Nostalgia terbesar, bersama Naim dan Naqui setiap petang. Menjadi tetamu paling kerap berkunjung ke rumah cikgu Ee Teck Ong dan cikgu Ramesh. Mungkin kerana ayah Naim, cikgu Tajuddin yang menjadi rakan sukan dua guru bukan bumiputera ini. Kami tiada segan silu mengunjungi rumah bujang ini. Sambil baring boleh main permainan video Mario Brothers, agak haus dek panas teguk sahaja air sejuk dari peti ais di dapur. Cikgu Ee dan cikgu Ramesh memang hanya memberikan kelebihan kepada kami bertiga, keistimewaan yang tidak diberikana kepada orang lain.
Pernah sekali, kami yang memiliki perasaan inkuiri melihat serangga berterbangan, iaitu tabuan tanah. Menerusi kajian yang telah dibuat, akhirnya kami menjumpai sarang haiwan ini di sebatang pokok yang agak tinggi di tepi padang. Naim lebih dahulu menjumpai sebatang buluh yang bersesuaian panjangnya, lantas kami memusnahkan sarang tabuan tanah ini sehingga sebahagian daripadanya jatuh ke bumi. Lantas kami bertempiaran lari menyelamatkan diri dengan selamatnya.
Malang tidak berbau, petang ini latihan hoki diadakan. Cikgu Ramesh yang merupahan jurulatih pasukan hoki SKRKT turut berada di padang tidak jauh dari situ. Kami yang sedang gembira di kejauhan melihat tabuan menggila berterbangan ke sana sini bagai terpinga-pinga apabila istana yang sekian lama dibina rosak teruk. Tidak lama kemudian, kelihatan sebutir bola hoki meluru jauh keluar dari gelanggang lantas berhenti hampir dengan pokok tadi.
Kami dari jauh berasa amat panik. Mahu sahaja kami jerit supaya jangan diambil bola itu jika tidak mahu menerima padah. Apakan daya, kami hanya diam membisu melihat dari jauh. Seorang pemain hoki sekolah berlari mendapatkan bola hoki tadi. Seperti yang diduga, beliau dihambat oleh tabuan, dan disengat pada leher. Sungguh amarah dendam membara tabuan-tabuan itu, dendam kesumat! Kemudian bergegas mangsa itu dihantar ke klinik. Kami hanya diam membisu menyimpan kisah rahsia abadi ini buat selamanya.
**beberapa bulan lepas, terserempak dengan seorang kawan lama dan memaklumkan Cikgu Ee sempat memeluk Islam sebelum beliau meninggal dunia di usia muda kerana sakit jantung. Sedih mengingatkan kenangan lalu, beliau amat serius melatih pasukan bola tampar.
No comments:
Post a Comment