Patah tumbuh hilang berganti, resmi hidup yang tipikal untuk sesuatu kehidupan. Dahan yang patah tak dapat dicari ganti, namun yang tumbuh menjadi pengganti namun tidak sama dengan dahan induk, mungkin menjadi cacat dan tidak diperlukan lagi. Mujur pokok tidak mempunyai hati.
Kekuatan bukan datang dari sokongan luar. Ditahan, dipasang tupang mahupun dipegang, tanpa keazaman dan iltizam yang tinggi, kekuatan tidak akan hadir malah akan mengundang kekecewaan yang akan menjadi parut seumur hidup. Memandang jauh merenung masa depan, tanpa kekuatan seutuh mana kubu pertahanan, akhirnya runtuh menyembah bumi. Namun dengan kekuatan, senibina lama dikenang sampai hari ini, disanjung walaupun sejarah silamnya adalah derita.
Aku percaya, semua manusia mempunyai kekuatan, disamping kelemahan. Kelemahan menjadi pemacu kekuatan dalam menentukan pilihan. Tidak salah untuk memilih kebahagiaan diri. Diri kita tahu di mana letaknya bahagia, yang sementara atau berpanjangan mahupun yang hakiki. Kekuatan juga mampu menjadikan sebuah peluang sebagai satu perubahan.
Hari ini, aku berdiri memandang jauh menerusi jendela pagi, ditemani semangat diri yang yakin dan percaya kekuatan itu ada, mengalir dalam setiap titis darah dalam tubuh manusia. Hanya kita yang tahu apa yg kita mahukan, bukan takut dengan kisah silam yang menjadi bayang mengantui hari-hari mendatang. Kuatkanlah dirimu, kerana kekuatan itu menjadi nadi kebahagiaan, dan di situ bakal bermulanya sebuah kehidupan. Kuatkanlah dirimu kerana ada insan yang bergantung harap atas kekuatanmu itu.
No comments:
Post a Comment