Showing posts with label kisah larut malam. Show all posts
Showing posts with label kisah larut malam. Show all posts

Tuesday, December 27, 2011

Ladang Bikam


Hari itu hari selasa. Bulan tak nampak, jalan raya gelap tanpa cahaya lampu jalan. Mata semakin layu, dan hati menjadi sayu apabila deejay radio memutarkan lagu dari kumpulan Scoin. Lantas tangan menekan-nekan punat radio untuk menukar siaran. Tiba siaran Hitz.fm terus volume dinaikkan. Sesekali bas meluru laju memotong, bagai nak gugur jantung dibuatnya. Tingkap tidak perlu ditutup kerana angin malam sudah cukup nyaman menerpa badan.

Memandu di lebuh raya, jalan lurus memanjang dan tiada halangan apa-apa terus memaksa mulut tiba-tiba menguap luas. Dilihat papan tanda masih beratus kilometer menuju Kuala Lumpur. Alangkah enaknya jika ada teman disebelah, namun apakan daya memandu berseorangan hanya ditemani suara deejay radio. Melepasi laluan Gopeng-Tapah, siaran radio sering terganggu.

Melepasi satu demi satu hentian R&R, namun niat di hati mahu lekas tiba di Kuala Lumpur kerana esok hari bekerja, perlu masuk ke pejabat. Tetapi kuasa mengantuk menewaskan segalanya, nampak sahaja papan tanda R&R Ladang Bikam, terus sahaja lampu signal diberikan lalu menyusur masuk kiri.

Keadaan sunyi dan sepi. Hari selasa, bukan hari ahad. Di Hujung sekali nampak deretan lori yang berhenti. Kereta terus dipandu merapati sebuah van yang bewarna putih dan terus masuk parkir bersebelahan. Cermin tingkap dinaikkan, penyandar diturunkan, enjin dimatikan dan terus badan direbahkan ke atasnya. Sepantas tutupnya kelopak mata, terus lelap tanpa mimpi.

Dua puluh minit berlalu, keadaan semakin panas. Tidur yang terganggu akhirnya memaksa kelopak mata dibuka. Bayangan van putih masih ada disebelah. Lantas memberanikan diri untuk mengiringkan tubuh mengadap dinding van putih yang samar-samar disuluh lampu jalan. Hati terpinga-pinga memikirkan sama ada pemandu van ini tentunya berehat sebentar menghilangkan lelah. Namun tiada kelibat pemandunya dilihat. Bukan masalah besar, sambil memaksa mata untuk lelap kali kedua, hati tiba-tiba berdebar melihat sisi cermin luas van putih ini, ada tulisan Cina.

Sambil mengurut perlahan bahagian belakang, perlahan-lahan badan ditegakkan. Dipusingkan kepada ke sebelah kiri, nampak deretan pohon besar tanpa ada kereta lain yang diparkir. Dipusingkan pula kepala ke kanan, kembali ke kiri dan akhirnya ke kanan semula. Namun tolehan kali ini berbeza sekali. Kelopak mata dibuka seluasnya, melihat tajam masuk menerusi cermin luas van itu, terdapat sebuah bongkah bersegi terisi di dalamnya.


Setelah diamati, bagaikan tidak percaya van putih ini sebenarnya membawa muatan berupa sebuah keranda yang didalamnya terdapat sekujur tubuh mayat. Keranda itu sepertinya diperbuat dari kayu yang divarnis namun di bahagian atas terdapat bukaan atau strukturnya ditutup dengan kaca lutsinar lantas memperlihatkan wajah kecut mayat itu yang pucat lesu. Tiba-tiba jantung berdebar kencang lantas tangan meraba-meraba kunci untuk menghidupkan enjin, dan terus beredar dari situ.

Friday, January 14, 2011

Menguji Kehadiran Jin

Jika anda takut melihat orang yang dirasuk makhluk halus, apakah anda yakin dalam diri anda bebas dari makhluk halus? Saya berpeluang menemubual dengan seorang tua yang mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia alam ghaib. Kita perlu bermula dari mengamalkan pencegahan kerana mencegah itu lebih baik dari merawat.

Macam mana nak tahu? Baiklah, ambil sebiji limau nipis, potong sehiris dan perah 4 titik jus ke atas lidah anda. Lakukan di waktu malam tika masuk tidur. Jika anda didatangi mimpi yang buruk, itu mungkin member petanda bahawa terdapat makhluk halus seperti jin yang sudah mula bertempat dan mengalir dalam urat darah anda. Berjumpalah dengan yang pakar untuk pengubatan yang selanjutnya.

Yang satu ni jangan tiru, bahaya! Bukan apa, takut betul-betul terjadi. Menurut beliau, limau nipis ini sangat tajam. Jadi, menurut beliau juga, jika anda ingin melihat hantu, perah limau nipis di lokasi kejadian maut. Tak kiralah sama ada lokasi kemalangan jalan raya, orang bunuh diri atau sebagainya. Selepas diperah, tunggulah. Di malam hari nanti akan ada penampakan sosok ghaib di situ. Mahu mencuba?

**Projek di Delhi dulu, ada beberapa kejadian maut berlaku, antaranya jatuh semasa kerja-kerja pemasangan I-beam dan mould besi. Tapi budaya India yang kita tahu kurang mengaitkan cerita hantu. Tapi di sana, ada je drama hantu seram di TV, hantu dia pakai punjabi suit dan rambut rebonding juga.**

Wednesday, December 22, 2010

Jalan Malam

**Aku merujuk kepada pencerita, bukan penulis blog!**

Dulu Aku dengan kawan ramai-ramai naik moto, lewat malam, balik dari tengok bola di Stadium Perak di Ipoh. Masa tu Perak lawan Selangor! Balik tu lalu jalan dekat Kampung Banggol Belimbing nampak macam orang gila duduk bercangkung di tengah jalan. Betul-betul di garisan putih ‘line’ tengah jalan. Situ memang keras.

Diorang tu siap pusing balik nak tegur suruh jangan duduk tengah jalan. Kesian, takut nanti ada lori langgar pulak. Malam-malam banyak lori lalu, lori balak dengan lori tangki simen. Sekali tegur, orang gila tu tunduk je, tak toleh langsung.

Orang gila dengan baju koyak-koyak, warna baju pun berkarat. Lampu jalan tak ada, tak nampak jelas rupa orang gila tu, lagipun kepala dia tunduk ke bawah. Dia tunduk mencangkung, diam je! Lepas anyak kali panggil baru baru dia toleh. Sekali toleh, tak de muka! Lepas tu dia ketawa suara kasar, ada kata dia terbang lepas tu, tak tahu lah Aku tak toleh belakang dah. Terus pecut. sampai rumah tak berani melepak dah, terus demam.

Kat mana Kampung Banggol Belimbing tu?

Kampung Banggol Belimbing tu dekat dengan simpang jalan lama ke Sungai Siput yang ada jambatan lama, nama Jambatan Bailey. Sekarang tak lalu dah jambatan tu kecuali kalau nak ke Kati boleh terus sampai ke Karai. Di Kampung Banggol Belimbing tu sekarang tepi jalan baru ada masjid. Dalam kawasan masjid tu ada kubur, tapi tak besar sangat. Itu yang ada hantu mengusik.

Jambatan Raja Dr. Nazrin Shah, Tasik Raban.


Tapi semenjak ada jalan baru tu, tak dengar dah cerita pasal hantu mengusik di kampong tu. Dengar orang kata, Jambatan Raja Nazrin tengah malam pun ada nampak-nampak jugak. Sebab tu awal-awal buka jambatan tu selalu ada accident.

Nampak apa?

Katanya, tengah-tengah malam kalau lalu di jambatan tu, dah lah dinding tinggi sampai tak nampak air Tasik Raban, jambatan pula panjang, di tengah-tengah jambatan tu nanti ada orang mengusung keranda, lepas tu tak teragak-agak nak cross jalan. Tengah-tengah usung keranda sapa nampak pun mesti terkejut. Bila mengelak tu yang nak jadi punca accident.

Friday, November 19, 2010

gema aidil adha

malam dan hujan renyai di luar. jelas terdengar titik air menyentuh atap genting, satu persatu berganda menjadi ribu. dingin menerpa, menyeluk ke dada bagai menghirup bau pudina. mudah sekali merawat, lapangkan lengan dan sorongkan bantal.

hanyut dibuai mimpi tak berwatak. sayup malam hanya gelap menemani. sesekali dentuman mercun mengganggu seni tidur. "prangggg!!!!!"

kuat bunyinya. sekali lagi.

"prangggg!!!"

lagi selimut ditarik terus menyelubungi diri. bantal di sisi didakap erat.

"prangggg!!! pranggg!!!"

mata terbeliak. haru dibuatnya. mengapa dentuman ini begitu kuat, seperti hanya di balik cuping telinga.

"pranggg!!!! woii!!! bukakk!!!!"

eh? apakah masih perlu memejam mata? gusar hati, darah memecut laju, jantung kencang tiba-tiba. terbangun dari pembaringan, terus memetik suis lampu. kini suara sahut menyahut bagaikan perang.

pintu bilik dibuka separuh. kepala menjengga ke luar, hanya tangga lurus ke bawah disuluhi percikan sinar lampu yang samar. bayang-bayang diri sendiri menambahkan seru kaget. kini tubuh penuh di hadapan pintu. melihat tangga yang tersuluh itu, dengan separuh lantai bawah kini terlihat dengan bola mata.

"bukak pintu ni!!! cepat!!!"

"pranngggg!!!!"

kaki yang terketar-ketar secara perlahan menuruni tangga. pandangan terus ke arah daun pintu yang bergegar. sungguh kuat dan makin kuat. namun diri ini terpinga-pinga. daun pintu di tengah-tengah, dengan kiri dan kanannya juraian kain langsir hijau menutupi tingkap.

mujur rumah usang ini dipagari jaringan besi di setiap tingkap dan pintu. sebelum apa-apa berlaku, lampu ruang tamu harus dinyalakan, disusuli lampu anjung luar.

"pranggg!!! cepattt!!!"

mengapakah suara ini makin terpekik-pekik bagai orang gila? kenapa tidak sabar? makin kaget. namun kerana bersendirian, kes ini harus ditangani secara berani dan profesional. sebaik lampu luar memancar sinar, alangkah terkejutnya melihat bayangan manusia yang berdiri di luar.

sungguh, bayangan itu bergerak-gerak. bukan seorang tetapi banyak dan mereka memenuhi setiap sudut langsir. apakah yang menanti di luar? daun pintu terus bergegar.

"pranggg!!" kini aku tahu, daun pintu ditendang-tendang dengan kaki.

dengan bacaan basmallah, daun pintu dibuka seraya terkesima melihat apa yang terpampang.

"siapa?" mulut bertanya.

sekelip mata bunyi bising tadi terus membisu. sekumpulan manusia tercegat di hadapan. beberapa orang memegang kayu. sempat ditatap manusia yang terhadapan sekali ini berambut panjang, gelap kulitnya dan tangannya memegang sepuntung rokok berbara. tubuh tingginya membuat sesiapa yang memandang akan terus menggigil.

"nak cari siapa?"

soalan ini dibiarkan tidak terjawab. mujur 'grill' di rumah ini masih utuh jika tidak tentu daun pintu ini lerai dipukul terajang oleh mereka. mungkin mereka sedar, mereka tersalah sasar. seorang demi seorang daripada mereka beredar dati situ, terus berlalu pergi. hanya bau asap rokok yang lewat beredar.

agaknya siapakah mereka? kenapa mereka berlalu pergi begitu sahaja?

sekian.



selamat hari raya aidil adha.

Friday, November 12, 2010

terpinga

Haliq (bukan nama sebenar) pulang ke kampung halaman bersama isteri dan dua anaknya. Alangkah damai dirasakan, sungguh mengujakan. Sesekali menghirup udara yang nyaman dengan angin sepoi-sepoi bahasa merempuh pipi sudah lama diimpikan. Justeru percutian kali ini adalah dirancang seawal tiga bulan lalu.

Hari kian gelap, dan malam membuka tirai. Bersama seisi rumah menonton rancangan hiburan, terus lalai sambil ketawa, filem P.Ramlee walaupun diulang tayang banyak kali namun tidak kering gusi dibuatnya. Sekali telefon bimbit haliq berbunyi, tidak dihiraukan sama sekali.

