Sunday, January 26, 2014

Jasli

Dalam semua ahli Gang Lanun, aku paling segan dengan Abang Jas. Sebelum kenal dengan dia, orang kata dia ni sangat teliti, orang yang dia tak kenal memang dia tak akan tegur, tambahan lagi kalau dia tak berkenan. Jadi bila tahu dia adalah sebahagian Gang Lanun, kalau dia bercakap aku tak berani menyampuk.

Apabila dia lintas di depan, boleh nampak rambut dia disikat kemas, hitam berkilat disapu gel, tak pernah nampak serabai. Kasut dia yang muncung panjang hitam sama berkilat, kalau tersepak kaki aku mahu berdarah menitik ke lantai. Orangnya tubuh sihat, tak mencerminkan umur sebenarnya. Kalau sekali imbas, memang aku bayangkan dia sebaya aku. Padahal Abang Jas lahir pada tahun 1967.

Di meja Abang Jas, jangankan sampah, seketul habuk pun susah nak nampak. Tak percaya? Lap dengan tangan tengok, pasti licin bersih. Kemas mejanya. Apatah lagi keretanya, siap ada kotak khas untuk letak kasut, barangan sukan dan sebagainya. Menurut teman rapat, air sejuk dalam gelas tentu akan ada wap air yang meleleh, namun tak akan pernah berpeluang jatuh menitik di atas mejanya. 

Beberapa bulan kenal, barulah aku berani bercakap dengan Abang Jas. Dulunya aku hanya dengar, dan berani menyampuk. Pernah aku terserempak di Taman Metropolitan Kepong semasa berlari keliling tasik, dia seakan tak nampak aku. Abang Jas lari melurus, tak pandang kiri kanan. Tapi sewaktu majlis berbula puasa tahun 2013 di rumah Kak Zal, aku dapat tahu Abang Jas tak boleh makan makanan yang biasa. Katanya ada masalah dalam perut, jadi Kak Zal masakkan bubur nasi istimewa yang terus menjadi menu utama malam tu.Teringat lagi malam tu bersama Kak Akashah, kami mencari ubat Habbatus Sauda tapi tak jumpa.

Abang Jas yang sebelah kanan ni.

Abang Jas memang nampak sihat, badan dia langsung tak mencerminkan dia menyimpan sakit. Sehinggalah suatu ketika dia kerap cuti dan khabarnya dia dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Aku menjangkakan keadaannya tidak serius sebab sepanjang aku melihat dia, dia memang sihat. Kawannya juga ada memberitahu Abang Jas adalah pelatih di sebuah gimnasium. Aku tak pasti, tetapi aku pernah melihat dia bersukan di gimnasium di pejabat beberapa kali.

Sehinggalah di suatu hari, aku nampak Abang Jas sedikit kurus di pejabat. Tapi bila bersemuka, dia nampak bersahaja, masih boleh berjenaka. Kami satu kumpulan bermain wang kutu. Waktu itu sudah tiada sempadan nak bergurau senda, kalau ada berita terkini langsung sahaja dail nombor interkom terus berbual dengannya. 

Berita menggemparkan Abang Jas masuk wad kecemasan di Hospital Sungai Buloh. Aku berasa sungguh hairan, dan tidak menyangka. Khabarnya sudah empat hari, namun pada 10 November aku bersama Kak Haniza mengambil peluang untuk melawatnya di wad 4C. Keadaan nampak terkawal, Abang Jas masih boleh senyum dan bersenda gurau. Waktu itu Abang Jas menunjukkan hadiah telefon pintar baru hadiah daripada abangnya yang bekerja di London. Aku memuat naik aplikasi Whatsapp untuk Abang Jas, lantas kami boleh berbual, bertanya khabar dan menjadi medium perantara untuk Gang Lanun. Abang Jas pesan supaya datang melawatnya lagi, katanya sangat bosan di wad tiada hiburan.

Selepas bercuti dari Bali, aku ada menelefon Kak Haniza bertanyakan pasal Abang Jas. Katanya belum keluar dari wad, dan tiada khabaran terkini. Pada 22 November, aku dan Kak Haniza sekali lagi pergi melawat Abang Jas. Kali ini, aku benar-benar terkejut. Abang Jas nampak sangat kurus, dan dia memakai alat bantuan pernafasan seperti pesakit lelah. Kak Haniza kelihatan sangat risau, kami hampir tidak mengenali Abang Jas. Abang Jas nampak letih, sesekali melihat Abang Jas bernafas, perutnya turun naik mengepam udara bagaikan dipaksa. Berat mata memandang, berat lagi mahu memikul. Ketika ini, kakak Abang Jas ada di tepinya, sesekali kakaknya mengalirkan air mata tatkala kami memberi semangat untuk melihat Abang Jas kembali sembuh. Sebelum sempat kami pulang, Abang Jas membuat permintaan untuk membelikannya ayam panggang Kenny Rogers.

Pada 26 November, aku menerima mesej pesanan ringkas dari Shahrunnizar akan keadaan Abang Jas makin menurun. Katanya, paru-paru yang sudah dijangkiti kuman itu kini telah berfungus. Esoknya, selepas menyiapkan segala dokumen sebelum hari terakhir aku di AlloyMtd, aku bersama Kak Akashah, Kak Fifi dan Kak Zal pergi melawat Abang Jas. Kali ini, ramai rakan pejabat hadir, tapi Abang Jas sudah tidak sedarkan diri. Doktor memberikannya sejenis ubat yang kuat supaya Abang Jas berada dalam keadaan tidur. Seorang demi seorang diberikan masa pergi berbisik ke telinga Abang Jas untuk berkata sesuatu. Aku dapat mendengar tangisan kakaknya, dan setiap yang keluar dari situ ada yang basah pipinya kerana menahan sebak.

Pada 30 November 2013, tepat jam 4.32 pagi Abang Jas telah disahkan meninggal dunia. Mesej ringkas daripada Che Suriani membuatkan ramai ahli Gang Lanun bagaikan tidak dapat menerima khabaran berita ini. Aku bersama kawan lain mengambil kesempatan menziarahi Abang Jas buat kali terakhir di pengebumiannya di tanah perkuburan Kampung Semilang, Jeram, Selangor. Semoga roh arwah Jasli Bin Haron dicucuri rahmat. Gang Lanun amat merindui Abang Jas, Al-Fatihah.