Saturday, January 7, 2012

Yang Tinggal Hanya..

Apa yang bermain di hati dan fikiran anda, melihat rakan anda seorang demi seorang pergi? Bukan jauh melangkah keluar dari pintu pejabat, hanya meneruskan perjuangan di medan yang berbeza. Dalam kegembiraan menyambut khabar mereka menempa jaya di luar sana dan pada masa yang sama kesedihan meniti arus kenangan memerlukan ketabahan bagi mereka yang menghargainya.

Hanya 4 tahun lebih di sini, rasanya baru kelmarin aku berjalan kaki di atas jambatan Jalan Barat yang merentasi Federal Highway di hadapan PJ Hilton menuju Wisma Domain. Selepas seminggu lebih di situ, aku menerima tugasan di luar yang amat menguji, di bawah organisasi usahasama antara Persys India dan Punj Lloyd. Sedih meninggalkan kenangan di sana, aku pulang tetapi bukan di Wisma Domain lagi, ianya Bangunan MTD di Batu Caves dan ketika itu aku tersedar baju kemeja hanya ada 2 helai.


Aku bertukar dari dunia kerja di tapak bina yang dihiasi sisa besi karat serta ketulan batu dan debu, kemudian menjadi seorang yang sepenuhnya menyiapkan kira-kira di pejabat. Daripada proses menender, menyiapkan reka bentuk kemudian dipersembahkan dalam bentuk lukisan disamping perincian kos produksi, semuanya untuk Persys Engineering Sdn Bhd (PESB) dan Persys Sdn Bhd (PSB). Hari ini aku dipanggil untuk suatu penjelasan untuk sekali lagi melakukan perubahan.

Setelah setahun genap perkhabaran Persys Engineering dibubarkan, aku ditugaskan untuk berkhidmat di bahagian pusat data, iaitu planning department. Dalam masa yang singkat aku perlu mahir mengendalikan perisian Primavery Project Planner untuk merencana projek-projek yang bakal dan sedang berjalan kini. Terbayang jaringan Gantt Chart yang diprogramkan bersama budget dan sumber lain dalam suatu sistem kalendar. Ditambah lagi, aku akan bergelumang untuk menyiapkan bahagian tertentu dalam Quarterly Report dan Risk Management, selain bersama yang lain meneruskan misi Paperless dalam sistem pernah dilancarkan Document Management System (DMS).

Walaupun perubahan ini seawal tahun 2012, namun kami yang dibubarkan masing-masing berpecah. Ada yang diserap masuk ke bahagian Manufacturing dan ada juga yang menghantar surat perletakan jawatan. Kalau dulu tingkat 4 meriah dengan jaket biru muda kini kemeriahan terbaru tidak setanding dulu. Pilunya hati mengenangkan detik indah lama kini bersedia menutup tirai, titik warnanya kian pudar dan lesap seperti kepulan asap di udara.

Minggu hadapan, dua lagi insan yang dikenali akan melambai pergi iaitu Cik Azlina Maatan dan Encik B.Vijayakumar. Persiapan kecil untuk meraikan mereka tetap dibuat dalam kesederhanaan. Aku berdiri di lantai tingkat 4 dan memandang suasana sekitar, hanya 3 daripada 9 pintu tertutup rapat yang aku kenali penghuninya merupakan warga lama ACPI. Selebihnya yang di luar sungguh padat dengan penghuni barunya tetapi hanya aku merupakan sisa lama yang pernah menyarung jaket biru suatu ketika dulu. Lebih 60 warga kerja menghuni lantai tingkat 4; MTD Construction, ACP DMT, Alloy Maintenance Engineering, Terratech Consultant, Planning Department, Survey Department dan Persys Sdn Bhd.

Selamat tinggal PESB.

4 comments:

Nurul Farhanah~ said...

apakah yg telah terjadi di MTD???

SYED NAHAR said...

ucapkan selamat tinggal kepada PESB...

Mama Miraki said...

sentiasa pandang ke depan....yang tinggal jadikan memori...jangan asyik melayan kenangan lalu......hahahha....

SYED NAHAR said...

masa terlalu cepat berlalu hehehe..