Tidur malam tentunya di dalam kelambu. Di luar tentu sekali akan digigit nyamuk, tapi nyamuk kampong tidak membawa kuman Aedes seperti nyamuk bandar. Memang nyenyak, dini hari udara kian sejuk, menghembus masuk menerusi alang-alang rumah. Nada dering yang sama masih berkumandang. Kali ini Haliq bingkas mendapatkannya, dengan azam ingin mematikannya.

Sebaik mencapai telefon bimbitnya, panggilan terputus. Belum sempat Haliq menekan butang untuk mematikan telefon tersebut, sekali lagi nada dering berbunyi dan secara tidak langsung Haliq telah tertekan butang jawab. “hello??”

“maaf telefon malam buta, tapi urgent!”

“kenapa?”

“as expected, you kena jugak balik. Kalau tak site tak leh jalan.”

“I kan sudah apply cuti, lagi pun Rosli kan ada!”

“Rosli masuk ward. Penyakit dia datang lagi.”

“so? Takkan I jugak??”

“tak de back up, u aje yang ada. Even tak available, siapa lagi??”

“korang ni memang tau..”

“cakap banyak tak de, nak tak nak sebelum pukul 8 you kena ada di site ni, gila pukul 10 menteri nak lawat site? Sanggup ke nak menjawab dengan dato nanti???”

Mahu atau tidak, Haliq tiada alasan untuk berkata tidak. Jam di tangannya menunjukkan jam 3 pagi. Dengan lemah, Haliq melangah ke dapur yang gelap. Dipetik suis lampu, terus ke bilik air untuk menyegarkan badan. Bayangan muncul di fikirannya, cuti seminggu kini berbaki 5 hari sahaja. Tak mengapalah, berkorban demi kerjaya.

Terus mencapai apa yang patut, pakaian dimuatkan di badan. Terus ambil kunci kereta Avanzanya, seraya ke luar rumah untuk menghidupkan enjin. Isterinya terus bangun, ke dapur menyiapkan kopi. Sebaik kereta dihidupkan, bonet kereta di belakang dibuka. Kasut dan beg kecil berisi barang keperluan di isi. Sempat lagi mengemas barang-barang yang berselerak. Dari dauh, gelap pagi bersinar lampu biru dari dalam keretanya.

Sesekali deruman enjin motosikal melalui jalan raya. Waktu-waktu begini para penoreh getah akan mula bergegas lading untuk mencari nafkah. Haliq berdiri di belakang bonet masih terus mengemas barang-barang. Tiba-tiba dari jauh bunyi hon kedengaran. “Pinnnn!!! Pinnnn!!!”

Haliq menoleh ke belakang, matanya tidak dapat melihat jelas kerana silau, tetapi motosikal itu terus meluru laju tanpa henti. Haliq terpinga-pinga. Siapakah itu? Atau sekadar terpicit hon? Abaikan sahaja kerana Haliq perlu bergegas ke tempat kerjanya.

Selesai segalanya, Haliq terus memandu. Terasa nyaman dan sejuk, disulami bau-bauan ringan tetapi segar bunga campuran Ambi Pur yang tersangkut pada penghawa dingin. Selamat sampai, Haliq terus melakukan apa yang patut, agar selesai cepat dan mudah untuknya berehat untuk kembali ke kampong.

Malam harinya, Haliq selamat tiba. Dalam kepenatan, teh dihidangkan. Kebetulan bapa saudaranya, Pak Hamid turut berkunjung di rumah bapanya itu.

“hah Haliq, kamu okey ke?

“okay. Kenapa ayah?”

“tak de, Pak Hamid kau ni risaukan kau.”

“kenapa Pak Hamid?”

“sebenarnya, Pak Hamid nak tegur kamu, masa kamu tengah berkemas barang pagi tadi. Rasanya dalam pukul 4 lebih.”

“oh! Pak Hamid ke yang picit hon tu?”

“ye ler!”

“Lor!! Picit hon saje berhentinye idak. Kita ni tak nampak sebab silau.”

“Pak Hamid ni risau kat kamu.”

“Kenapa pula? Saya okey-okey saja…”

Haliq melihat ayahnya, pula kea rah ibunya. Isterinya menggeleng-gelengkan kepala. Anak-anaknya pula dengan wajah misteri hanya duduk diam terpaku.

“Kenapa? Ada apa-apa yang saya tak tahu ke??”

“Dia nak gi menorah, tapi masa picit hon tu, dia nak tegurlah kamu. Nak tanya kamu tu kenapa balik awal. Ye lah, baru sampai petang tu dah nak balik pagi buta. Itu pasal yang picit hon berkali-kali tu. Elok dia turun gear, nak berenti tu, Pak Hamid kamu ni nampak ada orang duduk di seat depan.”

“siapa?”

“sapa lagi!! Benda nak mengusik la!! Katanya jelas nampak dengan rambut kusut duduk betul-betul di seat driver. Masa tu kereta kamu kan pintu belakang terbuka dengan bonet pun terbuka jugak, lampu dalam kereta kaler biru tu pun menyala kan? Tu yang nampak tu!”

“Oh..ye ke? Tapi nasib baik saya okey-okey je. Kete memang dah sebis, Zenab pun dah vakum kereta kot, dengan bau pewangi kereta tu pun macam baru dia ganti.”

“saya ada vakum, tapi mana ada ganti Ambi Pur abang tu.”

“oh ye ke? Tak pe lah, janji semua ok dah lah. selamat pergi, selamat sampai. Heh hehhh…”

Saturday, June 12, 2010

dobi

asrama :

generally, asrama ni sama je lah dengan design sekolahnya. bangunan 3 tingkat sahaja. sekolah dibahagikan kepada kelas, asrama pula terbahagi kepada bilik, atau lebih femes dipanggil dorm atau kamar. di asrama lengkap dengan kemudahan. setiap floor di hujung koridor ada tandas dan bilik mandi. berlainan pada lantai bawah, terdapat bilik study, bilik iron, bilik warden dan bilik dobi.


bilik dobi :

bilik ini kecil saja. kedua-dua belah ada deretan kepala paip. bezanya sebelah sini bahagian yang ada takungan, sesuai untuk kerja membilas manakala bela satu lagi untuk mencuci/menyental. kerja menyental mudah saja. tak perlu membongkok kerana platform setinggi siku lengan kita dibuat khas supaya kita mendobi secara berdiri saja.


malam, lewat jam 1 pagi :

tamat prep, solat isya' dan supper, para pelajar akan pulang ke kamar untuk kerja-kerja akhir sebelum tidur. tukar pakaian, siapkan soalan latihan dan terus tidur. bagi yang ada tugas untuk mendobi pakaian, turun sahaja ke bilik dobi.

kisah bermula apabila disuatu malam, seorang pelajar berniat untuk mendobi pakaian. namun hari sudah lewat. namun pelajar ini masih meneruskan niat sucinya lantas mencapat baldi yang dipenuhi pakaian kotor dan terus meluru menuruni tangga. berjalan ke bilik dobi.

hari sudah lewat, seluruh kamar telah gelap. pelajar kini dibuai mimpi, namun masih ada sisa pelajar yang ulat buku masih menggunakan cahaya bilik study untuk mentelaah. pelajar yang menghayun baldi ini terus berjalan melepas bilik warden yang sememang kosong terkunci tak berpenghuni. melepasi pula bilik study yang tinggal hanya segelintir yang cahaya lampu dinyalakan di bahagian hujung saja. melepasi bilik penempatan pesakit yang hanya beberapa kali setahun dibuka oleh matron dan tiba di pintu bilik dobi.

suis lampu ditekan. lampu yang malap ternyala. hanya satu saja lampu yang berfungsi, yang lain sudah perlu diselenggara. sebaik sahaja air memenuhi baldi, kerja-kerja mendobi dimulakan. hanya seorang diri, sesekali angin malam menyeru masuk hinggap di leher. kesejukan malam menidakkan dia untuk berada ingin ke tandas. dengan pantas meninggalkan bilik dobi dan segera ke tandas.

selesai berhadas kecil, berjalan kembali ke bilik dobi. akan tetapi, seorang pelajar lain kini menjadi peneman sama-sama mendobi. bilik dobi senantiasa basah. lantai mozek putih kini ditenggelami air setinggi ketebalan selipar. mungkin saluran ke longkang telah tersumbat namun tiada masalah untuk meneruskan kerja-kerja mendobi. tanpa bertegur sapa, kerja mendobi diteruskan dari satu pakaian ke helaian yang lain.

keadaan biasa, para pelajar hanya berkain pelikat dan tanpa baju sahaja. di bilik dobi hanya kedengaran bunyi berus menyental kain serta air yang keluar dari pili memenuhi baldi. buihan sabun terpercik di sana sini, di dinding serta terapung di lantai mozek. sesekali menyental, terasa penat juga. pelajar ini meringankan mulutnya menegur kawan yang tidak dikenalinya itu namun tiada jawapan diberikan. tak mengapa, mungkin pelajar senior.

berus digunakan biasanya jenis sabut atau plastik. sabun yang digunakan pula adalah sabun buku. sabun buku sesuai digunakan kerana penggunaannya mudah diagak, serta lebih jimat. pelajar yang jimat ini telah mengepak sabun buku ini kepada dua bahagian. setengah bahagian itu di simpan di kamar.

sabun, lambat laun diguna akan menipis. apabila menipis, ia mudah terjetap. sesekali berasa tertekan apabila ia tidak mudah lagi dipegang. buih sabun juga kian berkurang. pelajar gigih ini langsung tidak menghiraukan persekiran. yang penting adalah untuk segera menyudahkan kerja dan kembali ke kamar.

takdir telah menentukan sekali lagi sabun yang nipis itu terjetap. ianya terjetap, terpelanting jauh, jatuh ke lantai. lantai yang basah ditenggelami air. sengal-sengal di badan membuat rasa kurang enak untuk membongkok lantas mencapai kepingan nipis sabun itu. alangkah aneh perasaan pelajar ini apabila ternampakkan sesuatu. sebaik bangun dari membongkok, matanya terlihat pada pelajar yang seorang lagi.

dari awal dia menegur, namun tiada balasan. kini diperhatikan ia kaku berdiri di hujung sudut bilik dobi. kini dia mendapat jawapan terbaik mengapa pelajar itu tidak bersuara. lekas memasukkan semua pakaian ke dalam baldi, tak lupa berus dan sabun nipis. tangkai baldi dicapai lantas bersiap keluar.

"tak apa lah, saya dah siap."

"dah siap ke tahu???" **disusuli suara hilai.

pelajar ini daripada berjalan laju kini lari pecut meninggalkan bilik dobi. baldinya ditinggalkan di muka pintu. kini dia sedar bahawa rakannya tadi hanyalah makhluk ghaib bersosokkan manusia. semasa dia mencapai sabun nipis di lantai, dia sempat melihat sosok di hujung bilik dobi itu berdiri kaku tanpa kaki. terbukti mendobi pakaian di waktu malam hari bukanlah waktu yang terbaik.

Thursday, May 27, 2010

kehadiran tak terduga

7.50 pm

kali terakhir boss keluar, meninggalkan diri anda seorang yang masih menghabiskan sisa kerja di hadapan komputer dalam kubikal. duduk di kerusi terasa tidak selesa. sesekali perut dikempiskan, terasa gerakan ini apabila hanya posisi tali pinggang yang statik.

sesekali tubuh ditinggikan. melihat jalan lurus ke hujung, ke pintu. volume suara ditinggikan, terus windows media player di-minimizedkan. sambung kerja yang masih buntu dengan konflik rekabentuk yang tidak comply dengan kehendak klien. oh shit!

10.15pm

kini anda sungguh tidak selesa. badan terasa letih dan berlengas. terbayang mandian hujan di rumah, sungguh enak menerpa kulit, diratakan buih mandian harum mewangi. sesekali menghirup nescafe tentunya nikmat.

