Tuesday, June 28, 2011

Langkawi dan Anda


Rata-rata menganggap Pulau Langkawi merupakan destinasi percutian impian bagi warga Malaysia, tapi tahukah anda bahawa pulau ini menjanjikan sesuatu yang lebih daripada sekadar percutian? Di sini terdapat sedikit bingkisan daripada rentetan percutian 4 hari saya ke tanah sumpahan Mahsuri ini, namun hanya 5 aktiviti paling popular, iaitu:


1. Pantai

Bagi pencinta keindahan pandai pasti langkawi bakal menghidangkan anda pesisiran air masin yang pelbagai bentuk muka bumi. Ada yang berpasir halus, berbatu batan mahupun berpaya. Pantai Cenang adalah tarikan utama muda-mudi untuk melakukan aktiviti air, tak kira sekadar mandi ombak, menyalai kulit, bersukan air mahupun sekadar mencuci mata melihat gadis barat yang hangat berbikini.

Di Pantai Cenang anda boleh mendiami hotel mahal seperti Melitus dan Casa Del Mar sehinggalah kepada motel-motel murah yang tandasnya berbau hancing akibat penghuninya yang suka makan petai. Namun di sepanjang Jalan Kuala Muda ini lengkap dengan pelbagai fasiliti, kedai cenderahati, spa, kaunter penempahan aktiviti laut, kedai sewaan kenderaan, restoran ikan bakar mahupun rumah ibadat. Pantai Cenang mengalami pelbagai perubahan mendadak sehinggakan ia persis suasana percutian di Phuket. Selain itu terdapat beberapa lagi pantai awam yang popular di Langkawi seperti Pantai Kok-Teluk Burau.

Penulis lebih tertarik melihat keindahan pantai yang lebih tenang serta kurang pengunjung. Pantai Pasir Tengkorak lebih privasi kepada pengunjung yang mahukan lebih ruang. Penulis lebih teruja apabila mengunjungi Teluk Datai kerana ketika itu langsung tiada orang, memang tiada masalah untuk menukar pakaian tanpa segan silu. Privasi yang wujud di sini disulami dengan permandangan indah Laut Andaman bakal membuatkan anda terpesona dengan keindahan alam semula jadi. Tapi kini terfikir pula jika wujud aktiviti 'skodeng' di situ, tapi penulis yakin kerana lokasinya tersembunyi jauh. Teluk Datai lebih berbatu, ada pasir berwarna keemasan serta airnya yang jernih bak kristal.

Jangan pula anda membina hasrat untuk mandi di Teluk Ewa kerana ia merupakan perkampungan nelayan serta menjadi pelabuhan untuk industri perkilangan simen oleh Kedah Cement. Pantainya lebih berlumpur serta dipenuhi bot nelayan. Pantai Pasar hitam juga kurang daya tarikan kerana semata-mata mempromosikan deretan gerai dan sejarah dongeng peperangan antara kerajaan laut dan darat sehingga terhasilnya 'spot' pasir berwarna hitam.

2. Sejarah

Pulau Langkawi banyak memaparkan kisah dongeng dahulu kala. Memang tahyul kalau kita nak percaya kisah perhubungan luar nikah antara dayang dan lelaki yang kedua-duanya adalah bunian (lelf). Dayang yang digambarkan sebagai bertelinga panjang itu kemudiannya hamil lantas memilih untuk menanti saat kelahiran bayinya di sebuah pulau yang di tengahnya terdapat sebuah tasik. Namun anak yang dilahirkan itu ditakdir pendek umurnya lantas meninggal dunia lalu dimakamkan di dalam tasik yang kini dinamakan Tasik Dayang Bunting.

Keunikan Pulau Dayang Bunting ini pada mata penulis hanyalah pada struktur beberapa puncak bukitnya yang menyerupai sisi wanita hamil yang sedang baring sambil makan layan game Angry Bird. Namun sejarah dunia bunian ini bukanlah tarikan utama namun lebih memberikan tumpuan kepada kisah Mahsuri Binti Pandak Mayah. Kisah Mahsuri yang diketahui ramai ini boleh diperhalusi lagi dengan mengunjungi Kota Mahsuri yang menempatkan makamnya di situ, selain replika rumah melayu Kedah serta peralatan dan perkakasan Melayu tradisional.

Selain itu, penulis amat tertanya-tanya dengan suatu kubur purba yang tiada tercatat apa sejarahnya. Mungkin kesuntukan masa dan bahan rujukan, penulis gagal untuk menyatakan sebarang fakta di sini. Selain itu, sejarah lain seperti asal-usul nama pulau dan pantai serta nama perkampungan di Pulau Langkawi ini juga boleh anda kaji namun apakah signifikasinya dengan kehidupan kita? Tentu sekali ia bukan termasuk dalam silibus buku Sejarah Peradaban Melayu untuk menduduki SPM.

3. Aktiviti Pencinta Alam

Faktor geografi yang unik menjadikan Langkawi terkenal seantero dunia. Aktiviti Islands Hopping boleh dinikmati oleh mereka yang tiada masalah kesihatan seperti sakit lutut mahupun gaot atau kaki untut. Anda akan dibawa berkunjung dari pulau ke pulau dengan bot sewaan. nasib anda baik jika pemandu pelancong itu ramah bercerita, namun sebaliknya jika dia jenis orang yang mementingkan wang ringgit serta rupa paras. Anda akan kerap kali turun dari bot untuk berjalan kaki mendaki anak tangga untuk ke Tasik Dayang Bunting, meredahi laut cetek untuk mandi di Pantai Beras Basah mahupun berpanas menanti helang menjamah makanan yang dilemparkan.

