Tuesday, February 21, 2012

Alif & Dunia Kecilku

Tahun 2001, masa itu aku dan tingkatan 5. Sibuk nak SPM. Aku bukan jenis ulat buku mahupun ulat beluncas tapi aku tetap nak bawa balik buku ke asrama demi nak memuaskan hati. Tengok kawan-kawan lain bawa balik buku, aku jadi risau. Oleh itu aku pun jinjing juga buku kemudian diletakkan di atas katil dan tidur bersama-sama buku di sebelah sampai esok pagi.

Dalam dunia terumbang-ambing tu, kisah hidup aku diselit dengan kewujudan seorang kanak-kanak kecil yang bernama Alif. Budak ni rabun, pakai cermin mata. Muka dia memang 'innocent' oleh itu aku jadi tak kisah kalau dia nak tanya aku apa-apa. Aku bukannya jaguh asrama yang boleh bagi perlindungan selamat daripada kes buli sedangkan sejarah hitam aku di asrama dulu pun kerap dibuli terutama masa tingkatan 1. Aku pun tak tahu apa-apa dan aku bukan seorang yang suka memberi komitmen.

Tapi Alif ni lain. Dia pendiam, penakut dan baik hati. Kalau dia nampak aku, dia jalan laju-laju. Tapi kalau selisih mesti bagi salam. Macam aku tingkatan 1 dulu pun wajib bagi salam sebab terpaksa, biarlah sekadar 'kum bang!' atau 'semekom bang!' Agak dah lama aku perasan, akhirnya aku tegur dia. Rupanya Alif ni pelajar tahun lompat, umur muda setahun dari kawan-kawan yang lain di samping ada masalah belajar. Kalau tak silap dia menduduki tempat terakhir masa peperiksaan.

Aku cuba bertanya sedikit latar belakangnya. Kebanyakannya aku sudah lupa. Yang pasti, dia asal sama orang Perak juga. Dah lewat kenal, jadi baik la juga. Dia tak pernah belanja aku, aku pun sama juga tak pernah belanja dia pun. Katanya dia kagum aku dapat nombor 1 dalam kelas Waruna. Entah dari mana dia skodeng. Padahal waktu tu dia belum wujud di Seratas.

Kali terakhir bersama 'junior', aku sempat ambil gambar. Antaranya adalah gambar di atas, dia bagi 'peace' pada aku. Masa itu, radio dewan makan kuat kedengaran lagu Amy Mastura, Siapalah Aku. Ingatkan itulah yang terakhir, tiba-tiba Alif bagi aku satu hadiah yang berbalut cantik dengan kertas. Terkejut dan nak ketawa pula bila aku buka tengok frame gambar warna kuning keemasan, tertulis di belakangnya 'Good Luck' dan ada sepucuk surat yang seperti salinan biodata tentang dirinya. Sungguh kelakar tapi kanak-kanak di masa itu memang begitu cara penulisannya. Terima kasih banyak-banyak walaupun aku tidaklah 'lucky' sangat. Tak melayakkan aku untuk menjadi doktor atau apa-apa kerana aku bukan bercita-cita tinggi, sedangkan aku tak tahu hala tuju aku masa itu dan tiada yang pernah menerangkan pada aku pilihan hidup selepas SPM.

Lama peristiwa ini berlalu pergi, tanpa pernah lupa yang aku pernah mengenali Alif. Aku mengakui akan kelemahan aku yang seperti ambil mudah, tapi aku jujurnya tak pernah lupa sehinggalah pada suatu hari, baru-baru ini aku menerima ' friend request' di Facebook. Rupanya Alif masih mengingati aku.

Sekali lagi terima kasih. Masih ingat rupanya Alif pada aku. Aku pun 'accept', terus aku ketawa besar tanda aku masih ada memori silam yang turut sama dikongsi dengan orang lain. Sudah dewasa si Alif, banyak perubahan tapi aku masih dapat mengecam dirinya. Sungguh kecil dunia ini.

3 comments:

Mat Due said...

Way too cute syed

Anonymous said...

Scandal la tu

SYED NAHAR said...

... mat due ko kat mana tu??