindu rasanya untuk kembali sekali lagi ke Bali. Yuk ke Bali!

1) Goyang Bali

Tentu ramai yang tahu tentang keunikan tarian di Bali. Bukan goyang dangdutan mahupun goyang Inul, tetapi tarian tradisional Bali yang sememangnya unik untuk diamati. Antara yang paling popular adalah Tarian Kechak, Tarian Barong dan Keris. Tarian Kechak akan dimainkan disebelah malam manakala Tarian Barong di sebelah siang.

Jika anda bernasib baik, Tarian Barong akan diadakan di tempat awam di mana para penduduk tempatan akan melakukan pemujaan ini bagi menyambut hari bulan mengambang penuh. Setiap tarian akan dimulakan dengan pemujaan, namun usah gentar kerana mereka yang mempersembahkan tarian ini adalah profesional.

2) Ombak Bali

Tidak lengkap berkunjung ke Bali tanpa melawat pantainya yang cantik. Bali tercatat dalam senarai antara pantai tercantik di dunia, cukup terkenal seantero dunia. Ramai yang berkunjung ke sini untuk meluncur termasuk selebriti Hollywood terkenal Hugh Jackman yang bakal berkunjung ke sini di setiap hujung tahun. Sewaktu kedatangan saya tempoh hari, Paris Hilton dikhabarkan turut sedang berada di Bali dan Bali sering kali menjadi destinasi parti F Channel dan Michel Adam terutamanya di Kelab Cocoon.

Pantai Kuta, Jimbaran dan Sanur adalah antara pantai awam yang boleh dikunjungi. Selain itu terdapat beberapa lokasi baru yang ombaknya lebih garang sesuai untuk aktiviti luncur seperti Pantai Blue Point di Uluwatu yang mengadap Lautan Hindi selain lokasi-lokasi yang bersifat "private beach".

3) Teres Padi

Antara pemandangan indah yang pasti menjadi tumpuan adalah himpunan teres padi. Padi huma di tanam di lereng-lereng bukit diusahakan oleh penduduk tempatan dengan kaedah tradisional yang dikekalkan untuk tujuan dikomersilkan kepada pelancong, atau agro-tourisme. Antara lokasi terbaik untuk melihat sendiri teres padi indah adalah di Tegallalang dan beberapa lokasi kecil di Ubud.


4) Batur Indah

Gunung Batur merupakan gunung berapi yang masih aktif yang terdapat di Bali. Memandu melalui jalan sempit berliku dengan melepasi deretan lori kecil yang membawa tanah hitam, ia bermakna anda semakin hampir dengan lokasi tanah tinggi berudara nyaman untuk melihat pemandangan indah Gunung Batur yang di sebelahnya terletak Gunung Agung, hanya dipisahkan oleh sebuah tasik.

Tasik Batur menurut warga Bali terdapat beberapa buah perkampungan yang didiami oleh penduduk primitif yang masih mengamalkan kehidupan cara mereka sejak berkurun lamanya. Di sini terdapat banyak restoran yang menawarkan sajian secara bufet, sambil anda menikmati udara sejuk dengan berlatarkan pemandangan indah di Batur.

5) Kedamaian Ubud

Ubud terletak di daerah tengah Pulau Bali yang bentuk muka buminya lebih berbukit. Agak jauh ke dalam, tapi ia amat berbaloi kepada anda yang cintakan kedamaian desa. Ubud merupakan kawasan perkampungan, namun terdapat banyak hotel serta rumah tamu yang menawarkan konsep spa.

Anda akan disambung dengan ucapan manis oleh penyambut tetamu, malah diselitkan bunga kemboja putih di rambut anda sebagai tanda selamat datang. Kedamaian ini lebih terasa di kala senja yang romantis dengan langit berubah warna menanti cahaya bulan. Waktu malam di Ubud akan berlagu suara unggas malam serta cengkerik.

Di Ubud terdapat satu pekan kecil yang menarik untuk dikunjungi. Terdapat deretan kedai yang menawarkan pelbagai khidmat seperti urutan, buku dan majalah, cenderahati dan pelbagai lagi. Tidak sah jika anda tidak membawa pulang sesuatu nanti, jadi pekan Ubud amat sesuai dikunjungi, tidak lupa terdapat beberapa lokasi menarik seperti Istana Ubud dan pasar Ubud.

6) Goa Gajah

Salah satu tarikan utama di Bali adalah Goa Gajah yang telah digazetkan sebagai salah satu warisan dunia oleh UNESCO. Goa Gajah telah dibina lebih seribu tahun dulu dan menjadi sejarah kepada pembawaan agama Hindu di Bali. Di dalam gua ini terdapat ruang yang pernah dijadikan lokasi pertapaan oleh sami-sami hindu untuk bermeditasi.

Di sini juga terdapat sebuah kolam yang airnya dianggap suci dan digunakan dalam urusan keagamaan orang-orang Bali. Air berasak dari sebatang anak sungai yang kemudiannya dialirkan melalui dada 7 patung yang berdiri mengadap kolam air suci ini.


7) Seni Bali

Kesenian Bali tidak terhad kepada tariannya sahaja, malah terdapat banyak gedung yang menjual lukisan para pelukis handalan Bali. Terdapat ramai pelukis amatur mahupun yang sudah menerima pengiktirafan. Sebuah galeri yang dikunjungi, saya melihat sebuah papan tanda pengiktirafan oleh Universiti Multimedia menandakan terdapat usahasama dalam memartabatkan seni lukisan. Harga sesebuah lukisan ada yang mencecah ribuan ringgit mahupun ditempat oleh orang kenamaan, mahupun yang disiapkan untuk menjayakan pertunjukan lukisan antarabangsa.

Selain lukisan, anda juga boleh mengunjungi Kampung Batu Bulan yang terkenal dengan seni ukiran batunya dan perusahaan menjual barang perhiasan dari perak, perhiasan kaca, pertukangan dan ukiran kayu, kain batik dan kraftangan.


8) Rumah Suci

Luangkan masa untuk pengalaman melawat kuil-kuil di bali yang reka bentuknya sangat unik. Antara yang popular untuk dikunjungi adalad di Uluwatu dan Tanah Lot. Rumah ibadat ini masih digunakan, dan secara amnya terdapat banyak monyet liar yang jika anda kurang awas mungkin kaca mata anda akan dilarikan. Agama utama di Bali adalah hindu oleh itu anda akan terpesona melihat seni bina patungnya yang mempunyai unsur patung Hindu di India seperti patung gajah Ganesha namun terdapat sedikit unsur animisma dan alam semula jadi Bali.

Di Bali masih mengamalkan sistem kasta namun berbeza sedikit dari di India walaupun di mana-mana terlihat simbol Jai Matadi. Namun masyarakat Hindu di bali percaya kepada Tuhan Hyang Tunggal atau dikenali sebagai Sang Hyang Achintya, namun ada juga yang menyembah dewa Shiva dan Vishnu. Boleh dikatakan Hindu di Bali mempunyai pengaruh tempatan, oleh itu anda akan melihat patung garuda selain patung Ganesha. Seperti biasa riwayat epik Ramayana dan Mahabrata akan menjadi kisah penting yang bakal diceritakan oleh supir anda. Secara amnya, bentuk kuil Hindu di Bali berbeza dari yang terdapat di Prambanan yang lebih mirip kepada kuil-kuil di Cambodia.


9) Kopi Luwak

Bagi yang mengenali kopi luwak, anda pasti tahu bagaimana buah kopi ini dimakan oleh musang dan kemudiannya biji-biji kopi yang dinyahtinjakan diproses menjadi serbuk kopi yang dipanggil kopi luwak. Kini musang-musang ini dibela oleh pengusaha untuk mendapatkan bahan mentah ini kemudian serbuknya dijual. Selain kopi luwak, kopi asal iaitu kopi bali seharusnya dicuba oleh penggemar kopi.

Selain itu, kopi dan teh bali ini telah mengalami perubahan dari segi inventori di mana ia diadun bersama herba-herba lain bagi menjadikan ia sesuai sebagai minuman herba seperti kopi ginseng, teh halia, cappucino dan sebagainya banyak dijual di toko-toko disepanjang jalan di Kintamani menuruni puncak dari Batur. Anda boleh pergi sendiri berkunjung ke kebun kopi untuk melihat bagaimana kopi dihasilkan, selain herba-herba dan buah-buahan. Di sini juga terdapat bunga lavender hidup subur kerana udaranya yang bersuhu rendah.

10) Kenali Ketut

Penduduk Bali mengamalkan cara hidup tradisional yang banyak dipengaruhi oleh budaya Hindu, malah pertuturan mereka juga terdapat unsur pengaruh bahasa sanskrit. Budaya Bali ini membawa anda untuk mengenal urutan panggilan untuk anak-anak Bali di mana anak yang sulung hingga yang bongsu akan dipanggil dengan panggilan istimewa masing-masing.

Anak sulung akan dipanggil Wayan atau Putu. Bermakna jika anda seorang perempuan dan merupakan anak sulung, anda akan dipanggil sebagai Mbak Putu. Seterusnya anak kedua akan dipanggil sebagai Made atau Nengah. Anak ketiga pula dipanggil Nyoman atau Komang manakala yang keempat atau bongsu pula dipangggil Ketut. Jika terdapat lebih bilangan anak lagi, urutan ini akan kembali berurutan dari yang sulung dan seterusnya. Kini anda mengetahui asal usul nama Ketut yang menjadi tukang tilik dalam filem Eat, Pray, Love.


Bali, Indonesia.
12 Nov - 15 Nov 2011.

No comments: