Tuesday, December 27, 2011

Ladang Bikam


Hari itu hari selasa. Bulan tak nampak, jalan raya gelap tanpa cahaya lampu jalan. Mata semakin layu, dan hati menjadi sayu apabila deejay radio memutarkan lagu dari kumpulan Scoin. Lantas tangan menekan-nekan punat radio untuk menukar siaran. Tiba siaran Hitz.fm terus volume dinaikkan. Sesekali bas meluru laju memotong, bagai nak gugur jantung dibuatnya. Tingkap tidak perlu ditutup kerana angin malam sudah cukup nyaman menerpa badan.

Memandu di lebuh raya, jalan lurus memanjang dan tiada halangan apa-apa terus memaksa mulut tiba-tiba menguap luas. Dilihat papan tanda masih beratus kilometer menuju Kuala Lumpur. Alangkah enaknya jika ada teman disebelah, namun apakan daya memandu berseorangan hanya ditemani suara deejay radio. Melepasi laluan Gopeng-Tapah, siaran radio sering terganggu.

Melepasi satu demi satu hentian R&R, namun niat di hati mahu lekas tiba di Kuala Lumpur kerana esok hari bekerja, perlu masuk ke pejabat. Tetapi kuasa mengantuk menewaskan segalanya, nampak sahaja papan tanda R&R Ladang Bikam, terus sahaja lampu signal diberikan lalu menyusur masuk kiri.

Keadaan sunyi dan sepi. Hari selasa, bukan hari ahad. Di Hujung sekali nampak deretan lori yang berhenti. Kereta terus dipandu merapati sebuah van yang bewarna putih dan terus masuk parkir bersebelahan. Cermin tingkap dinaikkan, penyandar diturunkan, enjin dimatikan dan terus badan direbahkan ke atasnya. Sepantas tutupnya kelopak mata, terus lelap tanpa mimpi.

Dua puluh minit berlalu, keadaan semakin panas. Tidur yang terganggu akhirnya memaksa kelopak mata dibuka. Bayangan van putih masih ada disebelah. Lantas memberanikan diri untuk mengiringkan tubuh mengadap dinding van putih yang samar-samar disuluh lampu jalan. Hati terpinga-pinga memikirkan sama ada pemandu van ini tentunya berehat sebentar menghilangkan lelah. Namun tiada kelibat pemandunya dilihat. Bukan masalah besar, sambil memaksa mata untuk lelap kali kedua, hati tiba-tiba berdebar melihat sisi cermin luas van putih ini, ada tulisan Cina.

Sambil mengurut perlahan bahagian belakang, perlahan-lahan badan ditegakkan. Dipusingkan kepada ke sebelah kiri, nampak deretan pohon besar tanpa ada kereta lain yang diparkir. Dipusingkan pula kepala ke kanan, kembali ke kiri dan akhirnya ke kanan semula. Namun tolehan kali ini berbeza sekali. Kelopak mata dibuka seluasnya, melihat tajam masuk menerusi cermin luas van itu, terdapat sebuah bongkah bersegi terisi di dalamnya.


Setelah diamati, bagaikan tidak percaya van putih ini sebenarnya membawa muatan berupa sebuah keranda yang didalamnya terdapat sekujur tubuh mayat. Keranda itu sepertinya diperbuat dari kayu yang divarnis namun di bahagian atas terdapat bukaan atau strukturnya ditutup dengan kaca lutsinar lantas memperlihatkan wajah kecut mayat itu yang pucat lesu. Tiba-tiba jantung berdebar kencang lantas tangan meraba-meraba kunci untuk menghidupkan enjin, dan terus beredar dari situ.

4 comments:

Anonymous said...

kisah benar ke wei?? serammm.....
kdg2 kita xsedar elemen seram tu smpai la kita dah dok lama kat ctu..sama la cam aku dulu..pi mndi air terjun..dh siap mandi suma baru tau, kat ctu org baru ja ada org mati lemas..lepas 3 hari bru jumpa mayat..huh! patut la x ada org...seramm....

sir..yang serrraaamm....hehehe

SYED NAHAR said...

hahaha.. kat mana tu sir? gunung jerai ke? awat hang menonong je pi mandi situ tak de org warning ke? hahaha..

Hustler said...

Terbaik!!! mujur tak mimpi mayat tuh ketuk2 cermin tingkap ke kan?? hahahah

SYED NAHAR said...

kalau mimpi mcm tu sah esok tu aku MC hahaha.. demam!