'zapppp...! zapppp!' mesin fotokopi yang automatis seperti biasa ber-initializing. walaupun selama ini selang sejam ia begitu, tapi lewat malam kini bunyi sebegitu amat mengganggu. bagaikan ada orang yang sedang membuat salinan fotokopi.

berkemas untuk pulang. meja sungguh berselerak. dengan hanya menyusun kertas-kertas ke satu tempat lantas dipasang klip. hati lega, lantas beg di ambil dan segera memeriksa kunci kereta. ok! ada di dalam poket. alunan lagu di windows media player dimati. sunyi sekali.

segera kerja-kerja akhir di-savekan ke dalam pendrive supaya berpeluang sambung di rumah. jika anda masih ada kudrat, namun kebarangkaliannya rendah. tak mengapa, asalkan hati puas. kenapa komputer kini buat hal? lembab! nak save sampai berminit-minit.

dari kubikal ini, membelakangkan pintu bilik pengurus. bilik pengurus memang hebat, berdindingkan kaca kehijauan membuatkan pejabat ini nampak kemas dan terkini. tapi anda tidak akan pernah memandang belakang kerana dinding kaca itu akan menampakkan wajah anda yang kepenatan. kusut nampaknya.

kenapa tidak? ketika bos tiada, inilah masanya mempraktikkan dinding sebagai cermin muka. secara perlahan, anda menoleh kepala 45 darjah secara horizontal. tetapi pantas sekali kembali ke posisi asal. kenapa? mungkin ini mainan minda. esok saja. pendrive di cabut. jalan kaki laju-laju dan keluar.



esok, 8.30 am

masuk pejabat seperti biasa. anda berbincang dengan seorang teman sekerja. kata anda, anda melihat cermin di dinding kaca boss anda. ya benar sekali. anda melihatnya. diterangkan dengan penuh detail dan semangat. rakan anda itu khusyuk mendengar.

5.00 pm

rakan anda tidak boleh menyimpan rahsia. kini boss anda mengetahuinya. kesemua anda berbincang, mengkaji fenomena tersebut. kini kesemua anda, termasuk boss anda merasakan sesuatu tidak kena dengan bilik tersebut.

boss anda terus menceritakan pengalaman beliau di suatu malam sehingga perasaan seram itu terbawa-bawa sehingga ke pakir kereta di bawah. panik! semua orang panik. kini disyaki sesuatu lembaga menghuni bilik boss anda.

kini seorang rakan sekerja yang pintar membuahkan satu idea. semua mendengarnya. ya! lampu dipadamkan dari dalam bilik. bagi menjelaskan lagi fenomena ini, dibuat lakonan semula. aneh, jika seseorangd di dalam, nyatanya bayang-bayang itu tidak akan kelihatan.

dari mana datangnya sosok ghaib itu? seorang staff berjalan menuju keluar. 'berhenti! berhenti kat situ!!!' terpinga-pinga lelaki itu.

'ok, mundur ke belakang lagi. lagi!!! lagi sikit lagi ke belakang lagi.'

seluruh mata kini tertumpu dengan imej yang berubah di dinding cermin itu.

'lagi...slow skit...ok lagi sikit. ok dah!! benda tu kat sini ke??? takkan lah benda tu dibelakang kamu??? sudahlah, lepas ni jangan siapa-siapa stay-back lama sangat.'

Friday, May 21, 2010

orgee kebasahan

esok cikgu noryati binti abu bakar nak kutip buku skrap. aku dah hampir siap, cuma satu lagi lukisan nak kena buat semula. dalam banyak-banyak corak, tinggal orgee yang aku belum siapkan. jadi malam ni aku kena siapkan, tak kira!

pondok kecik, berdepan bilik A11. aku di situ dengan cheweng. letak saja punggung, terus gigih buat lakaran ulangan susunan orgee. aku pilih motif daun.main taktik kotor sikit, aku tekap saja bentuk daun tu dari kertas keras yang aku dah gunting. fuh! cepat siap. taktik mewarna pula, senang saja. warnakan hitam dan putih dengan menggunakan marker pen. mudah!

mudah ke? bukan 15 minit, tapi nak tak nak lebih dari sejam. mana tak nya, depan aku cheweng dah lama lelap. cheweng berbaju melayu kaler oren, agak singkat sikit tapi masih pakai. gamaknya baju fevret dia sebab baju maroon tu dia jarang pakai. aku je yang rotate sebab selain baju melayu putih wajib tu, aku ada yang kaler biru laut tu pun dapat free. semua orang dapat. mat taylor yang jahit. aku gerakkan cheweng. terus dia blah. jam dah pukul 12 lebih.

malam.

sejuk. angin sesekali bertiup.

aku memandang dewan makan yang lampunya dipasang bahagian dalam saja. nampak kelibat makcik dan pekerjanya tengah bersedia untuk jamuan pagi nanti, sarapan. untuk nasik lemak hanya digunakan mangkuk laksa. apa pun itulah kehidupan asrama. makcik tu berwajah cina, seksi sangat, suka pakai terompah kayu. boleh dengar dengan jelas.

latar belakang dewan makan bagai bermahkotakan sebuah mercu tinggi. gerap berdiri teguh, dengan sebutir permata merah. ya! bukit larut memiliki pemancar di atasnya. lampu merah itu tidak berkelip.

aku masih ada baki masa. selagi masih ada niat rajin, tak salah kalau aku melengkapkan nota sejarah. cikgu nabisah beebi binti mura sahib hanya mahukan peta minda. entah kenapa dahulu aku sangat tidak menyukai konsep peta minda kerana ia akan jadi berterabur, tak cantik serta tidak akan dibaca lagi. tapi kini aku rasa ianya relevan.

aku membelek-belek buku sejarah yang sudah kuning ini. sesekali berbau masam kertas lama, sungguh kasar permukaan kertas ini. tiba-tiba aku kehausan. terus terbayangkan air milo wahi yang ditapau dari dewan makan, berisi penuh di dalam tumbler yang disorok dalam locker.

aku meninggalkan file dan buku-buku di situ. berhasrat sebentar sahaja ke atas. menaiki tangga sepantas boleh. terjah masuk ke dorm A11, melihat semua 14 orang kawan lain sudah enak lena diulit mimpi. locker aku ditempat paling hujung di bucu ruang. sungguh sedap dan bahagia meneguk air milo wahi.

tap! tap!

berulang lagi.

tap! tap!

aku meragui bunyi hentakan kaki sungguh kuat, hentakan pemakai kasut kawad PKBM. askar! aku terus melluru ke tingkap yang pecah mengendap koridor, inkuiri melihat dengan mata tajam. naluri ingin tahu kini berubah sekelip mata. bayangan sebesar kayu balak melintasi mata. tak dapat aku bayangkan, tiada bentuk tubuh manusia mahupun susuk yang dikenali. hanya remang bulu roma naik ke leher. aku berdecit lari tidur di sebelah rizuwan.

pagi.

berlari ke pondok. melihat kertas lukisan jatuh di atas rumput hijau. lukisan corak susunan orgee aku telah kebasahan dek embun pagi.

