Wednesday, June 20, 2012

Kucing Syed Amran







Hensemnya kucing ni :)
Berkobar-kobar rasa nak bela kucing macam ni. Mesti best..
Agak-agak boleh ke aku take care kucing? Diri sendiri tak terjaga pun :p
Credit to Syed Amran, katakan pada kucing anda, saya meminatinya.

Sunday, June 17, 2012

Istana Kenangan





Istana Kenangan, Kuala Kangsar,
10 Jun 2012.

It's About Time


Saturday, June 16, 2012

Galeri Sultan Azlan Shah



Galeri Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.
10 Jun 2012.

Friday, June 15, 2012

Perang Saraf

Hari tu bukan main rasa macam nak siat-siat kulit, lumur dengan garam pastu panggang atas api. Tapi kali ni tiba-tiba aku sejuk hati. Mudah sekali. Kena mandrem ke apa? Tapi kalau difikirkan balik, kira okay  la bersabar sahaja. Mana tahu, semuanya akan berterusan okay.

Akan tetapi, sesekali ada terperasan watak yang lama muncul kembali. Sipi-sipi tapi pandai pula mengelak. Bila ditanya, sah-sah jawapan selamat yang diberikan. Belajar dari mana entahlah, mungkin pengalaman. Bila difikirkan, baik aku fokus kepada kehidupan aku yang sekarang ni banyak tertumpu kepada rumah yang bakal aku berpindah nanti.

Pindah? Aku terpaksa berpindah, sebagai satu anjakan pertama sebelum aku membuat keputusan lain. Tapi banyak sungguh halangan, di sini baik pula layanan yang diberikan. Nasib baik, kalau tak memang sekali lagi aku tutup pintu hempas kuat-kuat, dah kunci dari dalam hingga lamanya. Lagi okay kalau aku telan kunci tu pula.
Kenapa bila dapat projek baru, orang lain bergembira menarik nafas lega tapi aku rasa makin tersepit. Balik-balik jadi pembantu tak rasmi, lebih murah dan mudah tanpa perjanjian kita berkhidmat untuk produktiviti yang lebih. Sesekali aku bertindak malas. Adakalanya terlebih rajin sampai ke malam.

Takutnya nak habiskan bulan Jun. Rasanya bakal ada peristiwa mega lagi tapi bila munculnya entah. Rasanya perlu aku persiapkan perisai supaya dapat menepis, tapi macam mana? Perisai yang ada dibuat dari kayu rapuh. Malam ini, aku nak berbicara dengan langit, rasanya hanya dia yang setia mendengar rintihan. Kesian.

Friday, June 8, 2012

Biarlah Pantun

Kicau suara burung kenari,
Dendang lagu untuk manusia,
Biar berpeluk tubuh sendiri,
Misteri hidup penuh rahsia.

Dipalu gendang keluar bunyi,
Kulit sapi dari india
Biar hidup berteman sunyi,
Tidak mengganggu insan bahagia.

Selembar benang ibu menjahit,
Bersulam bunga si kain songket,
Biar perit menelan pahit,
Resmi penawar mengubat sakit.

Giling cili si batu lesung,
Lesung berat sakit bahu,
Biar diri dipandang kosong,
Hati di dalam siapa yang tahu.


Thursday, June 7, 2012

Senandung Malam

Hilang perginya bukan lenyap ditelan arus masa. Hilang cuma tiada di depan mata. Jasad empat dimensi boleh berubah bentuk asal kejadian, kerana masa tak pernah henti berdetik. Hanya ia berubah menjadi lebih kasar dan rapuh. Di sini kekuatan hanya bersemadi dalam ingatan.

Apabila berlaku kehilangan, yang terlintas di hati hanya untuk mendapatkan. Apalah gunanya jika ia bukan lagi milik kita. Perginya walau rela meskipun terpaksa bukan diletak di tangan kita walaupun kehilangan itu tetap dirasai. Sekali lagi peranan perasaan bermain sendirinya. Tanpa perasaan itu, sesuatu kehilangan tidak dapat diabadikan sebagai kenangan.

Manusia cukup takut untuk kehilangan apa yang disayangi. Ibarat menyumbang derma, kita sedaya upaya memilih milikan yang dirasakan paling ringan untuk diberi. Akan tetapi, memberi apa yang paling disayangi itu adalah paling mulia selagi kita masih ikhlas melakukannya. Adat manusia, perginya sesuatu yang disayangi diibaratkan sebagai suatu kehilangan.

Dekat tapi jauh, ada dalam tiada, ini indikasi kehilangan tanpa disedari. Senandung irama berputar melirik bait lagu berjiwa kosong namun tetap ianya melodi malam ini. Alunan halus menyelinap masuk, turun ke hati menggamit perasaan. Senandung hati, cerita rindu satu malam.

Indahnya kelopak sayap kupu-kupu yang berwarna warni. Terbang di udara memikat setiap yang memandang. Kupu-kupu berdiri tegak di atas sehelai daun nipis walau diterpa angin. Nyata indah memukau hanya pada paras, hanya mata menilai dan tika itu hati ditembusi panahan. Walhal kita lupa untuk menyentuhnya dengan reseptor jemari. Yang indah hanya sementara, ia cuma kupu-kupu kertas.


Wednesday, June 6, 2012

Diari Merah

Masuk sahaja bulan Jun, rasanya separuh dari tahun ini sudah berlalu dan di bulan Jun juga kita akan melihat kembali jendela sejarah hidup kita sama ada suka atau tidak. Permulaan tahun 2012 bagaikan tiada apa-apa buat aku, sehingga aku sendiri leka akan kemeriahan bunga api.

