Tuesday, February 7, 2012

Goodie Bag

Tiap kali kenduri, tuan rumah akan menyediakan goodie bag sebagai ole-ole untuk para tamu sebagai tanda terima kasih, selain adat lama yang memberikan bunga telur. Begitu juga sewaktu kenduri yang diadakan untuk majlis perkahwinan kakak aku sekitar tahun 2009.

Riuh rendah, satu persatu goodie bag diberikan kepada tetamu yang hadir. Aku hanya memerhatikan sepupu aku yang ditugaskan, walaupun kelam kabut tapi berjalan lancar. Nak dijadikan cerita, ada seorang kanak-kanak yang cukup comel menyerikan suasana.

Aku lupa namanya, tetapi dari awal lagi dia hadir dengan menaiki basikal kecil yang sesuai dengan tubuhnya. Bergaya mengalahkan artis, kaca mata hitam tidak lekang darinya. Dari satu tempat ke satu tempat, dia tidak lokek bertegur sapa, berjenaka dengan sesiapa sahaja. Tak kira warga tua mahupun rakan seusianya, mulutnya petah berkata-katanya membuatkan orang senang dengannya.

Umurnya sudah tentu anda boleh jangka, pasti seusia kanak-kanak sekolah rendah. Kelibatnya dari mula, hingga tamat kenduri. Kemudian dia hadir berdekatan rumah pengantin dan tanpa segan silu dia terus menyapa aku untuk meminta goodie bag. Katanya dia adalah tetamu istimewa. Lantas aku mencapat satu goodie bag dan berikan kepadanya. Tapi dia minta lebih, mungkin sebiji dua lagi. Alasannya dia sakit, macam-macam penyakit ada.

Aku menyangka dia berjenaka seperti kanak-kanak lain. Cuma gurauannya sedikit berani. Aku berkata tidak, kerana wajar hanya satu goodie bag diperuntukan untuk seorang tetamu. Aku yang malas berfikir terus beredar dari situ, dan keletahnya dillihat terus dari jauh. Tertanya kepada diri sendiri, siapakah kanak-kanak ini? Mungkin anak kampung ini juga.

Beberapa minggu kemudian, ketika aku pulang ke kampung secara tidak sengaja aku bercerita tentang kanak-kanak ini kepada Maksu. Maksu bertanya, anak siapa? Aku nyatakan yang aku tidak mengenalinya tapi cara percakapannya seperti warga tempatan. Apabila gambar ini diajukan, terus Maksu berkata, "Oh budak ni, dia sakit. Dari kecik dah ada penyakit macam-macam. Sakit jantung, masalah buah pinggang, kencing manis pun ada. Tengoklah perut dia pun buncit. Dah meninggal dah baru-baru ni."

Aku terkejut! Terus aku rasa menyesal kerana tak percayakan kata-katanya dahulu. Mati-mati aku sangka dia bergurau. Kalau aku tahu, tentu aku berikan lagi satu atau dua goodie bag seperti yang dia minta. Kadang-kadang kita tidak menyangka perkara sebegini akan membuatkan kita diulit rasa bersalah dan menyesal. Maaflah, aku tak tahu. Kini sudah bertahun kisah ini berlalu. Al-Fatihah buat rohnya.

8 comments:

Anonymous said...

Aduhhhh, terus aku pon sedih jugak... tak leh nak lena dah. ishhh hg neh..(Ash)

SYED NAHAR said...

cite lama dah.. dia dah masuk syurga kot.. :)

missone hazel said...

pasni kena pikir dulu la sblum nk kata apa2,huhu

SYED NAHAR said...

kelak menyesal :) tapi kalau dah tak tahu nak buat mcm mana :(

Hustler said...

ajoooooo|~~~ Sangat sebak~~

SYED NAHAR said...

sebak? itu bukan resmi ko mawi. hehe..

Mama Miraki said...

opsss.....al fatihah untuk adik tu.....kesian...

SYED NAHAR said...

haah kak enab.. sian kan!