tamat

Friday, February 19, 2010

petanda suruh pulang

kertas kerja dan kertas kerja, itulah rutin yang memenuhi jadual seharian. pejabat 4 tingkat di tepi lebuhraya damansara-puchong ini sudah agak lama, dengan seni bina zaman 80an. tangga yang spiral, daun pintu lif yang kecil serta perabot kabinet yang telah dimamah usia.

timbunan fail meninggi lagi, tidak cukup deretan kabinet kerana seantero ruang penuh. jam sudah pukul 6.00 petang. seorang demi seorang meninggalkan lantai pejabat yang kini lengang. satu persatu deruman 'speaker' komputer didengari, menandakan program perisian dipadamkan.

memandang ke luar, jelas sekali lebuhraya sesak, namun kenderaan masih bergerak. zafran (bukan nama sebenar) masih duduk di kerusinya. bersebelahan dengan dinding kaca, zafran menyelak litupan langsir, meninjau keadaan luar. "ah tak mengapa, jalan sesak!" detik hatinya. zafran tidak lagi menulis laporan, disusun satu persatu buku dan fail di sisi meja.

"tapp..!" suis lampu dipadamkan. zafran berdiri. dilihat ke arah belakang, separuh daripada lantai tingkat 3 kini sudah bergelap. yang tinggal hanya zafran dan dua buah bilik lagi, pengurus bahagian pemasaran dan satu lagi paling hujung, iaitu surau perempuan. zafran kembali duduk di kerusinya untuk menyambung sisa kerja.

"kringg!!" telefon di depan zafran berbunyi. "zafran, kalau awak nak balik ketuk bilik saya dulu".
zafran menjawab, "okay boss!"

"tappp..!" sekali lagi suis lampu dipadamkan. dari jauh zafran memerhatikan. tiada siapa yang dilihat keluar dari surau. siapa yang matikan lampu surau? kini ruang hujung benar-benar gelap. zafran kini mengemaskan begnya pula.

sambil zip beg ditarik, zafran melutut untuk mengikat tali kasutnya. kemudian zafran mendengar bunyi tombol pintu dibuka. di kotak fikirannya tentu surau itu telah kosong setelah peserta terakhir keluar. disusuli dengan bunyi hentakan kasut bertumit.

"boss...i nakbalik!" zafran mengetuk pintu bilik pengurus bahagian pemasaran. "ok, baliklah dulu. saya tengah packing beg saya. see you tomorrow". zakuan yang tadi bersandaran di daun pintu daun segera kembali ke mejanya untuk mengambil beg yang siap kemas.

sewaktu berjalan menuju meja, zafran mendengar bunyi tapak kasut, sama seperti tadi. disusuli bunyi tombol pintu. sejurus zafran menoleh ke belakang, dalam kesamaran zafran melihat susuk gemuk masuk ke dalam surau perempuan tadi.

"kak mona! tak balik lagi ke?" sapa zafran. kak mona terus masuk ke dalam surau tanpa memberi respon. pintu ditutup. zafran terus memikul begnya, langsung berjalan disisi dinding kaca sambil menyelak-nyelak langsir melihat keadaan trafik.

kali ini zafran keliru. dilihat tepat ke bawah kak mona sedang berjalan menuju ke kereta toyota estima. "eh? kak mona dah kat bawah, sapa yang masuk surau tadi?" detik hati zafran lagi.

zafran terus menukar arah, menoleh ke arah surau. gelap! baru sebentar tadi dilihat setubuh gemuk persis kak mona memasuki surau tetapi lampu tidak dinyalakan. agaknya sedang memakai kain telekung, tetapi kenapa di dalam gelap?

zafran mengetuk pintu surau. tiada suara menyahut, zafran memulas tombol pintu dan meninjau ke dalam. suis lampu ditekan, namun surau memang lengang. "siapa yang aku tegur tadi? bukan kak mona? di bangunan ini hanya kak mona yang berbadan besar," hati zafran terus keliru menyoal diri sendiri.

"tapp..!"

"eh zafran, tak balik lagi? sapa pengurusnya. "nak balik dah ni boss!"dijawab.

"kenapa? mengendap surau perempuan ke?"pengurusnya berseloroh.

"eh tak! saja je." cepat zafran menjawab.

"tak de lah, kalau ada apa-apa baik awak bagitau saya. bukan apa, dulu-dulu ramai yang cakap surau perempuan tu keras. selalu nampak benda. tapi tu cerita lama. awak kerja sini pun dah hampir 8 bulan. mesti awak pun tahu. sudahlah, balik cepat sementara jalan masih tak jam. siap kerja, balik. tak yah tunggu lama-lama. marah dia nanti." nasihat pengurus itu lagi.

zafran bingung, terus menyoal diri kenapa sebelum ini tiada siapa yang memberitahunya tentang kisah itu. ah, lupakan saja.

Monday, January 25, 2010

kisah larut malam : bayang-bayang

maghrib masih di pejabat. lambakan kerja dengan himpunan kertas membukit, lumrah memaksa diri bekerja lebihan masa. cik haniza dan azlin sofina ditingkat 3 rela berjuang selagi kudrat memihak, selagi minda tercapai untuk menggalas tanggung jawab.

masa berdetik lalu, pejabat sudah lama lapang. hanya kedengaran desiran komputer lama yang masih tekun bekerja. sebelum kelewatan, cik haniza dan azlin sofina berpakat untuk sama-sama ke surau.

*interkom*
haniza : lyn, kalau nak pergi surau ajak saya tau.
lyn : ya, eh pergi sekarang lah. dah lewat pun. kita 2 saja yang tinggal.
haniza : teman tau, saya ni dah lah penakut!

bersama menyusuri laluan lurus ke pintu utama. sinaran cahaya lampu menerangi membentuk bayang-bayang, apabila dihalangi di bahagian sisi berupa slot dinding biru sementara yang dipanggil 'partition'. melangkah terus bersama keluar. tiba di koridor, telintas untuk terlebih dahulu singgah di tandas.

haniza : lyn, masuk tandas dulu?
lyn : haah!
haniza awak jangan keluar lagi tau, saya nak masuk tandas jap.
lyn : ok.

cik haniza melangkah menjangkau daun pintu. pintu pertama jelas terselak dari dalam, seperti sedang digunakan. sunyi, diam, tiada bunyi, kini kotak fikiran dihujani kecurigaan.

