Saturday, December 17, 2011

Perasaan Itu Datang Lagi


Hari ini baru aku terasa. Perasaan yang patut aku rasa, yang lama aku pendam dengan penuh ego bahawa aku tidak akan sesekali membiarkan perasaan itu berlalu biar sepintas. Selama beberapa hari aku membantu mengosongkan stor, masuk satu persatu fail ke dalam kotak. Semua kabinet fail dikosongkan, demi sebuah misi yang aku pada dasarnya tak mahu ia berlaku sekarang. Aku berharap dalam hati kecil ini untuk diberikan sedikit lagi masa supaya dapat menikmati beberapa hari lagi.

Aku tak sangka, hari ini peristiwa selama lebih 2 tahun setengah ini akan sedikit sebanyak dipadamkan namun tidak di hati. Apabila mengangkat satu persatu kotak ke atas troli, bukan kepenatan yang menjadi isu tetapi aku sendiri tak tahu kenapa aku sanggup mengangkat kotak-kotak itu. Ringan tulang bukan bermaksud aku rela membiarkan ia terus berlaku tapi aku tak sanggup melepaskan saat-saat ini yang mungkin menjadi episod terakhir. Aku tak mahu menyesal.

Perasaan sama seperti aku melihat satu persatu staf India melangkah kaki keluar dari pejabat di New Delhi. Perasaan ini juga berdesup laju menggoncangkan hati aku tatkala melihat kepingan-kepingan cebis besi di tanah sebaik pagar tapak bina dirobohkan menandakan tamatnya tempoh pembinaan Delhi Metro bagi fasa Inderlok-Mundka. Perasaan hanpir serupa bila masa aku menarik zip beg berodaku yang besar lantas melangkah keluar dari rumah Sunder Vihar untuk menuju ke Indira gandhi International Airport sambil melihat dua wajah yang ditinggalkan menerusi cermin sisi kereta.

Kali ini, selesai sahaja semua kotak-kotak Abang Saiful Anuar dihantar ke tingkat 9, aku terus bertanyakan Kak Roziah untuk acara seterusnya. Habis kotak-kotak Kak Roziah, semua kotak Persys Engineering diangkut pergi. Hanya kotak Parcel Z untuk tindakan pihak Legal Department atau Credit Control untuk mengangkatnya pergi. Aku tak percaya aku mampu melakukan semua ni, meskipun aku tahu yang aku tidak lagi berada bersama mereka selepas ini. Tak sangka sekali lagi melalui perpisahan. Memang kecil, masih dalam bangunan yang sama tapi aku merasakan aku makin jauh dan terus tercampak jauh. Minggu hadapan, kotak-kotak Encik Vijayakumar pula akan kubawa ke tingkat 9 menandakan tiada lagi sisa Persys Engineering di tingkat 4. Tak sangka khidmat aku berakhir di sini.

Dulu aku terpinga-pinga, sampai dari New Delhi, hari pertama itu juga aku duduk di meja yang dikosongkan oleh beberapa jurutera sebelum ini. Pelbagai nama terpampang, ada nama jurutera Iraq, Raja Shahnon, ada nama Marini Mardi dan yang terkini Tasyrif. Aku sendiri tak boleh menyangka sejauh mana aku mampu bertahan untuk duduk di posisi ini. Ramai menyebut, tidak ramai mampu bertahan dan pasti akhirnya akan pergi. Kini aku pula yang akan pergi meninggalkan meja ini bukan atas kerelaan aku tapi ia adalah hasil perubahan sistem pentadbiran syarikat. Sedikit demi sedikit, nama Persys Engineering akan lenyap ditelan arus masa, namanya akan terus pudar dan terpadam dan akan hanya segelintir yang mengingati.

Mengenangkan suasana sibuk tak menang tangan bersama pengurus Encik Vijayakumar, kelam kabut mencari fail untuk kelim bersama Puan Roziah Samaan dan menjawab soalan masalah teknikal bersama Encik Saiful Anuar, memang tidak akan mudah pudar, namun suatu hari nanti ia tetap pergi kecuali aku kembali membaca tulisan ini. Perginya mereka akan membawa penutup kepada perkenalanku terhadap mereka; Lee Kong Hoong, Alice Chong, Vasudevan, Encik Krishnan, Haji Mustafa dan Shin. Tiada lagi menerima panggilan telefon dari Waterize, Kinu, TNT, R&A Geotechnics, ACPM Seremban, Menta, Megcon mahupun siapa sahaja yang selama ini berurusan dengan Persys Engineering.

Kini aku tiada jiran, Kak Hamidah sudah berpindah ke hadapan bersama Kak Azlina, Pak Jais, Azmir Suria, Rusazlizan dan Syukri. Sudah beberapa hari lampu bilik Encik Zulkifli Kamaruddin dipadamkan, hanya menanti Encik Vijayakumar pulang dari cuti minggu hadapan dan akan turut sama lampu kamarnya dipadamkan. Sepi rasanya apabila ditinggalkan dan berpisah. Ke mana aku harus membawa diri, mungkin ke seberang sana yang sudi mengintai. Tak sangka penghujung tahun ini aku tercampak keluar dari kelompok asal bersama. Tiada satu fail SBG mahupun Matiere, Rockwood, Acontank, Geowall dan Amorflex.


Perasaan cekal dulu hilang pergi bersama memori, semoga nama Persys Engineering terus diingati meskipun khidmatmu kini melalui titik hujung dan bila-bila masa sahaja akan dipadamkan dan lenyap dari setiap kepingan kertas. Walaupun baru sehari, jelas aku merindui saat emas itu walaupun ramai yang mempertikai tugas lampau itu bukan terbaik dan bukan selamanya buatku. Aku mengakui, elemen seperti ini sangat kecil namun seninya menyentuh jiwaku. Berikan aku sesiapa yang mengerti perasaan ini untuk berkongsi sepi, dan memberi sedikit belas supaya aku tidak merasa terpencil dan kehilangan. Temankan aku dalam meneruskan perjalanan melalui terowong gelap ini yang masih panjang dan belum ada titik cahaya di hadapannya.

setakat ini hanya aku dan Bapak Efendi yang bukan sahaja bertukar lokasi meja malah bertukar jawatan dan jabatan :(

1 comment:

Mama Miraki said...

alah touchingnya baca entry ni..sabar yea...harap2 ada kebaikan atas segala perubahan yang berlaku...