Friday, October 19, 2012

Kakcik Diganggu Lagi

Awal-awal pagi lagi telefon bilik hotel dah berbunyi. Kakcik kata orang tu suruh dia bersiap cepat sebab awal-awal pagi lagi sebelum mulakan sesi pemilihan, semua orang akan berkumpul di dewan dan sama-sama menyanyi lagu Negaraku. Kakcik kata bakal roommate dia tu sampai lambat sikit sebab dia datang terus dari rumah nenek dia. Alang-alang rumah nenek dia dekat situ, jadi dia bermalam dulu di situ kemudian baru bertolak ke hotel.

Kakcik lepas letak ganggang telefon, terus mandi, buat kopi dan lepas tu terus keluarkan semua borang siap stapler sekali dengan attchment. Senang, satu peserta dapat satu set, siap disusun cantik ke dalam fail. Kakcik kata banyak juga sebab peserta sahaja ada 200 orang, tetapi ada batch kedua yang datang sebaik sesi pertama habis, mungkin dalam 200 orang juga. Takut tak sempat, jadi dia buat sekali gus.


Tak lama lepas tu masuk je subuh, Kakcik terus pakai baju kurung, terus angkut satu persatu barang dan beg laptopnya ke dewa. 4 kali berulang-alik, lepas tu baru dia pergi breakfast di coffee house. Di situ makan pagi seawal 630 am. Jadi, sebelum orang ramai bersesak-sesak di barisan bufet lebih baik Kakcik makan dulu. Tapi Kakcik perasan ada 3 orang pegawai polis di lobi hotel, mungkin bertugas dan singgah di situ tetapi lengkap dengan uniform. Ditenung lama-lama ke luar, nampak Land Rover warna biru di luar. Ramai pula polis dan petugas lain mengkerumi kenderaan biru tu.

Selesai makan, Kakcik terus ke dewan untuk membuat trouble-shooting, mana tahu kalau projector rosak atau sambungan wayar tak betul. Tak pun slides presentation masih ada nak perbaiki masih sempat. Sedang khusyuk Kakcik buat kerja, petugas lain pun ramai dah tiba. Suasana pun makin bising. Seorang pelayan hotel datang menghampiri Kakcik memberitahu ada pesanan dan barang untuk Kakcik. Sama ada Kakcik nak ambil sekarang atau nak dihantar ke bilik hotel. Kakcik malas nak fikir, terus cakap bilik hotel sahaja.

Dalam ramai-ramai petugas, Kakcik pun sibuk dengan presentation. Lepas habis presentation Kakcik juga nak edarkan borang untuk setiap calon isi segala maklumat latar belakang. Kakcik tak tenang hati sebab laptopnya ada masalah iaitu bateri cepat habis. Kadang kala walaupun sudah disambung ke soket tapi masih tetap bateri tak dicas. Mungkin adaptor dan longgar, ketuk-ketuk sikit lepas tu ikon bateri pun tunjuk proses cas berjalan. Tapi kena selalu pantau, kadang-kadang dia boleh berhenti sendiri.

Masa berlalu dengan cepat, dua sesi pemilihan calon untuk program khas kementerian dah habis berjalan dengan lancar, esok pula untuk sambung sesi ketiga tetapi hanya satu sesi sahaja. Petang dah boleh mula berkemas pulang. Kakcik orang pertama yang masuk ke dewan, Kakcik juga yang terakhir keluar, jadi segala suis lampu semua perlu dipastikan sudah ditutup. Tekan sahaja punat 6, terus lif membawa Kakcik ke atas, buka sahaja lif terus masuk ke bilik dan terus lelapkan mata sebentar. Kakcik tengok katil sebelah roommatenya dah lama berbuai mimpi, berselubung dalam selimut hotek yang putih gebu. 

Kakcik pun rebah sahaja ke atas katil, tudung belum dibuka tetapi mata lebih awal tertutup rapat. Malam itu juga amat sejuk, padanlah bilik hotel tidak menyediakan perkhidmatan pendingin hawa. Angin bertiup perlahan masuk dari tingkap. 

Seperti semalam, sekali lagi telefon bilik hotel berbunyi. Kakcik menyangka penyelia hotel tetapi hanya diam sahaja tanpa suara. Kakcik terus meletakkan telefon itu dan dipandangnya jam tepat jam 4 pagi. Selang 2 minit, telefon itu sekali lagi berdering dan sekali lagi tiada suara yang bercakap. Kakcik hairan, terus tanpa berfikir panjang Kakcik teringatkan barang dan pesanan yang diterima siang tadi, katanya dihantar terus ke bilik hotel tapi di mana pula? 