haniza : eh lyn, i perasan siang tadi masa i nak sembahyang asar, i masuk tandas dulu jugak. tandas yang ini sama macam tadi, macam ada orang. sekarang ni pun terkunci lagi. cuba tengok ni i tolak pun berkunci dari dalam.
lyn : eh ye ke? janganlah buat takut kak niza, tiba-tiba naik bulu roma.
haniza : eh ye lah! takkan i nak tipu. hairan jugak.
lyn : kak niza cuba tengok, kat bawah tu ada bayang.
haniza : awak nampak bayang apa?
lyn : tu ha! tengok lah.
haniza : eh bayang apa pulak. tapi tak nampak kaki pun??

perasaan kian cuak. lantai dan diding tandas yang terbuka sejengkal jelas kelihatan tiada orang berada di dalamnya, tetapi hanya bayang-bayang yang wujud, terus jantung deras berdegup.

cik haniza dan azlin sofina pantas berlari keluar dari tandas tersebut. niat untuk ke surau dilupakan, terus memicit punat lif menuju ke bawah untuk bertemu pihak keselamatan. mujur terdapat seorang lelaki yang masih menghuni bilik kawalan. dengan bantuan beliau, mereka kembali ke tingkat 3.

haniza : eh abang masuk lah kat dalam tuh. cuba tengok apa ada dalam tandas tu. tadi kita orang nampak ada bayang.
abang : kat mana?
haniza : tandas yang pertama. abang masuklah. kami tengok, tunggu dari sini. apa-apa kami cabut dulu.
abang : eh janganlah macam tu.

kini minda mereka mula bercelaru. satu persatu kisah seram dibayangi. kembali mengingati kisah tea lady yang ditolak jatuh tangga di tingkat 12, kisah pekerja perempuan cina melihat kepala hitam di atas daun pintu, kisah komathi disentap makhluk halus ketika tertidur di pantry dan perempuan dirasuk roh syaitan di pintu masuk utama pejabat. kedudukan pejabat yang hanya bersebelahan dengan gunung batu kapur ini sering diundang gangguan, tambahan waktu lewat malam.

berdebar-debar, pegawai keselamatan teragak-agak untuk memeriksa. dilihat ke belakang beberapa kali ke arah cik haniza dan azlin sofina. langkah perlahan menghampiri pintu tandas pertama. cik haniza dan azlin sofina berdiri rapat, saling berpelukan tubuh dan bersedia untuk lari jika apa-apa berlaku.

dengan semangat waja, pegawai tadi melawan perasaan gementarnya. matanya meliar melihat lantai yang masih jelas bayang-bayang besar tadi. dengan keazaman yang tinggi, beliau terus menolak daun pintu tandas itu dengan sekuat hatinya.

alangkah terkejutnya mereka, serentak dengan jeritan cik haniza dan azlin sofina, seraya daun pintu terbuka. sekujur tubuh mesin hampagas jatuh menyembah lantai, terus gamat tandas dengan jeritan yang panjang. kini mereka tau ia perbuatan pekerja indonesia, atau makcik-makcik cleaner yang tidak bertanggung jawab melakukannya atas sebab musabab yang tidak relevan.

Wednesday, January 20, 2010

kisah larut malam : terperangkap

melangkah kaki, jauh merentasi jalan sibuk, menyeberangi satu persatu. melihat kiri dan kanan, mujur cahaya lampu neon menerangi malam sepi. tiada angin yang berbayu salju, malah peluh menitik memerahi keringat seharian kerja.

jam menunjukkan tepat jam 10 malam. mula terbayang peringatan yang tertulis 'parking till 9 pm only' lantas membuahkan kerisauan. hayun kaki lagi, terus pantas menuju destinasi. sesekali berlari-lari anak gusar kelewatan mengundang kisah.

tiba di perkarangan bank. masuk menerusi lobi, terus ke sisi sayap kiri dan menekan punat lif arah atas. degup jantung perlahan kian laju, cemas membayangi kereta terperangkap. "Tinggg!" pintu lif terbuka. berdiri seorang pengawal keselamatan berbaju biru lengkap lencana di bahu.

"dik...parking di mana?"

"tingkat 3..." soalan dijawab dengan nada rendah.

"lain kali jangan lewat. last pukul 9 saja. sepatunya sekarang dah tutup gate tapi hari ni nasib baik pakcik lewat," nasihat diberi.

"ok."

tiba di tingkat 3, terus berjalan laju membelok kanan, menempuh lorong samar dengan serpihan cahaya oren dari luar. tiada bunyian lain selain hentakan sepatu hitamnya. pintu pertama, bertanda "exit", meneruskan perjalanan ke pintu terakhir.

pandangan luas terbentang apabila menjejak kaki di lantai 'parking' tingkat 3. sebuah papan tanda besar tertera tulisan amaran 'parking till 9 pm only' lalu hati kesal menyelubungi jiwa. jarang kelihatan ruang kosong menguasai pentas, hanya 2 buah kereta yang ada di situ, sangkaan kereta milik syarikat kerana terdapat cat logo di pintu depan.

terus berjalan ke hujung. dari kejauhan wajah rupawan kereta myvi baru berwarna oren coklat semakin dihampiri. samar kian pudar berganti kejelasan maksima. degupan jantung sekencang perasaan, langkah lurus tiba-tiba diperlahankan.

"ahhh...kenapa sekarang???"

jarak 20 langkah dianggarkan, pintu kereta di depan mata menanti saat untuk dibuka di mana jari bersedia menekan punat kunci berpenggera. kini peluh dingin membasahi setiap permukaan kulit. bagaikan kepulan asap, putih, membentuk sosok wanita bertudung, duduk kemas di kerusi belakang.

arah langkah dilencong terbalik, kembali berjalan pantas menuju pintu masuk ke dalam bangunan. disusuli larian kencang dengan beban tergalas di bahu. sebaik pintu hendak dibuka, terpacul pegawai keselamatan yang cuak memerhatikan pertembungan itu.

"kenapa?"ditanya.

"ada benda dalam kereta," dijawab.

terus mereka perlahan-lahan menuju ke kereta myvi oren coklat di perhujangan lantai. diperhatikan setiap genap ruang dengan penuh teliti sehingga mencapai kepercayaan bahawa sosok itu telah lesap pergi.

