Sebenarnya bagi sesiapa yang sudah biasa dengan Empangan Temenggor atau Tasik Banding, akan mengetahui banyak kisah-kisah misteri yang tidak terjangkau dek akal fikiran. Salah satunya; mengenai seekor gajah besar bernama Aduka yang pernah menjadi `pengawal’ di sekitar kawasan empangan tersebut.
Kewujudan Aduka (dijumpai sedang berkeliaran di Hutan Belum bersama sekeping tag/sticker tertindik di telinganya yang memaklumkan nama tuan asalnya - Aduka dari Siam), pada sekitar tahun 80an memang satu lagenda. Malah sebuah artikel lengkap dengan gambar Aduka dan penjaganya pernah disiarkan di Majalah Variasari tidak lama dulu - sebuah majalah hot ketika itu persis Majalah Mastika kini.
Gajah ini memang jinak pada penjaga atau pengasuhnya, iaitu salah seorang anggota sentri Unit Kawalan Kawasan (UKK) PDRM, yang mengawal di kawasan Empangan Temenggor (kawasan itu perlu dikawal 24 jam setiap hari memandangkan kepentingan empangan tersebut, tambahan ianya berada di garisan sempadan negara Thailand).
Sebaliknya Aduka akan bertindak ganas laksana seorang Panglima yang mempertahankan kawasannya dari dicerobohi gajah-gajah liar. Dengan tubuhnya yang gagah dan gadingnya yang besar, Aduka dapat mengurangkan kedatangan gajah-gajah lain yang sentiasa menakutkan pengguna jalanraya di kawasan itu (gajah-gajah ini sebenarnya suka tidur di atas jalan tar di waktu malam untuk memanaskan badan mereka).
Tidak susah hendak memelihara atau mengasuh Aduka ini. Menurut penjaganya, kebanyakkan masa Aduka akan berada dalam hutan untuk `meronda’ dan hanya muncul 2 atau 3 kali seminggu di kem sentri mencari penjaganya untuk diberi makanan berupa roti atau bijirin. Sekali-sekala, sewaktu diberikan nasi putih yang dicampur dengan pisang masak atau sejenis tumbuhan yang digelar tebu gajah, Aduka akan menari-nari macam gajah sarkas.
Tidak semua orang boleh mendekati Aduka meskipun ia jinak. Dan istimewanya ia seolah-olah memahami `duty roster’ anggota @ penjaganya itu. Hanya pada waktu penjaganya bertugas barulah Aduka akan mendekati kem sentri dan tidak ragu-ragu menonjolkan kelibatnya pada orang ramai. Tubuh Aduka hampir sebesar trak tentera. Seringkali Aduka muncul di jalanraya menuju ke Empangan Tasik Temenggor, yang mana ketika dahulu hanya digunakan oleh penduduk tempatan yang tinggal di situ sahaja. Kebanyakkannya dari masyarakat Orang Asli, yang tinggal di perkampungan Pos Kema yang dipantau oleh JHEOA.
Adakalanya pekerja-pekerja Jabatan Kerajaan seperti JBA, FELCRA, JKR, TNB, JHEOA, dan Anggota Keselamatan juga kerap berulang-alik ke sana. Mereka-mereka ini pada waktu tertentu akan terserempak dengan gajah-gajah atau binatang liar lain melintasi jalanraya berkenaan.
Biasanya, mereka yang kerap melalui kawasan ini sudah bersedia menghadapi keadaan demikian. Jika dihadang oleh binatang liar ini, terpaksalah mematikan enjin kenderaan dan berdiam diri sahaja sambil berdoa agar binatang itu cepat berlalu. Sulitnya, jika binatang liar tersebut tidak mahu berganjak, maka terpaksalah menanti dengan sabar dan tawakkal kepada Allah semata-mata. Sudahlah telefon bimbit belum wujud ketika itu, jalanrayanya jarang dilalui kenderaan lain memandangkan ianya hanya menghubungkan kawasan pendalaman tersebut sahaja.
Kadang-kadang Aduka sendiri yang menghalang laluan ini, sekiranya dia cuba memaklumkan terdapat sesuatu bahaya di hadapan. Misalnya terdapat kumpulan gajah liar yang melintas, atau bahaya lain yang hanya mampu dikesan oleh deria ke tujuh haiwan istimewa itu. Ini berdasarkan satu kejadian, di mana Aduka tidak membenarkan sebuah trak JBA yang melalui jalanraya itu dari bergerak ke mana-mana.
