Petang, dalam pukul 3. Aku rasa sungguh berat hati nak masuk ke pejabat pulang dari menghantar dokumen, terus aku masuk ke tandas. Kaki aku melangkah perlahan.Sunyi sepi koridor hanya terdengar hentakan tapak kasut aku. Mata aku hanya memandang mozek berkilat, sesekali aku boleh nampak wajah yang terbentuk bagai cermin di lantai.
Selepas memetik suis lampu, tangan aku yang berat menolak pintu dan membawa masuk badan aku yang berat ke dalam tandas. Lama aku berdiri menghadap cermin. Satu persatu mangkuk sinki dilihat amat kering dan bersih menandakan sudah lama tidak digunakan.
Aku mendongakkan kepala, terdapat penyembur kebakaran berwarna merah di atas. Bosan dengan peredaran masa yang perlahan, aku menoleh ke belakang dan memilih pintu pertama. terdapat 4 pintu kesemuanya, 3 untuk tandas jenis duduk dan satu untuk yang gemar mencangkung.
Aku hanya duduk di atas tandas yang tertutup. Aku bingung, memikirkan sesuatu yang aku sendiri belum pasti. Aku mendesak diri, untuk tidak memikirkannya lagi akan tetapi aku sendiri bingung mengapa aku tidak bisa berhenti memikirkannya. Sungguh aneh tapi itulah hakikatnya.
Dalam melayani perasaan, terdengar ada orang memasuki tandas. Langkahnya meluru masuk ke tandas jenis duduk disebelah. Mungkin mengalami sakit perut, aku mendengar pelbagai jenis bunyi, siap meletup-letup. Tentu sekali air di dalam mangkuk tandas berkocakan, jelas sekali bunyi percikan. Hati aku bertanya, siapakah gerangan manusia itu? Gamaknya memang benar-benar sakit perut yang memulas ataupun terkena Diarrhea.
Hati aku masih tertanya-tanya. Setahu aku, tidak ramai pekerja lelaki yang bertugas di tingkat 4. Satu persatu wajah mengisi ruang minda, mengimbau siapakah agaknya manusia yang kini sedang berperang dengan kesakitan perut memulas itu. Tiba-tiba terdengar bunyi telefon bimbit berdering.
Aku terfikir mesti dia tidak akan menjawab panggilan tersebut kerana ingin merahsiakan indentitinya. Akan tetapi tekaan aku meleset apabila dia dengan yakin terus menjawab panggilan tersebut dan dengan jelas sekali aku dapat mengecam pemilik suara tersebut. Memang sah, memang orang itu. Dalam hati aku sedang ketawa kecil. Tak sangka walaupun berjawatan tinggi tetapi tidak dapat lari dari merasa sakit perut. Pemikiran sejak kecil di mana aku membayangkan sultan, raja atau yang dipertuan agung tidak pernah buang air besar apatah lagi kentut.