Kes 1: Datang Lambat
Jam sudah pukul 9.30 am dan kawan anda baru sampai ke pejabat. Langkah laju meluru ke pintu masuk utama, mencari kad yang tertulis namanya lantas dimasukkan ke dalam mesin kedatangan. Merah! Mungkin bulan ini sudah kali keempat, lalu tanpa rasa bersalah terus meluncur laju ke tempat duduknya dengan langkah yang paling kurang menghasilkan bunyi. Belum sempat duduk, anda bertanya suatu soalan kepadanya, "Eh, ingat cuti hari ni?" Tanpa menoleh ke arah anda, dia seorang eksekutif biasa menjawab, "Aku kan boss!!"
Kes 2: Selera Berbeza
Pejabat anda bekerja didominasi oleh warga Pantai Timur. Nyata sekali bahasa melayu baku menjadi bahasa pengantar ketiga selepas bahasa Inggeris. Tiba untuk mengadakan majlis makan beramai-ramai, anda seperti biasa tidak mahu memberikan sebarang pendapat dan idea kerana gusar akan ditugaskan untuk membuat tempahan atau membuat kutipan wang atau sebagai jurubasuh pinggan. Di suatu petang anda melangkah masuk ke pantri untuk membancuh Nescafe terlihat seorang kawan sedang membasuh cawannya, seperti baru habis makan tengah hari. Anda menegurnya dengan menghadiahkan satu soalan cliche, "Lambat makan hari ni?" Dengan pendek dia membalas, "Aku tak makan nasi dagang".
Kes 3: Tak Kuasa Melayan
Di bawah terik mentari, perut lapar mengharapkan sepinggan nasi berlauk enak, warga penghuni asrama nyata perasaan mereka mula tidak keruan. Emosi melonjak naik, ekspresi wajah mula menimbulkan urat yang tegang. Seorang kawan dengan kudrat dan irodatnya memikul baldi penuh dengan pakaian yang siap dibasuh ke tepi koridor untuk disidai. Satu persatu dibawa keluar, diperah sehingga ke titisan akhir. Menjadi amalan masyarakat Melayu, bertegur sapa boleh merubah emosi keadaan, lalu bertanya, " Weyy.. Buat apa tu?" Sebaik jatuh titik noktah pada ayat soalan anda, rakan tadi menjawab, "Basuh pinggan".
Kes 4: Rimas Dan Bingit
Kemeriahan sambutan hari raya terasa bahangnya semenjak awal berpuasa lagi. Dari pagi sampai ke malam, persiapan dilakukan sehabis boleh, bergolok bergadai demi kepuasan hati masing-masing. Di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), waktu malam warga kota berkunjung untuk membeli belah barang keperluan terutamanya baju raya. Ruang parkir kereta penuh, kadar bayaran parkir dinaikkan sewenangnya, keadaan sesak penuh ramai umat manusia, kedai-kedai memasang lagu sekuatnya, suhu persekitaran meningkat sehangat di tengah hari, kaki lenguh berjalan di sepanjang gerai dan begitulah saban tahu namun anda tetap mahu berkunjung ke sana setiap tahun.
Seorang wanita lewat 40an sedang membelek tudung Halfmoon, dengan di bahunya tersangkut beberapa helai tudung awning pelbagai warna, kulit wajah berminyak namun tekanan diatasi atas dasar selagi boleh bersabar. Tidak semena-mena kanak-kanak dengan meriahnya bermain mercun tidak jauh dari tu, tanpa henti langsung tidak menghiraukan orang lain. Wanita tadi keresahan kerana bateri telefon pintar telah kehabisan selain wang ringgit yang kian menyusut, terus menjerit, "Woiii!!!!! Boleh diam sikit tak?? Tahu tak ni aku tengah pilih tudung nih??"