Penulis terkejut dengan sebuah aktiviti yang amat ingin diwar-warkan di sini iaitu lawatan ke Kilim Geoforest Park. Keseronokan yang bakal anda alami ini setimpal dengan pengiktirafan yang diberikan oleh UNESCO kepada Kilim Karst ini yang mana batu-batuan berusia jutaan tahun serta struktur Sungai Kilim itu sendiri yang mana dikelilingi hutan paya bakau. Aktiviti di sini lebih membawa erti. Melawat habitat ikan sumpit yang nakal dan pintar ini membuatkan anda akan berhari-hari merindukan ikan sumpit. Anda boleh menyentuh dan bergambar ikan pari, belangkas dan siput harimau berlatar belakangkan kapal layar dari seluruh pelosok dunia sejauh Teluk Bodega.

Selain itu, anda akan dibawa mengunjungi Gua Buaya yang pintu masuk guanya menyerupai seekor buaya gergasi. Sememangnya ia merupakan habitat buaya sehingga kini tetapi populasinya lebih 'underground'. Anda juga akan melawat habitat gua kelawar dan melihat sendiri struktur 'stalagtite' dan 'stalagmite' di dalam gua batu kapur. Paling mengujakan adalah apabila anda dibawa ke tengah-tengah muara Sungai Kilim dan menyaksikan sendiri panorama indah serta sempadan perairan antarabangsa.

Aktiviti lain yang menjanjikan pengalaman indah adalah seperti menaiki kereta kabel Gunung Machincang dan Oriental Village, menunggang kuda, melawat taman buaya, Bird Paradise Wildlife Park, mendaki Telaga Tujuh dan Langkawi Fall. Jika memiliki sedikit lebihan wang, apa kata jika anda menyertai aktiviti 'scuba diving' di Pulau Payar?

4. Membeli-Belah

Pulau Langkawi merupakan zon bebas cukai, di mana anda akan dapat membeli belah dengan harga sebelum cukai. Tapi perlu diingati bagi mereka yang datang dari luar Langkawi, anda pelru sekurang-kurangnya menginap selama 3 hari 2 malam untuk mendapat keistimewaan ini. Jika tidak, anda perlu membayar cukai kepada kastam sewaktu hendak keluar nanti.

Pulau Langkawi dikenali sebagai syurga pencinta pinggan-mangkuk. Aktiviti Makcik Bedah ini dapat dilihat secara nyata di gedung-gedung sekitar Bandar Kuah terutamanya di Haji Ismail Groups dan Idaman Suri. Para isteri sibuk membeli-belah bagaikan percuma tanpa mengendahkan pendapat suami yang kad kreditnya sipi-sipi mencecah had. Jenama Corelle, Corning Ware, Luminarc, Vantage, Noritake serta Vision sentiasa meniti di bibir mereka yang telah lama menantikan saat ini.

Coklat juga tidak asing lagi, namun sila berwaspada dengan tarikh luput. Jika anda kurang awas, mungkin anda terbeli coklat yang hapak, berkulat mahupun mengandungi alkohol atau unsur lemak haiwan yang tidak disembelih. Rata-rata pengunjung memilih untuk tidak 'shopping'di Jetty Point atau Langkawi Fair Mall kerana faktor harga yang berbeza. Selain itu, anda boleh membeli kain batik Jawa dengan harga yang murah namun awas kerana seorang pengunjung hanya diwartakan untuk 5 helai sahaja, selebihnya akan ditaksir cukainya. Sila dapatkan informasi mengenai had nilai barangan yang anda beli yang mungkin hadnya adalah mengikut harga mahupun kuantiti.

5. Makan-Makan

Semestinya apabila anda berkunjung ke kawasan pesisiran laut, tentu sekali terbayangkan ikan siakap 3 rasa. Di pulau ini anda boleh menikmati pelbagai makanan tak kira masakan asli dan kontemporari Melayu mahupun ala Thai, Jawa, India, Oriental, Mexico dan banyak lagi. Syurga buat anda yang kaki mabuk, di mana-mana terdapat restoran yang menyajikan minuman keras. Tapi tiada maknanya jika anda tidak mencuba makanan lautnya!

Rasailah keenakan ikan yang segar dari laut, dimasak mengikut kesukaan anda. Udang karang yang gemuk digoreng secara 'deep fry', kerang bakar, sotong tom yam dan pelbagai lagi menu untuk anda cuba, tinggal lagi sedap ke tak sedap je lah. Gunakan kebijaksanaan anda untuk memilih restoran yang bersih, harga berpatutan serta selesa. Selain itu, terdapat restoran yang menyajikan makanan luar seperti The British Raj (briyani), Nasi Kandar Tomato (India Selatan), Unkaizan (Jepun), Artisan (pizza dan pasta), Telaga Arabic (Arab), Lan Kwai Fong (Cina) dan Frangipani (makanan Barat sambil menyaksikan matahari terbenam).

Tepuk dada tanya selera anda! Pasti anda lebih berpengalaman, mari berkongsi tentang apa yang boleh anda lakukan atau nikmati di Pulau Langkawi yang tidak terdapat di lokasi percutian lain.

Aktiviti lain; Homestay, Ibrahim Hussein Art Museum, Kampung Air Hangat, Mardi Agrotechnology Park, CHOGM Park & Eagle Square, Perdana Gallery, Langkawi Craft Complex, Taman Ular, Laman Padi, Gunung Raya dan banyak lagi.

No comments: