Wednesday, June 6, 2012

Diari Merah

Masuk sahaja bulan Jun, rasanya separuh dari tahun ini sudah berlalu dan di bulan Jun juga kita akan melihat kembali jendela sejarah hidup kita sama ada suka atau tidak. Permulaan tahun 2012 bagaikan tiada apa-apa buat aku, sehingga aku sendiri leka akan kemeriahan bunga api.

Tahun ini aku tidak menulis diari seperti tahun-tahun lalu. Jika dibandingkan kehidupan lampau di India, aku menulis setiap hari. Sebelum lena, aku pasti rindukan buku kulit emas dan melakar tulisan ke atasnya dirasakan suatu kerinduan bagaikan jiwa keduaku.

Kini, amalan itu beransur pergi tetapi bulan April menjemput pengalaman itu datang kembali. Kini buku kulit merah menjadi penggantinya. Rasanya jiwa itu hadir kembali setelah pelbagai peristiwa yang mendewasakan dirasakan tidak mahu dilupakan begitu sahaja. Namun catatan kali ini cukup ringkas, sekadar menandakan tarikh serta simbol dan bait kata yang hanya aku seorang sahaja yang bisa memahami erti  katanya.

Bulan Februari cukup kosong, tiada titipan mahupun harapan. Hadirnya Mac sekadar laluan serupa, tiada istimewanya. Tetapi keindahan kembali menerpa tatkala April menjelma. Berterusan hingga May, namun kian terpalit noda. Mungkin ini peringatan buat diriku, bahawa dunia tidak pernah bertolak ansur, sama sekali untuk memberi ruang lega yang lama. Kini Jun bagaikan penentunya.


Jun, berdebar-debar menanti sambil mengharap sesuatu yang belum pasti. Janji manis mudah terlarut dalam penantian kemudian sebati lalu membentuk ikatan kompleks yang masih boleh diuraikan. Salah mengharap, sebatian pekat bisa bertindak menghakis, sebatian cair berketelapan memilih. Bulan Jun adalah bulan getir, bukan sahaja individu malah yang lain. Tidak lari gunung dikejar.

Buatmu Jun, usahlah bertindak kejam kepadaku. Harapan masih ada, cuma hati sering kali menafikan segalanya. Mungkin ini adalah noktah akhir dalam pengisian buku kulit merah, tulisannya juga merah. Selamat malam buku kulit merah, aku tidak akan pernah berhenti merindukanmu. Jumpa lagi.


No comments: