Monday, February 27, 2012

Drama Klasik: Rumah Terbakar Nampak Asap, Hati Terbakar Tak Siapa Tahu

Pagi ini Kak Ira kurang tidur, matanya kuyup. Melangkah masuk ke pejabat dengan penuh longlai namun ditabahkan jua demi mencari sesuap nasi berlauk untuk anak-anak di rumah. Kak Ira yang berhati lembut, sopan dan ayu terus menuju ke mejanya. Tiba-tiba, terdengar suara terpekik-pekik memecah kesunyian pagi.

Cukup tinggi lontaran vokal Mr.Lecthumanan. Pengurus bahagian teknikal produk konkrit pra-tetuang ini adalah bos kepada Kak Ira. Dengan perasaan terkejut, Kak Ira hanya mampu berdiri terpaku memandang ke arah Mr. Lecthumanan. Kak Ira akur, mungkin semalam dia ada melakukan kesilapan namun dalam soal pekerjaan ini, tak siapa yang bisa lari dari berbuat silap lebih-lebih lagi urusan teknikal.

Kemarahan Mr.Letchumanan terus menerus berpanjangan. Seorang demi seorang yang baru tiba ke pejabat semuanya memerhatikan keadaan ini. Kak Ira terus duduk di kerusinya, lantas mukanya tunduk memerhatikan helaian kertas yang berbaki sisa kerja semalam yang masih banyak. Tak termampu rasanya untuk mengembleng seorang diri, namun prinsip syarikat adalah mahukan pekerjanya untuk berdaya saing di samping mempunyai kebolehan yang pelbagai.

Kak Ira menekan suis komputer, lantas terus meneruskan pekerjaan walaupun masih terlalu awal, berbeza dengan pekerja lain yang berpusu-pusu menuju ke kafe untuk bersarapan. Makian dan cercaan kian reda, suara Mr.Lecthumanan beransur perlahan. Apakan daya, tidak tertahan sebak di hati, air mata seorang ibu yang berkumpul di kelopak akhirnya mengalir membasahi pipi. Satu persatu titisan air mata jernih ini menerpa ke meja, lantas disapu dengan kertas tisu.

"Tak sarapan ke?" Ujar seorang teman. "Tak mengapalah, kau saja yang sarapan," hanya ini yang mampu dibalas oleh Kak Ira. Semenjak beberapa hari yang lalu, Kak Ira sering diundang malang. Kali ini, entah kenapa air matanya tetap mahu mengalir jua meskipun dia sudah beberapa kali menasihati diri agar cekal dan tabah. Mungkin Kak Ira berasa malu dengan pekerja-pekerja lain. Sampai hati Mr.Letchumanan memarahinya di depan yang lain, di masa hari masih pagi sebelum waktu pejabat. Apakah kerana kelemahan ini dirinya terus diaibkan di khalayak ramai?

Personaliti Kak Ira memang diakui ramai. Suaranya amat lembut, jarang sekali ditinggikan. Tidak pernah ada yang dimarahinya, apatah lagi mahu mengarah-arahkan orang. Suaranya yang pembut dan perlahan itu kadang-kala menyebabkan dia berasa tersisih. Mungkin padanya ramai yang tidak mahu berkawan dengan dirinya yang disifatkan sebagai lemah dan terlalu keperempuanan. Cukuplah sekadar bersendirian mengubat luka di hati.

Tiba-tiba seorang kawan datang menyentuh bahunya. "Kenapa kau menangis Ira? Kau sakitkah?" Kak Ira tersipu-sipu menyapu pipinya hang basah. "Eh, tidaklah! Aku tak apa-apa," ujar Kak Ira.

"Kau jangan bohong! Aku nampak kau menangis tadi. Ceritalah pada aku, mungkin aku dapat membantu. Sekurang-kurangnya kitakan kawan, apa salahnya untuk berkongsi kesusahan," tangan kawannya menepuk-nepuk bahu Kak Ira.

"Bukan. Aku cuma sedih. Aku tersentuh hati kerana sebaik sahaja Mr. Lecth nampak aku masuk ke pejabat di seawal pagi ini, bukan penghargaan yang aku dapat. Malahan dia terus memarahi aku, suaranya semakin marah semakin tinggi. Aku malu diaibkan begini," Kak Ira menceritakan pengalamannya.

"Mr.Lecth marah pada kamu? Apa salah kamu? Bila kejadian ini berlaku?" Kak Ira ditanya lagi.

"Apa besar sangatkah kesalahan aku padanya? Aku tahu aku seorang wanita lemah tapi jangan layan aku sebegini. Aku punya maruah, dan aku di sini adalah untuk bekerja mencari rezeki yang halal untuk keluargaku. Kalau benar salah aku, aku bisa memperbaiki cuma berilah aku peluang. Kejadiannya baru tadi, bagaimana kau tidak nampak atau kau cuba untuk mengurangkan kesedihanku?" balas Kak Ira.

"Ya, aku nampak kau masuk ke pejabat tadi. Tapi di waktu itu aku tidak nampak apa-apa yang salah. Bahkan tika itu Mr.Lecth sedang berbual di telefon bimbitnya," jelas kawan Kak Ira.

"Telefon?? Jadi dia bukan marah pada aku?" Kak Ira ingin mendapatkan kepastian.

"Ya! Aku sangat pasti. Tadi orang yang dimarahi itu adalah subkontraktor kita. Aku kenal dan tahu kerana masalah semalam apabila barang yang patut dihantar dari kilang semalam tergendala kerana jumlahnya tidak cukup. Itu sahaja. Tiada kena mengena dengan kau. Sudahlah, kau jangan nak perasan. Semua di antara kita tahu suara Mr. Lecth itu kalau bercakap di telefon pun, satu bangunan bergegar. Sudahlah, keringkan air mata kau tu. Nah ambil tisu ni," nyata kawan Kak Ira lagi.

"Oh, malunya aku. Padanlah semasa aku menangis, tiada siapa yang menegurku kecuali kau. Semuanya tidak mempelawa aku sarapan bersama padahal aku belum makan pagi lagi. Kalau begitu, marilah kita ke bawah membeli kuih, masa masih ada 15 minit lagi. Marilah"

3 comments:

Hustler said...

Haaadooiii~~~~~~~~ Kenapa la Kak Ira nih tacing sgt?? adess.. -_-'' Kan dah salah anggap.. haish!!!

SYED NAHAR said...

itu lah, kak ira mmg touching.. org lemah lembut ni touching kot.. haha..

Mama Miraki said...

siapa ka ira tu yea...hehehheh so moral fo the storey...lain kali kalau dtg awal...singgah terus tkt 3..gi cafe....lepas tu baru masuk opis...hehehehe