Thursday, September 15, 2011

Kekabu Putih


Aku berdiri mengadap suatu luas pemandangan segar. Indah warnanya menyeliputi setiap isi alam. Sehembus bayu menderu masuk ke rongga jiwa, ada kekosongan yang telah lama terbiar. Rongga ini masih kosong sehingga kini. Teduh pohon kekabu putih membayangi aku dari cahaya mentari.

Inilah pertama kali aku sendiri menjejak kaki ke Pantai Teluk Batik. Tidak seistimewa pantai-pantai lain, pantainya biasa sahaja. Namun setelah aku pejamkan mata, aku membayangkan betapa indahnya jika aku berdiri di sini 18 tahun yang lalu. Cukup lama tapi ia pantas berlalu.

Aku pernah mengorbankan hasrat untuk ke sini sewaktu kecil hanya kerana sebentuk alat muzik. Minda anak kecil yang masih mentah tidak dapat membezakan nikmat hidup diri. Belum sedar ada kekosongan yang perlu diisi.

Merajuk dan tagih dipujuk, aku membawa diri untuk tinggal sebentar di rumah kayu Tok Nan. Bermalam dalam kelambu dengan diterangi lampu tidur hijau, beralun dengkuran warga tua silih berganti dengan batuk-batuk Nenek Rahmah.

Aku cekal memilih untuk tidak bersama yang lain di Teluk Batik, hanya kerana rajukan yang tidak dipujuk. Malam yang tidak bermimpi, seram kelambu yang usang nan kelabu. Menghitung masa agar lekas berlalu. Dalam hati bertanya, mengapa aku di sini, bukan di situ.

Kenangan ini pantas berlalu. Kini Tok Nan sudah lama pergi. Wajah tuanya, garangnya dia, lokek tapi dia tahu aku punya hati kecil. Tok Nan mengajar aku mengaji, seketika cuma. Tidak sampai suku, dia pergi dan aku terus berhenti dari membaca. Wajar aku buta tajwid, di mana harakat di mana tasdiq.

Kini di Teluk Batik, aku berdiri mengadap luas bentang pemandangan. Di bawah pohon kekabu putih ini aku dipayungi. Aku sedar kekosongan itu masih seperti dulu. Aku melihat putih kekabu terbang ditiup bayu telah membawa aku ke sini yang sepatutnya 18 tahun dulu sudah berlaku. Jika dulu ia sekadar mimpi tapi kini realiti berlaku.




Apabila pengalaman mimpi bertukar realiti, tentu kita sedar akan pernah kehadirannya dulu tapi tiada makna apa-apa, sekadar jauh di dalam hati deras tertanya-tanya, mengapakah ia?
-Precognitive Dream.

2 comments:

Anonymous said...

syahdu!

SYED NAHAR said...

syahdu apa? angin laut sejuk? hehe..