Tuesday, November 5, 2013

Pembenci & Pembencian

Zaman sekarang tidak semestinya hanya artis sahaja yang mempunyai pembenci atau haters. Tidak percaya?? Cuba amalkan menulis status annoying di fesbuk sekerap mungkin. Apakah reaksi pembaca setelah beberapa kali anda pengulanginya? Untuk kaedah fast-track status itu hendaklah ditulis bersama elemen yang boleh meraih perhatian pembaca, sama ada menyentuh isu perkauman, lucah mahupun mengecam individu atau organisasi berprofil tinggi. Terus waran dikeluarkan dan di bawah akta hasutan 1948 anda meringkuk dalam ISA. Akan tetapi, ini adalah kes yang menggugat perpaduan negara, jika dibandingkan dengan masalah persahabatan yang sekadar gaduh-gaduh manja, selepas itu diikuti dengan amalan unfren di Facebook.

Apakah hebat menjadi seorang pembenci? Sedar atau tidak, setiap individu pasti ada perkara atau objek yang diminati, atau kurang disenangi. Mungkin kerana bukan pilihan namun atau sekadar perasaan tidak suka, namun ia boleh membentuk suatu kebencian. Bagaimana boleh timbulnya benci?

Ambil contoh, jika anda keluar dari pejabat dan terdapat sebuah kereta yang dipacu laju, tidak mahu beratur malah terus memancung anda dan meluru tanpa segan silu tanpa memberi sebarang amaran kecemasan atau angkat tangan tanda maaf. Kondisi ini boleh kita bahagikan kepada dua. Jika si pelaku adalah orang awam, maksudnya orang lain yang tidak dikenali, mungkin kesannya hanya kita akan memaki hamun satu kali, kemudian ia boleh lupakan. Jika ditanya seminggu kemudian, apakah warna kereta yang melakukan kesalahan itu? Mungkin kita sudah lupa.

Sebaliknya berlaku jika si pelaku adalah insan yang kita kenali? Tentu hukuman yang kita jatuhkan untuknya lebih hebat bukan? Jadi penilaian tahap kebencian adalah berbeza, sangat subjektif. Namun, kebencian ini boleh dibendung, boleh dikaji punca kehadirannya dan mungkin boleh diatasi. Faktor emosi menjadi penyebab kebencian bertukar menjadi tidak terkawal.

Jika saya, anda mahupun rakan anda adalah pembenci, apakah elemen-elemen yang ada dalam diri pembenci? Mari kita kaji satu persatu daripada kebanyakan ciri yang sangat signifikan dengan seorang pembenci. Hanya mengkaji beberapa, atas dasar frekuensi dengan mengambil contoh kejadian menerusi teknologi media sosial kini. Tidak perlu pergi jauh, hanya dihujung jadi anda mampu menjadi seorang pembenci.


1. Pembenci Adalah Stalker

Jika benar apa dikata, rasa benci lahir dari hati setelah mendapat kawalan dari otak. Rasa benci yang dilahirkan terjana setelah mata, mulut atau deria lain menerima maklumat. Proses mengadaptasi maklumat ini dianalisis oleh otak, justeru maklumat ditafsir dan sebagai side effect lahirlah suatu rasa. Pelbagai rasa yang boleh wujud, seperti rasa kagum, rasa bahagia, rasa sedih dan juga rasa benci. Oleh itu, rasa benci terhasil, di mana pembenci membenci suatu kebencian. Namun dari mana datangnya rasa benci ini?

Sedia maklum, jika kita membenci sesuatu, kita terus mengkaji atau mencari maklumat untuk mengetahu info lanjut tentangnya, kebencian akan meningkat. Pendek kata, pembenci bertindak menjadi stalker, tanpa dijemput dan kemudiannya menyakitkan hatinya sendiri. Gejala ini boleh dibendung tetapi emosi ingin tahu menewaskan segalanya dan disusuli tindak tanduk yang sama ada relevan atau tidak. Jika anda masih mengamalkan aktiviti stalker, anda berisiko menjadi pembenci dan anda sebenarnya menyakitkan hati anda sendiri.

Selain itu, pembenci juga boleh melakukan aktiviti sub untuk tugasan stalker, namun hanya boleh dilakukan jika bergerak dalam satu kumpulan yang lebih dari satu. Ini diamalkan agar memudahkan tugas pencarian maklumat kerana banyak media sosial sudah mempunyai ciri keselamatan yang sentiasa dipertingkatkan dari hari ke hari.


2. Sastera Ekstrim

Pembenci menulis mengikut perasaan, membuat pengakuan mahupun menyatakan pendapat dan tak kurang juga yang mengherdik individu lain mahupun organisasi tertentu. Pembenci meluahkan segala yang terbuku, dengan baris ayat yang dapat dihidu akan intonasinya. Biasanya ayat-ayat ini mempunyai maksud yang keras.

Pembenci dalam diam, tidak terkecuali menjadi pembenci tegar namun pembenci dalam diam ini kurang memberi impak. Menurut amalan, sebarang perkara tidak baik yang dibuat dalam diam akan merugikan diri, tidak pula dinyatakan ianya akan merugikan pihak lain. Pembenci yang lantang bersuara adalah pembenci yang tegar. Pembenci tegar menggunakan liuk bahasa, tatabahasa yang keras dan paling ketara adalah objektifnya yang menampakkan kesan negatif kepada diri pembenci mahupun yang dibenci. Penggunaan bahasa yang kesat, tatabahasa yang tidak sesuai digunakan oleh pembenci bagi meluahkan perasaan yang terkandung dalam dirinya, kerana target pembenci tentunya kepada yang dibenci sama ada pembenci mahukan yang dibenci itu merasa sedih, terkilan, sentap mahupun membuat serangan balas.

