Saturday, August 27, 2011

Kronologi Sebuah Kemalangan

Tengah hari, sangat panas. Masuk sahaja dalam kereta terus pasang penyaman udara skala tiga. Badan masih penat mengenangkan baru sahaja malam tadi tiba di rumah sepulangnya dari kampung, kerana nenek baru sahaja meninggal dunia.

Sebaik brek tangan dijatuhkan, kereta dipandu keluar dari kawasan meletak kenderaan Masjid Saidina Hamzah di Kampung Batu Muda. Kereta dipandu perlahan-lahan, terus menempuh kesesakan sehingga terpaksa meluru jalan alternatif bagi memendekkan jarak masa.

Telefon bimbit berdering, terasa amat tertanya-tanya siapa yang membuat panggilan. Setelah dijawab, rupanya Ciha Asmal Baderi memaklum bahawa kakak Suhana telah meninggal dunia malam tadi akibat kemalangan jalan raya di Kuantan. Terbayang wajah suaminya Encik Rohaizi dan anak-anak mereka yang masih kecil dan comel belaka.

Ternyata anak-anak mereka amat comel. Sewaktu di New Delhi aku sendiri pernah mendukung bayi mereka berlegar di tepi padang dalam kawasan Pejabat Pesuruhanjaya. Kakak Suhana tidak lokek berkongsi resipi memasak, katanya jika terkenangkan mi goreng gantikan sahaja dengan spagetti. Rasanya enak sama seperti mi kuning di Malaysia. Selain itu, kami berkongsi idea tentang keenakan sambal tumis sama ada ditambah belacan atau tidak.

Namun kenangan ini terpahat sehingga ke hari ini. Tetapi Kakak Suhana lebih awal pergi. Perkhabaran oleh Ciha ini membuatkan aku terdiam sebentar. Kaku dan terfikir untuk memanjangkannya kepada Encik Zulkifli dan Encik Anuar Abdul. Tetapi, sejurus melepasi simpang empat lampu isyarat, aku gagal mengelak.

Memang tiada peluang mengelak. Jika lencong ke kiri nescaya bergesel dengan kenderaan lain yang searah kerana aliran kenderaan adalah di waktu puncak. Lewat menekan brek, kereta Kia Rio yang dipandu berdentum melanggar sebuah Mercedes yang cuai membelok melintang arah. Hanya bunyi rapuhnya logam, justeru air dari radiator Mercedes mengalir keluar membasahi turapan jalan.

Kereta aku remuk, pecah lampunya. Hati aku luluh memandangkan lagi 3 hari menyambut Ramadhan, tiada persiapan yang dibuat setakat itu. Sepantas biasa "longkai" tiba dan terus membawa kereta pergi. Selebihnya perbincangan dilakukan di Balai Polis Kepong, dan pemandu Mercedes dipersalahkan atas kecuaiannya.

Empat minggu tanpa kereta, cukup perit melintas jalan MRR2 untuk mendapatkan teksi. Biarpun ada yang mempelawa, aku lebih senang untuk tidak menyusahkan sesiapa tetapi jauh di hati kecil ini amat menghargainya. Berita ini tersebar cepat, jika ditanya puncanya, amat subjektif dan biarkan pihak berkuasa menentukannya.

Tanpa kereta aku berbuka puasa dengan air kotak Milo, berjalan kaki jauh dari simpang Sentul Pasar ke Sentul Utama. Laluan paling getir apabila hujan turun, disahut anjing berkeliaran serta dahaga air berjalan kaki di bawah panas mentari. Redha dan syukur untuk menerapkan kekuatan mental diri ini supaya tidak lekas mengalah.


29 July 2011,
Jalan Batu Muda-Sentul.


4 comments:

missone hazel said...

TAKZIAH...TAPI KIA RIO DAH OK KAN?

SYED NAHAR said...

dah okay, tapi tak fully ok. stakat nak drive bleh la tapi ada mcm lampu bawah tu dia blum pasang lagi..

Anonymous said...

bersyukur la...xcedera apa pun...kereta bleh dibaiki...tp kalo nyawa? hehehheh..tp kalo aku pun frust gak...sayang ooo keta...x ada, bleh patah kaki...hehehhe..tambah2 aku yg keja kat kg ni..mana nk cari lrt, bas and taxi? merempit la jwbnya..


sir..

SYED NAHAR said...

rempit2 ni aku riso..everytime naik moto aku seriau! hehehe..