Tahun ini aku tidak menulis diari seperti tahun-tahun lalu. Jika dibandingkan kehidupan lampau di India, aku menulis setiap hari. Sebelum lena, aku pasti rindukan buku kulit emas dan melakar tulisan ke atasnya dirasakan suatu kerinduan bagaikan jiwa keduaku.

Kini, amalan itu beransur pergi tetapi bulan April menjemput pengalaman itu datang kembali. Kini buku kulit merah menjadi penggantinya. Rasanya jiwa itu hadir kembali setelah pelbagai peristiwa yang mendewasakan dirasakan tidak mahu dilupakan begitu sahaja. Namun catatan kali ini cukup ringkas, sekadar menandakan tarikh serta simbol dan bait kata yang hanya aku seorang sahaja yang bisa memahami erti  katanya.

Bulan Februari cukup kosong, tiada titipan mahupun harapan. Hadirnya Mac sekadar laluan serupa, tiada istimewanya. Tetapi keindahan kembali menerpa tatkala April menjelma. Berterusan hingga May, namun kian terpalit noda. Mungkin ini peringatan buat diriku, bahawa dunia tidak pernah bertolak ansur, sama sekali untuk memberi ruang lega yang lama. Kini Jun bagaikan penentunya.


Jun, berdebar-debar menanti sambil mengharap sesuatu yang belum pasti. Janji manis mudah terlarut dalam penantian kemudian sebati lalu membentuk ikatan kompleks yang masih boleh diuraikan. Salah mengharap, sebatian pekat bisa bertindak menghakis, sebatian cair berketelapan memilih. Bulan Jun adalah bulan getir, bukan sahaja individu malah yang lain. Tidak lari gunung dikejar.

Buatmu Jun, usahlah bertindak kejam kepadaku. Harapan masih ada, cuma hati sering kali menafikan segalanya. Mungkin ini adalah noktah akhir dalam pengisian buku kulit merah, tulisannya juga merah. Selamat malam buku kulit merah, aku tidak akan pernah berhenti merindukanmu. Jumpa lagi.


Monday, June 4, 2012

Kesulitan Amat Dikesali

Dua ratus kilometer telah diharungi, dalam keadaan panas terik. Apakan daya penyaman udara tidak berfungsi baik. Daripada deruman enjin manjadi tidak keruan, lebih baik buka tingkap sahaja. Seperjalanan berhenti seketika di dua hentian rehat dan rawat. Sekali untuk pam tayar di Sungai Buloh dan makan tengah hari di Tapah.

Sabar menanti, satu persatu punat ditekan. Tidak tahu konti radio mana yang sedang memutarkan lagu dan yang pasti sanubari hanya berkehendakan lagu yang menepati citarasa dan perasaan ketika itu. Kenderaan diperlahankan seraya pedal memecut dilepaskan seratus persen.

Sebaik tiba di gerbang plaza tol, tangan dihulurkan dengan pantas terus palang dibuka. Perkhidmatan Touch & Go amat praktikal di waktu kenderaan tidak bergitu banyak. Terus meluncur dengan kelajuan sederhana, menikmati panorama Ipoh, satu persatu susur keluar dilepasi, tanpa dikunjungi.

Sebaik tiba di susur keluar berhampiran Kinta City, niat di hati ingin mencari sesuatu untuk dibawa pulang, namun tak mengapa kerana tiada siapa di rumah. Mungkin di lain kali. Kali ini terus kereta memecut laju kerana  mengejar masa. Kini di belakangku terdapat beberapa kereta yang mengekori dengan kelajuan yang sama dengan mengekalkan jarak kepala. Dari jauh plaza tol dilihat, tapak plaza tol lama lokasi Jelapang sebelum meneruskan perjalanan mendaki Banjaran Klebang dan menyusuri Terowong Menora.

Tiba di plaza tol, tangan sekali lagi dihulurkan dan menanti palang dibuka. Entah kenapa mungkin telingaku pekak, sekali lagi kad disentuh dan telinga cuba memfokus bunyi "beep" yang harus dikeluarkan oleh mesin itu. Kali ini kenapa tidak?

Aku kaget. Melihat kenderaan di belakang yang daripada dua kini sudah menjadi lima. Tak mungkin Touch & Go aku sudah tidak berbaki. Tetapi aku sendiri lupa bila kali terakhir aku melakukan tambah nilai. Aku sentuh sekali lagi, namun tiada bunyi "beep" aku aku dengari. Aku kini benar-benar panik.

Aku mengambil langkah paling bertimbang rasa dengan menghidupkan lampu kecemasan. Kemudian aku menaikkan tangan tanda memberi isyarat berlakunya masalah namun barisan kenderaan makin panjang. Aku menarik nafas panjang. Tidak aku sangka kejadian ini akan berlaku, mungkin aku amat cuai sehingga memberikan masalah kepada pengguna lain.

Aku menarik picu untuk membuka pintu. Tebal mukaku, kaki dikeluarkan dari kereta disusuri tubuh lain. Aku menunjukkan wajah bersalahku supaya mereka bersimpati dengan mala petaka ini. Aku tidak sengaja dan aku harus menerima apa sahaja akibatnya, itulah yang dikatakan takdir.

Aku melihat pemandu di belakang mengeluarkan kepalanya dari tingkap, seorang demi seorang dan mereka membuat memek wajah terpinga-pinga. Aku bertamba takut, dan kini aku memandang kiri dan kanan, kiri dan kanan dan sesekali senyum kambing. Oh, aku baru tersedar bahawa aku menyentuh kad perniagaan milik seorang pegawai Unit Trust, bukan kad Touch & Go. Aku terbuat silap kerana meletakkan keduanya di dalam bekas yang sama. Aku amat menyesali akan kejadian ini.