Kita selalu cakap pada orang, bila orang tu berjela panjang menceritakan perihal suatu kisah duka atau masalah, kita akan menyatakan agar bersabar. Jika dipanjangkan lagi mungkin ditambah lagi supaya berdoa yang terbaik. Kita berasa wajib untuk memberi sepatah dua kata namun yang bermain di benak hanyalah kosong sahaja. Mungkin sama sekali kita malas mendengarnya, dengan jalan pintas ini kita dikira memiliki sifat prihatin yang menjadi norma dalam jiwa seseorang masyarakat Malaysia.
Tahun 2015 kali ini bakal melabuhkan tirai sukuan pertama. Perubahan pada negara dari segi sistem percukaian sehinggalah kepada ikutan masa kini hanyalah dikatakan masalah, meniti dibibir namun kadang kala kita bukanlah memikul beban itu sepenuhnya. Mungkin emosi, perasaan tidak puas hati dan sebagai menunjukkan protes atas logik akal fikiran. Mahu atau tidak, sebagai rakyat itulah pilihan yang ada.
Dulu aku selalu berfikir, apakah rasanya menjadi orang yang betul-betul mengalami masalah wang? Apakah yang dikatakan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang? Apakah sekiranya aku tidak mampu untuk membeli Iphone melayakkan aku untuk merasakan diri aku sebagai seorang yang mempunyai masalah wang? Apakah selama ini aku menabung atau selama ini pendapatan aku memang tidak melayakkan aku untuk menabung? Apakah menabung itu khusus untuk hari tua, atau sempatkah kita tua untuk merasai hasil tabungan itu?
Ramai yang tidak pernah mengadu pasal masa, termasuk aku. Jika aku tidak mengecapi sesuatu impian, aku tidak pernah menyalahkan faktor masa. Mungkin kerana masa yang berlalu itu tidak berjasad, hanya menunjukkan kesan setelah kita melepasinya dan menyesali akan pentingnya ia. Jika sibuk sekalipun, jari menunding kepada manusia, atau ketirisan dari pihak lain. Mungkin faktor berkait namun masa paling bererti apabila kita dirundung masalah kesihatan. Benarlah kata-kata bahawa masa itu emas, tetapi kita selalu menggadainya. Andai esok mati, apakah yang paling kita mahu lakukan?
Jika sakit, apakah indikasi rasa sakit itu sama untuk setiap manusia? Apakah demam panas pada suhu 41 darjah selsius pada diri kita itu dirasai sama jika berlaku pada orang lain juga? Ini disokong oleh preskripsi doktor yang memberi ubat pada dos yang sama pada setiap pesakitnya. Namun, ada yang cepat pulih manakala ada pula yang mengalami kesan sampingan yang berbeza. Kadang kala kita rela untuk membayar kos perubatan demi untuk mendapat sekeping surat sakit, tetapi bagaimana pula bila kita benar-benar sakit dan berdepan dengan kos rawatan yang kita tidak mampu membayarnya? Atau rawatan penyakit itu memberi impak besar kepada kehidupan kita kemudiannya? Penyelamat adalah insuran, namun kita harus sedar bahawa insuran adalah jalan terkahir sesuatu penyelesaian dalam pengurusan risiko.
Kita hidup bukan sendirian, walaupun tinggal seorang diri tetapi masih tetap memerlukan orang lain. Bagi yang hidup berpasangan, pastinya mengharapkan kebahagiaan. Perkara paling ditakuti adalah kecurangan, penindasan, penipuan, perpisahan dan sebagainya yang membawa kesedihan. Namun apakah indikasi terpenting dalam kesetiaan suatu perhubungan? Tidur bersebelahan seorang isteri dengan suaminya, apakah di dalam hati suami itu hanya ada wajah iserinya? Apakah ketika si suami pergi bekerja, si isteri di rumah tidak bermain mata? Bagaimana jika wujud kecurangan yang terperinci mahupun yang telah direncana terlebih dahulu agar tidak dapat dikesan oleh pasangan? Jika perkara ini yang membelenggu kita, tentu sekali hidup kita terasa amat sunyi bagaikan jauh dari insan tersayang.
Apakah kiranya jika kita berada dalam situasi di mana semua masalah ini bergabung serentak dan menjadikan diri kita sebagai insan terpilih untuk melaluinya?
No comments:
Post a Comment