Bayangkan, anda kesuntukan waktu dan anda juga kesempitan wang saku. Anda meluru laju ke sebuah mesin ATM akan tetapi seorang kakak berjubah hitam manik blink-blink memintas di depan. Atas dasar menghormati insan yang lebih berusia, dan juga mendahulukan kaum hawa, tentu sekali ada pasrah menanti di belakangnya menunggu tibanya giliran anda.
Perlahan-lahan, kad ATM di cari dari dalam wristlet yang besar. Sepurnama menanti, akhirnya baru kakak tadi perasan yang kad ATM itu sekadar diselitkan di side pocket wristletnya. Sebaik kad ATM dihulurkan untuk dicucuk, telefon berdering dengan ringtone lagu nyanyian Siti Nurhaliza, "jaga dia untukku, bilaku masih jauh.."
"Hello, haaa... ya, saya dah on the way dah. Lagi 5 minit saya sampai la KLCC," jawab spontan kakak itu kepada pemanggil. Sebaik telefon dijauhkan dari telinga, kakak ini sambung menaip Whatsapp pula. Saya pasti, kesabaran menanti masih lagi utuh.Keadaan di stesen LRT Bangsar cukup sibuk. Sesekali terdengar bunyi roda besi tren bergesel di landasan. Sudah dua kali kedengaran bunyi bingit begini, barulah kakak ini berjaya mencucuk kad ATMnya.
Sudah menjadi lumrah kaum hawa, setiap kali menggunakan mesin ATM, perkara wajib yang akan dilakukan adalah untuk memeriksa jumlah baki mestipun sebelum keluar dari pejabat sudahpun membuat pemeriksaan baki melalui Maybank2u. Sekadar untuk kepastian dan kepuasan, amalan ini tetap dilaksanakan meskipun apa yang terjadi. Kemudian, barulah proses mengeluaran wang simpanan dilakukan.
Alangkah leganya apabila setelah 4 minit berlalu, barulah terdengar bunyi mesin sedang mengira helaian wang yang bakal dikeluarkan. Anda akan pasti tertunggu-tunggu saat manis ini dengan tangan menggeletar sambil kad ATM dicucuk-cucuk ke dagu. Sebaik kad ATM keluar, kakak itu kelihatan dengan cermat membuka zip wristletnya untuk menyimpan kad ATM tersebut dan kembali dizipkan. Sebaik wang pula keluar, sekali lagi zip wristlet dibuka dan perlahan-lahan mahu menyelitkan wang di ruangan tertentu.
Akan tetapi, wang itu masih di tangan. Sesekali diriku yang kesuntukan waktu ini sampai terjingkit-jingkit dengan harapan kakak ini akan melangkah ke tepi untuk memberi laluan kepada pengguna seterusnya. Eh?? Seminit berlalu, kakak berjubah hitam berkilau ini masih tercegat di situ. Atas menghormati hari jumaat penghulu segala hari, anda pasti akan menarik nafas sedalamnya sebagai latihan menguatkan tahap kesabaran, kerana kesabaran itu separuh dari iman.
Tiba-tiba kakak ini membuat gerakan tubuh, secara spontan membuat pusingan 180 darjah dan kini anda saling bertentangan mata. Anda ke kiri, kakak pun ke kiri. Anda ke kanan, kakak pun ke kanan. Sejenak berfikir, kakak ini kembali membuat pusingan 180 darjah dan mengambil masa 45 saat justeru mengeluarkan sekeping lagi kad ATM, tetapi kali ini untuk membuat pembayaran loan kereta.
No comments:
Post a Comment