Ciri penulisan pembenci boleh dikenal pasti melalui pembacaan beserta intonasinya. Selain itu, kebencian dapat dilihat pada penulisan tersebut, seperti menggunakan kata-kata kesat, pengulangan berganda, warna tulisan jika ditulis dengan tangan, penggunaan perkataan ultimation, huruf besar pada kesemua atau sebahagian penegasan, penggunaan tanda baca yang luar biasa dan sebagainya.


3. Penjatuh Hukuman

Bidang kehakiman adalah badan tertinggi yang bertanggung jawab untuk melaksanakan undang-undang. Bukan bermaksud tugas mereka hanya ketika ada perbicaraan tapi secara berterusan sepanjang masa. Ibarat seorang hakim yang menjatuhkan hukuman, begitu pembenci meletakkan satu batu tanda sebagai rujukan, atau aras piawai.  Jika tersasar dari piawaian ini, pembenci akan menggunakan akal fikiran dan pertimbangan yang dia ada pada ketika itu untuk menghakimi sesuatu perkara dan selalunya membuat perbandingan.

Contohnya, pembenci menyatakan sesuatu kejadian sebagai tidak relevan dan dikuti dengan pendapatnya mengapa ia tidak relevan. Pendapat ini disokong oleh suatu perbandingan di mana pembenci akan meletakkan sesuatu tanda aras yang sepatutnya keadaan itu terjadi. Ini dilakukan untuk menampakkan bukti atau sokongan atas kenyataannya. Akan tetapi, jika sokongan itu tidak kuat atau mampu disangkal, ia akan menjejaskan kredibiliti pembenci itu sendiri. Pembenci yang bijak akan mencari sokongan yang signifikan serta mempunyai tahap komplikasi rendah. Jika dibidas, setidaknya pembenci mampu membidas lagi.

Kebiasaannya, dalam keadaan yang marah, pembenci biasanya membuat perbandingan yang mempunyai konsep ironi. Oleh itu, ayat yang lengkap biasa digunakan oleh pembenci dimulai dengan kenyataan dan perbandingan, dikuti bukti sokongan dan diakhiri dengan hukuman. Hukuman yang sangat berat biasanya dijatuhkan untuk memberi elemen kepuasan hati.


4. Penafian

Penafian penting untuk menganjakkan diri pembenci dengan meminimumkan atau mengecualikan dirinya daripada kejadian yang ingin dibahaskan. Ini berlaku kerana kejadian tersebut telah diletakkan suatu klasifikasi perbandingan beserta hukumannya. Oleh itu wajar bagi pembenci membuat kenyataan penafian.

Jika ditafsir, penafian ini berkait rapat dengan karaktor awal pembenci sebagai stalker. Sebagai penganalisa yang bijak, kita boleh membuat siasatan mengikut modus operandi pembenci ini kerana kelemahan pembenci adalah penafian yang sebenarnya berkait rapat dengan sumber maklumat. Jika tiada maklumat, bagaimana fenomena pembencian wujud? Jelas sekali pembenci yang gagal merahsiakan konsep pencarian maklumatnya akan menghadapi krisis bahaya.

Pembenci yang gagal peringkat awal untuk elemen ini boleh dilihat pada penulisannya. Contohnya, pembenci menyatakan untuk tidak mengendahkan kejadian. Akan tetapi, jika tidak diendahkan, bagaimana berlakunya proses pencarian maklumat yang kemudiannya mencetuskan suatu pembencian?


5. Sambutan

Skala kejayaan pembenci adalah bergantung dengan sambutan yang diterima. Di laman sosial fesbuk, jumlah like dan komen menjadi kayu ukur kejayaan ini. Kita boleh amati sesorang pembenci mempunyai kelompok pembacanya, sama ada perhubungan menerusi sekolah, pengajian tinggi, tempat kerja, kawasan tempat tinggal mahupun rakan rawak.

Kenyataan pembenci selalunya meraih sambutan menggalakkan. Jika isu yang dibahaskan itu dipersetuji ramai kelompok perhubungan, ia boleh diklasifikasikan sebagai universal di mana ia diterima ramai oleh setiap jaringan hubungan dalam semua kelompok. Akan tetapi, jika kenyataan itu disokong oleh hanya satu kelompok, atau sebaliknya. Konsep ini juga membolehkan kita menafsir kelompok yang menyokong dan kelompok yang tidak menyokong. Kajian ini boleh boleh mendedahkan kelemahan pembenci. Oleh itu, pembenci yang bijak akan membuat penyataan terperinci agak elemen-elemen lain turut terlaksana dan dikunci rapat agar tidak boleh dibolosi pihak lawan.

Jika terdapat perpecahan dalam kelompok yang memberi atau tidak memberi sambutan, kajian boleh dilakukan dan amat signifikan kerana kajian ini lebih fokus kepada hanya satu kelompok sahaja. Amat berbahaya kepada pembenci, jika kenyataan kebencian menjurus ke suatu kelompok namun tidak menerima sebarang sokongan dari pihak kelompok itu, pembenci anda mungkin sedang dihakimi oleh pihak ketiga. Silap langkah, pembenci dapat diberkas dan layak menerima hukuman yang setimpal dengan kenyataan pembenci sebelum ini.

3 comments:

missone hazel said...

Panjang sangat. Baca hat mula2 ja

SYED NAHAR said...

hahahaha.. alah, mcm mana nak jadi penulis novel ko ni.. kan ke dulu ko dgn sir suka buat novel sendiri pastu pass2 kasi baca..

Anonymous said...

erk...syed???