Kakcik terpandang di meja solek, ada dulang yang berisi gelas, sudu kecil, paket gula dan kopi serta uncang teh. Di tepinya ada sampul surat yang tebal berisi sesuatu di dalamnya. Diambil lantas dibuka, di dalamnya ada borang, ada 3 helai kain kapas putih yang dipotong petak sama saiz serta tali rafia. Kakcik berasa amat panik. Kemudian sekali lagi telefon berdering.

Kakcik berasa sungguh serba salah tetapi tetap Kakcik paksa dengan kuat semangat untuk menjawab panggilan. Sebaik ganggang diletakkan ke cuping telinga, ada suara wanita yang halus menyuruhnya untuk membuka pintu. Kakcik terus meletakkan telefon. Terus Kakcik pergi ke tingkap dan melihat ke bawah, ada dua orang lelaki sedang berbual sambil menghisap rokok. Kakcik dapat mendengar perbualan mereka.

Alangkah terkejutnya Kakcik apabila mendengar bahawa ada petugas yang telah mati dalam kemalangan menuju ke hotel itu. Kakcik membayangkan roommatenya yang dikhabarkan melalui email akan ke situ sesusah pagi. Darah cepat mengalir terus ke muka, Kakcik berasa sungguh takut dan kali ini Kakcik langsung tidak menoleh ke belakang, ke arah katil roommatenya.

Tiba-tiba pintu bilik diketuk kuat. Kakcik terus berdebar. Hanya suara halus wanita yang persis seperti  yang membuat panggilan tadi. Kakcik kini bertambah panik. Dicampaknya bungkusan sampul surat tadi ke luar tingkap. Kakcik perlahan-lahan duduk di katilnya dan terus merebahkan tubuhnya. Mata hanya terpejam, perlahan-lahan selimut ditarik. Kakcik hanya berdoa agar cahaya matahari segera menjengah.

Dalam ketakutan, Kakcik mendengar pintu biliknya dibuka. Kunci diputar, dan kedengaran engsel daun pintu bergesel. Kakcik makin panik. Kakcik tidak dapat membayangkan sekujur tubuh yang tidur di katil sebelah. Kakcik membuka kelopak mata, dilihat di atas terdapat bungkusan putih, berkepul-kepul. Terdapat banyak sekali juraian kain putih yang beralun-alun ditiup angin. Kakcik makin panik.

Kakcik merasakan kakinya disentuh, Kakcik terus pejamkan matanya. Tiba-tiba ada suara yang membisik ke telinganya, menyebut, "ooo.. di sini kamu tidur ya, puas aku mencari kamu!" Kakcik terus menjerit sekuat hatinya menyebut "pergi!!!! Kau dah mati kenapa nak ganggu hidup aku lagi?? Pergi!!!"

"Perempuan, kau bermimpi!" Tiba-tiba Kakcik tersentak. Kakcik menampar pipinya. Sekali lagi Kakcik menjerit. Kakcik makin panik kerana dia benar-benar tidak bermimpi. "Perempuan! Aku cekik kau nanti. Sebabkan kau aku tak dapat tidur."

Kakcik menjawab, "Pergi! Aku tak mahu engkau ganggu aku! Aku tak kenal engkau!"

"Siapa yang kenal engkau? Aku pekerja di sini. Siapa suruh kamu tidur di bilik dobi ni? Kau tak nampak kawan aku di katil sebelah ni, dia staff di sini. Sama-sama dengan aku dari Acheh bekerja di sini. Barang kali engkau ni sudah gila."

Kakcik terus memandang ke kiri, dilihatnya tercegat wanita berabut kerinting sedang memerhatikannya. Terus Kakcik mengucap berkali-kali. Lantas Kakcik bertanya, "Maaflah, saya takut. Tadi saya dengar roommate saya dah mati. Mati accident."

"Kamu tidur dengan laki-laki? Yang mati itu petugas laki-laki, orang India. Dari tadi kamar Puan ada panggilan katanya seorang perempuan mencari roommatenya tak pulang sejak petang dari dewan acara. Puas kami cari Puan sepatutnya di kamar 609 tapi ini bilik dobi. Tak nampak penuh iron board dengan seterika di situ. Yang bergantung-gantung ini semua pakaian tetamu hotel dan sarung bantal yang sudah dibasuh. Putih bersih cuciannya. Ini tingkat 3, bukan tingkat 6!"

3 comments:

missone hazel said...

hahahaha.gila cuak!

SYED NAHAR said...

ko baca salah nada ni haha..

Anonymous said...

dub dig dug ..berdebar2 aku bc cerita ni
last2 aku senyum sorg2....