Terdapat pelbagai reaksi, ada yang menangis berlinangan air mata, berjujuran tanpa henti. Ada yang tenang, senang dan bersahaja namun apabila ditanya hanya anggukan atau gelengan kepala sebagai jawapannya. Ada yang kaget, meliar matanya mencari ibu yang mungkin merenung di mana-mana sudut tingkap bilik darjah.
Hari pertama persekolahan sememangnya menuntut ibu bapa untuk turut sama hadir ke sekolah, tunggu dari mula hingga akhir loceng sekolah berbunyi. Namun itulah upaya pendokong kejayaan anaknya yang mungkin suatu hari nanti bakap menjadi seorang peguam, tentera udara, peniaga pasar malam mahupun juruwang restoran makanan segera.
Di mana posisiku ketika itu? Mungkin kerana dibesarkan di dalam keluarga yang besar bilangan adik-beradik jadi aku harus hanya tempuh hari-hari ini dengan sekuat hati, kerana itu sahaja pilihan aku. Guru kelas, Puan Zainoor Aini. Tubuhnya besar, persis seorang ibu biasa cuma dia seorang guru oleh itu harus bergaya lebih sedikit berbanding suri rumah kampung.
Aku berada di dalam kelas yang dimuatkan 52 orang pelajar. Kerusi panjang yang sama seperti di kantin, kami duduk bersama bersebelahan. Aku melihat ada yang masih belum bisa memegang pensel dengan sebetulnya. Ada yang dari awal melihat muka aku, ya aku hodoh tapi kamu sememangnya berbau kuah laksa, comot bajunya dengan gigi hitam rongak di mana ada.
Kringgg!! Semua yang berada seisi kelas terus meluru lari keluar menemui ibu dan bapa masing-masing. Aku ke belakang, mengambil bekas makanan dan berjalan keluar, sambil meneguk sisa air teh yang sudah dingin-dingin rasanya. Tapi aku merasakan suatu jarak yang amat besar, yang memisahkan aku dengak keriangan kanak-kanak lain.
Aku sedar, kekurangan ini harus aku lawan, supaya standing dengan yang lain. Apa yang membuatkan aku berfikir gaya dewasa, lupakan seketika. Lihatlah banyaknya buah belimbing besi yang kekuningan, pokoknya hanya beberapa langkah dari kelas 1 Merah. Ayuh baling apa-apa yang ada, supaya buhanya jatuh ke tanah, kemudian dibasuh dan boleh merasa manis atau kelat, dibuat sebagai makanan sambil berjalan pulang. Rumah tidak jauh, tapi aku memilih untuk melalui jalan pintas, merentasi belukar dan rimbunan perdu buluh yang membuatkan tanahnya gelap dan lembap, serta sesuai untuk pembiakan binatang berbisa.
Menggendong beg besar, yang labuhnya sampai ke paras lutut, aku masih mampu meneruskan perjalanan. Di kepalaku hanya ada beberapa agenda, mahu mempunyai getah pemadam berbau strawberi, mahu beritahu emak bahawa baju abangku ini besar sangat, kurang selesa dan jangan lupa pesanan dari cikgu bawa berus gigi. Esok ada jururawat akan mengajar teknik penjagaan gigi yang sempurna. Siapa lupa, akan diberi daun lalang untuk memberus gigi. Takut juga! Tapi ketakutan yang paling besar bagi aku adalah setiap kali berapa dalam kelas Bahasa Melayu, kerana aku masih tidak tahu mengeja, kerana aku tidak ke sekolah tadika.
2 comments:
kerusi kelas gune kerusi panjang mcm kantin. ?? Sedihmyeee...
awat skolah hang pakai kerusi plastik ke??
Post a Comment