"sebab tu jangan lambat. masa drive cuba baca-baca ayat yang mana patut. di simpang akhir sebelum sampai rumah, pesan suruh dia pergi. takut diikutnya kamu ke rumah. sampai di rumah jangan lupa mandi. cuci kaki sekurang-kurangnya." pesanan akhir diberikan oleh pakcik prihatin tadi sebelum memecut keluar.

**penulis mengenali mangsa, seorang kawan

Thursday, March 26, 2009

night shift

this hotel consists 2 wings, NR wing and NW. NR is where all the decoration is based on revolution era in europe meanwhile NR is uniquely asian theme.


menurut jadual, aku perlu menaiki lif ke aras 3 bagi mengambil stok susu untuk persiapan bufet sarapan. sebelum itu kapten suzi menyuruh aku membantu kak lina menghantar pesanan makanan di tingkat 7. bekerja di hotel memaksa aku bertindak pantas, tak kira masa terutama pada sesi malam. hanya 3 staf dan seorang kapten bertugas di kafe temps, aras GF, hotel R. namun aku melalui hari pertama bagi sesi malam ini tanpa kehadiran hafis yang cuti kerana tidak sihat.

aku mengambil makanan dari dapur, menyusur keluar bersama sebuah troli kecil. aku bertuah kerana kehadiran aku di lif bomba amat dialu-alukan kerana sebaik sahaja aku tiba, pintu lif sedia terbuka. aku memicit punat penanda aras ke tingkat 7, lantas pintu ditutup dan segera lif membawa aku. hanya satu lif diperuntukkan untuk para pekerja, ditegah sama sekali menggunakan lif pelanggan yang serba indah dilengkapi kamera. tiba di tingkat 7, aku memintas terus ke arah kiri ke NW wing. dengan penuh kesopanan aku menghidangkan sup sayur bersama roti dan cafe latte kepada pelangganku yang dilihat hanya bersendirian menonton perlawanan golf di kaca tv. siap dan aku berlalu pergi tanpa mendapat tip.

troli yang sama diheret ke pintu lif, sekali lagi aku bertuah kerana tidak perlu menunggu lama. aku masuk, segera menekan punat 3. kepala aku sedikit pusing tatkala lif bergerak melawan graviti. namun perjalanan aku terhenti. "ting...!" pintu terbuka.

selama lebih 7 saat menunggu, tiada sesiapa yang hadir masuk. aku meletakkan troli di tengah pintu lif dan aku berjalan keluar. "ada siapa nak turun?" aku memanggil. aku menoleh ke kiri dan terus memaling ke kanan arah renaissance wing. tiada siapa menyahut panggilanku lantas aku berfikir untuk kembali ke lif. tiba di lif, aku menekan penanda aras 3.

ketika pintu lif hampir separuh ditutup, aku disapa. "dik tunggu akak dik.." aku sepantas kilat menolak troli ke tengah pintu. aku bersandar di dinding sambil menunggu. jari telunjukku menekan punat "buka" selang beberapa saat bagi mengelak pintu lif ditutup. "dik tunggu akak dik.." sekali lagi suara itu kedengaran, namun kian perlahan. aku khuatir kapten suzi akan memarahi kelewatanku. lantas aku bersuara,"cepat akak, saya nak ke stor. dah pukul 4 pagi, bufet temps belum siap lagi."

hampir 2 minit aku menunggu, hatiku resah. sifat tidak sabar memaksa aku keluar sekali lagi, menuju ke arah suara yang kudengar tadi, dari arah NR wing. sambil berjalan, hanya kedengaran tapak kakiku. kulihat di dinding terlukis anak panah menuju ke restoran dinasty. restoran ini menyediakan makanan tidak halal seperti daging babi. oleh itu aku berhenti di situ. 7 langkah di depanku adalah pintu masuk ke dapur restoran dinasty. sungguh gelap. tiada cahaya dari bawah pintu tersebut. "tetttt...!" pager yang diselit di pinggangku berbunyi. aku dapat menyangka kapten suzi pasti bising bertanyakan keberadaan aku. tanpa membaca pesanan aku berlalu pergi.

aku kembali ke lif dengan pantas. langkah terakhir aku masuk ke dalam lif, aku mendengar sekali lagi suara dari arah pintu restoran dinasty, "dik tunggu akak dik.." seraya aku menoleh dan yang pasti hanya cahaya samar lampu kecemasan yang menerangi lorong itu. aku kesal atas perbuatanku yang terpaksa meninggalkan lokasi itu. tiba di tingkat 3, aku berlari-lari anak menyusur bersama troli. setelah pintu stor dibuka, aku mengambil sejumlah kotak susu skim dan susu rendah remak lalu disusun di atas troli. siap dan aku terus berlalu tanpa lupa mengunci kembali stor berudara dingin itu.

setibanya di kafe temps, aku membuka kotak-kotak susu lalu memenuhkan simpanan mesin campuran kopi, tong susu sarapan dan selebihnya dibiarkan di atas troli. aku mengambil sudu dan garfu yang tersedia digilap untuk diletakkan di meja bufet. tika aku leka menyusun sudu garfu itu, kapten suzi datang mencelah di tepi. "nahar, mana engkau pergi? jangan nak lama-lama buat hal dengan customer". bagi memperolehi kepercayaannya, aku menjelaskan perkara sebenar. cerita aku membuatkan suzi bertanya dua kali, "betul apa engkau cakap ni nahar? engkau jangan main-main. dynasti cuma buka siang. buka pukul 11 tutup pukul 6 petang. mana ada orang waktu malam kat situ!".

aku tidak tahan akan egois kapten suzi. aku tetap dengan pendirian aku, "betul kapten, lif stop, pintu bukak, pastu ada orang suruh tunggu". kapten suzi menjegil tepat ke mataku lantas menyambung bicara, "engkau tahu tak itu level 4? engkau perasan tak kenapa lif taruk 3A? engkau tahu tak kenapa dinasty tak buka malam? lepas ni jangan pergi ke situ lagi. tempat tu keras!".

aku tersentak, meremang. rupa-rupanya kapten suzi memang baik, dia bermaksud bagi menjaga keselamatan orang bawahannya. selepas misteri itu berlalu, mindaku mula teringatkan kisah "dentaman bola ke lantai" di tingkat 14 bangunan menara telekom. pada 2006 pula UTM dikejutkan dengan kisah pelajar perempuan yang dijumpai menggantungkan diri dalam almari di bilik asrama tingkat 2 di blok S13 kolej tuanku canselor.