Sekumpulan pekerja JBA yang seramai lebih kurang lima ke enam orang, sebenarnya dalam perjalanan pulang dari Empangan Temenggor setelah selesai menjalankan tugas pemeriksaan di empangan itu. Mereka hanya mampu mendiamkan diri dan mematikan enjin kenderaan selama hampir lima jam di tengah jalanraya yang diselubungi hutan tebal dan jauh di pendalaman itu.
Mereka tidak mampu melakukan apa-apa selain akur dengan sikap Aduka ketika itu yang sedang berdiri hampir sama besar dengan trak mereka, dalam keadaan seperti resah-gelisah.
Dalam kegelapan malam, mereka dapati tubuh Aduka seperti keputih-putihan disinari cahaya bulan. Kemudiannya selepas Aduka mengundurkan diri semula ke dalam hutan tebal, mereka pun meneruskan perjalanan pulang.
Tidak berapa jauh dari tempat mereka 'ditahan' itu, kelihatan bekas pokok-pokok dirempuh di kiri-kanan jalanraya oleh sekawan gajah liar melintas. Lantas mereka dapat fahami tindakan Aduka sebelumnya itu. Mengapa Aduka tidak bertindak menghalau gajah liar itu? Mungkin jarak yang tidak mengizinkan Aduka berkejar ke sana, atau sememangnya Aduka sedar yang kumpulan gajah itu tidak menggangu dan sekadar mahu meneruskan perjalanan mereka yang tidak ketahuan tujuan dan arahnya.
Sebenarnya, memang banyak kisah-kisah menarik gajah Aduka sepanjang hayatnya di situ, malah ketika waktu matinya juga amat menarik untuk dikongsi atau mungkin terdapat hikmah di sebaliknya. Selain kisah Aduka, banyak lagi kisah misteri dan kisah pelik lain yang sering terjadi di Tasik Banding dan Empangan Temenggor. Misalnya, peristiwa Pihak Berkuasa mahu memindahkan perkampungan Orang Asli yang kini jauh tenggelam di dasar Tasik Banding, terjadi pelbagai peristiwa pelik dan aneh.
Malah kisah-kisah misteri sewaktu, sedang dan sesudah pembinaan Empangan Temenggor tersebut. Antara kisah atau insiden yang paling menyayatkan hati penulis, bahkan telah menggemparkan negara pada tahun 1988 - ialah tragedi kematian 21 orang masyarakat Orang Asli dari Sungai Siput, Perak yang karam dan lemas di Tasik Banding sewaktu berperahu menuju ke Pos Kema.
Mayat–mayat mangsa tersebut termasuklah seorang bayi yang masih melekat dalam dukungan ibunya, menjadi kembung dan mengembang telah dibawa ke Rumah Mayat Hospital Gerik yang kemudiannya diserbu wartawan dari merata pelusuk untuk membuat liputan secara langsung. Hampir seluruh penduduk Gerik juga mengerumuni Rumah Mayat itu untuk menyaksikan mayat-mayat tersebut, termasuk penulis sendiri yang masih kanak-kanak ketika itu.
**gambar dan karya asli oleh penulis : GDHP, mengisahkah tentang Aduka.
**kepada pembaca, artikel ini ditulis bukan saya tetapi seorang penulis yang menggelarkan diri sebagai GDHP dan salah seorang daripada mereka sedang menyiapkan komik tentang aduka.
6 comments:
cerita yg menarik untuk dikongsi.. aku pun pernah gak terserempak ngn GAJAH kat jalan situ.. siap amik gambar lagi.. agak menakutkan la jugak.. hahaha..
ko bercerita dah macam org asli bercerita pada wartawan la plak..
cit! org asli? hahahaha...
Aduka memang wujud di kwsn yg sedara sebut di dlm post awal sedara tetapi di kem tentera bukan kem UKK.Aduka telah mati beberapa tahun yg lalu akibat cedera dan lanjut usia.Bangkainya telah di awet dan di semadikan di muzium negara kalau tidak silap saya selepas dia 'dimatikan'.
Genial dispatch and this mail helped me alot in my college assignement. Say thank you you as your information.
Betul kata Oranglama. Kem Sri Aduka - 303 Batallion.
Pernah lepak ngan aduka.. kenangan manis..
Post a Comment