Hilang perginya bukan lenyap ditelan arus masa. Hilang cuma tiada di depan mata. Jasad empat dimensi boleh berubah bentuk asal kejadian, kerana masa tak pernah henti berdetik. Hanya ia berubah menjadi lebih kasar dan rapuh. Di sini kekuatan hanya bersemadi dalam ingatan.
Apabila berlaku kehilangan, yang terlintas di hati hanya untuk mendapatkan. Apalah gunanya jika ia bukan lagi milik kita. Perginya walau rela meskipun terpaksa bukan diletak di tangan kita walaupun kehilangan itu tetap dirasai. Sekali lagi peranan perasaan bermain sendirinya. Tanpa perasaan itu, sesuatu kehilangan tidak dapat diabadikan sebagai kenangan.
Manusia cukup takut untuk kehilangan apa yang disayangi. Ibarat menyumbang derma, kita sedaya upaya memilih milikan yang dirasakan paling ringan untuk diberi. Akan tetapi, memberi apa yang paling disayangi itu adalah paling mulia selagi kita masih ikhlas melakukannya. Adat manusia, perginya sesuatu yang disayangi diibaratkan sebagai suatu kehilangan.
Dekat tapi jauh, ada dalam tiada, ini indikasi kehilangan tanpa disedari. Senandung irama berputar melirik bait lagu berjiwa kosong namun tetap ianya melodi malam ini. Alunan halus menyelinap masuk, turun ke hati menggamit perasaan. Senandung hati, cerita rindu satu malam.
Indahnya kelopak sayap kupu-kupu yang berwarna warni. Terbang di udara memikat setiap yang memandang. Kupu-kupu berdiri tegak di atas sehelai daun nipis walau diterpa angin. Nyata indah memukau hanya pada paras, hanya mata menilai dan tika itu hati ditembusi panahan. Walhal kita lupa untuk menyentuhnya dengan reseptor jemari. Yang indah hanya sementara, ia cuma kupu-kupu kertas.
No comments:
Post a Comment